Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itulah yang boleh digambarkan kepada betapa tegarnya seorang suami ini ‘melayan’ hobinya bercucuk tanam. Walau sedar ruang laman terhad, namun itu semua tidak menghalangnya menanam pelbagai jenis pokok. Semuanya dijaga rapi!
Hobinya menanam pokok-pokok tersebut tidak terhenti dijadikan untuk mengisi waktu senggangnya apabila berada di rumah. Malah dek kerana meminati aktiviti berkebun ini juga menyebabkan anak kelahiran Jerteh, Besut, Terengganu yang juga merupakan seorang cikgu, turut berkebun di sekolah!
Dia yang juga merupakan Ketua Panitia Reka Bentuk Teknologi (RBT) Sekolah Rendah Arab Jaim Pernu, Melaka, berkebun mampu mengurangkan tekanan dan menghilangkan segala masalah.
“Seronok bila melihat kejayaan orang lain dalam aktiviti bercucuk tanam. Selain mengisi masa lapang, ia juga mampu menjana pendapatan lumayan.
“Saya lihat ramai murid cukup suka pada bidang pertanian. Sebab itu, saya mulakan dengan projek tanaman terung terlebih dahulu. Sebanyak 100 polibeg pokok terung berjaya dihasilkan pada Penggal 1 2019. Alhamdullilah, sekolah mendapat RM1,000 bagi semusim,” katanya.
Berkebun Hilangkan Stres
“Bila berkebun, saya rasa seronok sangat. Apatah lagi, isteri dan anak-anak saya juga meminati hobi yang sama,” ujarnya.
Macam-macam pokok
Sehingga kini, pelbagai jenis pokok telah ditanam oleh cikgu kesayangan ramai ini. Antaranya, cili kulai 461, terung panjang, kubis, salad, sawi, kangkung dan tomato.
Turut ditanam, cili padi, bayam merah dan hijau, roselle, kunyit, bayam Brazil, oregano dan mulberry.
Menurutnya lagi, kebanyakan pokok yang ditanam, adalah untuk kegunaan sendiri.
“Cuma sejak kebelakangan ini, saya ada membuat jualan pokok, baja, benih, dan keperluan asas kepada komuniti di taman saya, iaitu Taman Bemban Heights, Melaka.
“Selain itu, ada juga permintaan daripada pasaraya di Jasin, Melaka,” jelasnya.
Tambah beliau, stok baja dan penjagaan kebun mini itu, mudah didapati dan senang dijaga kerana dia telah membina stor khas di rumah.
“Di stor berkenaan, saya menyimpan baja dan kelengkapan asas pertanian seperti benih, baja TPF, bio booster, racun serangga, takung hidroponik, pasu nutripot dan lain-lain lagi.
“Sangat senang bila kita memerlukan stok ini di masa akan datang,” katanya.
sumber : Mohd Amri dan GPS Bestari