![Untitled design (64)](https://cdn.keluarga.my/2019/10/untitled-design-64-10_10_220776-696x406.png)
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itulah yang boleh digambarkan kepada betapa tegarnya seorang suami ini ‘melayan’ hobinya bercucuk tanam. Walau sedar ruang laman terhad, namun itu semua tidak menghalangnya menanam pelbagai jenis pokok. Semuanya dijaga rapi!
Hobinya menanam pokok-pokok tersebut tidak terhenti dijadikan untuk mengisi waktu senggangnya apabila berada di rumah. Malah dek kerana meminati aktiviti berkebun ini juga menyebabkan anak kelahiran Jerteh, Besut, Terengganu yang juga merupakan seorang cikgu, turut berkebun di sekolah!
Dia yang juga merupakan Ketua Panitia Reka Bentuk Teknologi (RBT) Sekolah Rendah Arab Jaim Pernu, Melaka, berkebun mampu mengurangkan tekanan dan menghilangkan segala masalah.
“Seronok bila melihat kejayaan orang lain dalam aktiviti bercucuk tanam. Selain mengisi masa lapang, ia juga mampu menjana pendapatan lumayan.
“Saya lihat ramai murid cukup suka pada bidang pertanian. Sebab itu, saya mulakan dengan projek tanaman terung terlebih dahulu. Sebanyak 100 polibeg pokok terung berjaya dihasilkan pada Penggal 1 2019. Alhamdullilah, sekolah mendapat RM1,000 bagi semusim,” katanya.
Berkebun Hilangkan Stres
“Bila berkebun, saya rasa seronok sangat. Apatah lagi, isteri dan anak-anak saya juga meminati hobi yang sama,” ujarnya.
Macam-macam pokok
Sehingga kini, pelbagai jenis pokok telah ditanam oleh cikgu kesayangan ramai ini. Antaranya, cili kulai 461, terung panjang, kubis, salad, sawi, kangkung dan tomato.
Turut ditanam, cili padi, bayam merah dan hijau, roselle, kunyit, bayam Brazil, oregano dan mulberry.
Menurutnya lagi, kebanyakan pokok yang ditanam, adalah untuk kegunaan sendiri.
“Cuma sejak kebelakangan ini, saya ada membuat jualan pokok, baja, benih, dan keperluan asas kepada komuniti di taman saya, iaitu Taman Bemban Heights, Melaka.
“Selain itu, ada juga permintaan daripada pasaraya di Jasin, Melaka,” jelasnya.
Tambah beliau, stok baja dan penjagaan kebun mini itu, mudah didapati dan senang dijaga kerana dia telah membina stor khas di rumah.
“Di stor berkenaan, saya menyimpan baja dan kelengkapan asas pertanian seperti benih, baja TPF, bio booster, racun serangga, takung hidroponik, pasu nutripot dan lain-lain lagi.
“Sangat senang bila kita memerlukan stok ini di masa akan datang,” katanya.
sumber : Mohd Amri dan GPS Bestari
Walau Isteri Tak Kisah Memandu Axia Tapi Suami Ni Tetap Belikan Kereta Mazda CX5. Hadiah Sebab Beranak!
![](https://cdn.keluarga.my/2021/05/Untitled-design-2021-05-21T221117.958-1.png)
Kita sering dengar banyak nasihat yang diberikan dalam menjaga hubungan suami isteri agar kekal bahagia, antaranya adalah isteri perlulah hormat suami dan pihak suami juga perlulah menghargai isteri. Cara bagaimana suami menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan isteri, ianya dilihat dari sudut pandang yang luas.
Andai suami membantu meringankan urusan isteri dalam mengurus rumah tangga, bercakap dengan nada yang lembut, mengingati tarikh-tarikh istimewa dan banyak perkara lain juga adalah suatu cara menzahirkan rasa penghargaan pada isteri. Apatah lagi dengan pemberian hadiah.
Berkongsi kisah tentang cara menghargai isteri, seorang suami ini meluahkan rasa penghargaan kepada isteri tercinta yang sanggup menahan kesakitan beberapa kali demi melahirkan zuriat. Sebagai balasannya, suami ini menghadiagkan kereta Mazda CX-5 buat isteri tercinta, nyata cukup terinspirasi kisahnya.
Nak tahu lanjut, ini perkongsiannya;
Hadiah sebab beranak
Alhamdulillah hari ni bagi hadiah kereta kat isteri. Dah lama dia guna Axia sebelum ni. Dia kata ok je naik kereta Axia, dia tak kisah kalau tak beli kereta baru.
Tapi saya tetap belikan hadiah kereta ni sebagai tanda penghargaan di atas pengorbanan dan ketabahan dia mengharungi kesusahan mengandung dan proses kelahiran baby Noura.
Baby Noura lahir pada 15 Mac 2021 Alhamdulillah.
Nampak sangat penat masa mengandung, sakit urat, sakit badan tak selesa. Waktu nak bersalin pula dia kata sakit contraction macam kena langgar lori. Ya Allah tak boleh nak bayang macamana kena langgar lori banyak kali setiap 4 minit.
Tuan-tuan, isteri kita sanggup mempertaruhkan nyawa untuk beranak, ia antara hidup dan mati.
Lepas tu sambung pula pengorbanan dalam proses penyusuan selama 2 tahun, setiap hari tak cukup tidur.
Hadiah kereta ni memang tak dapat nak balas nilai pengorbanan isteri, tapi at least boleh buat dia rasa dihargai. Itu yang penting.
Sebenarnya isteri selalu penat uruskan baby, bila kita bagi penghargaan dapatlah kurangkan sikit rasa penat tu.
Hadiah tanda penghargaan tak semestinya besar nilainya, kalau sekadar sejambak bunga pun dah ok. Tapi tu lah, kedai bunga susah nak jumpa, tak macam kedai emas merata tempat ada. Jadi nak senang beli je lah rantai ke gelang ke ok dah. Untuk isteri kita juga bukan orang lain.
Kalau tak bagi hadiah material tak apa, yang penting suami kena sama-sama jaga anak dan tolong uruskan rumahtangga. Biar isteri dapat rehat dan kurangkan rasa burnout.
Tapi kan jaga anak dan urus rumahtangga memang tanggungjawab bersama. Itu benda biasa. Buatlah benda special sikit dengan bagi hadiah penghargaan. Berbunga-bunga hati isteri.
Ada hadith tentang pahala belanja isteri dan keluarga adalah ganjaran paling tinggi. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ
Maksudnya: “Duit yang kamu belanjakan di jalan Allah dan duit yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan duit yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta duit yang kamu belanjakan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu belanjakan kepada keluargamu”. [Riwayat Muslim (995)]
Terima kasih suri hatiku Widyana Ali sebab banyak berkorban untuk abang dan anak-anak.
We all love you mama
Abah Noura
20 Mei 2021
Sumber : Mohd Yazid Ismail
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
“Inilah Dunia Aku, Kenapa Susah Bercampur Orang Lain & Tak Keruan Menjaga Anak-Anak.” Miliki Anak Autistik & 7 Tahun Alami Depresi, Luahan Ibu Ini Cukup Menyentuh Hati
![](https://cdn.keluarga.my/2019/07/new-anak-12_00_928258.jpg)
Semua orang tak pernah sepi daripada ujian. Cuma yang membezakan adalah bentuk ujian yang menimpa itu. Ada yang diberikan ujian kecil, ada pula ujiannya besar. Ada yang Allah pendekkan ujiannya dan ada yang berlarutan. Malah ada juga yang ujiannya datang bertimpa-timpa, bak kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga pula.
Setiap ujian yang berlaku pasti ada hikmahnya. Jika nipis imannya maka itu yang menyebabkan mereka hanyut dan terjerumus ke lembah hitam. Andai kuat,cekal serta reda menerima apa yang berlaku, maka dengan sendirinya kehidupan akan lebih bermakna.
Perkongsian Syahirah Omar ini antara bingkisan hati seorang ibu yang memiliki anak syurga. Cukup sebak dan menyentuh hati tatkala membacanya. Moga ibu hebat ini tabah dan terus kuat dalam membesarkan anak-anak syurganya.
” I’m sorry sir, she’s autistic,” sambil aku hulur kepada dia kad bersaiz kecil. Di dalam kad tu aku ada sertakan sekali sedikit info tentang Autisme.
Lana tetap meraung sekuat hati. Merangkak dari depan ke belakang pesawat. Kalau aku larang, dia akan menangis. Jadi, terpaksa aku biarkan dia merangkak di dalam pesawat walaupun sudah 3 jam dia kehulu kehilir.
Terlalu banyak mata memandang. Ada pandangan simpati, ada pandangan yang kurang selesa Ya, aku tahu, Anoyying sangat kan?
3 jam tu juga Luqman turut menangis. Kalau aku yang memandu pesawat pasti aku dah parking tepi tenangkan mereka. Tapi, nak parking mana? Perjalanan dari Kuwait ke Malaysia bukan sekejap. Bukan ada hentian R n R diatas awan.
Cabin crew cuba membantu kami. Sebelum pesawat berlepas lagi aku sudah beritahu mereka kondisi Lana. Mereka beri toys, mereka beri makanan. Diam sekejap, kemudian sambung nangis semula. Sebenarnya, sebelum naik pesawat aku dah buat persediaan yang sangat rapi. Aku bawa toys baru, bekalan ubat, gadget. Tapi, inilah dunia aku. Kenapa aku susah bercampur dengan orang lain. Hidup aku memang tak keruan menjaga anak-anak.
“Mungkin dia sakit perut?” Seorang warganegara Indonesia cuba membantu aku.
Aku check perut tak pula kembung atau cirit birit. Demam pun tak ada. Tetapi inilah Autisme. Anak begini bukan boleh duduk statik. Masalah sensory bunyi yang teruk juga membuatkan dia tak boleh dengar bunyi pengumuman di dalam pesawat.
Itulah punca dia menangis tak berhenti. Mungkin juga tekanan pada gegendang telinga apabila berada tinggi di udara membuatkan dia sangat tidak selesa.
Setelah 7-8 jam, akhirnya kami sampai ke tanah air. Perjalanan yang sangat mencabar. Sebenarnya bukan kali pertama mereka menaiki pesawat, tetapi setiap kali menaiki pesawat itulah yang aku dan anak anak akan lalui. Boleh kau bayangkan? Cuma yang bezakan setiap kali perjalanan tu berapa jam mereka akan menangis.
Kadang-kadang orang tak bersetuju dengan keputusan aku untuk duduk sendiri bertiga dengan anak-anak pada waktu tu. Bagi mereka, kenapa perlu begitu? Tetapi aku dan anak anak perlu keluar ke negara lain setiap 3 bulan kerana aku masih masuk ke Kuwait menggunakan Visa on Arrival. Proses untuk mendapatkan civil id bukan satu perkara yang mudah. Tetapi orang lain tidak akan faham situasi aku.
” Ruginya! Best kot duduk oversea! Boleh jalan tempat orang. Ada musim panas, musim sejuk, buah kurma,”
Haha! Tak ada best mana pun kalau dah anak aku begini. Setiap kali nak bawa keluar rumah adalah mimpi ngeri bagi aku. Setiap kali nak ke rumah kawan pun adalah mimpi ngeri bagi aku. Pergi keluar cantik, balik rumah brooch dah terpusing ke telinga.
Akhirnya aku buat keputusan menetap di Malaysia bertiga dengan anak-anak. Aku pilih untuk tinggal di Alor Setar memandangkan disitu ada kekosongan untuk Lana sertai Nasom. Sejak dari tu la hidup aku berpindah randah tak berhenti. Di negeri mana yang sesuai, aku akan pindah asalkan aku usahakan yang terbaik buat dia.
Depressi aku bukan setahun dua. Ini cerita 7 tahun lepas. Tekanan yang lama tu buatkan aku makin tidak waras dan tak mampu berfikir lagi dah bila ada perkara yang sama berulang kali trigger aku. Aku penat mental, fizikal dan emosi aku sangat remuk sepanjang membesarkan mereka. Susah aku nak gambarkan perasaan tu, tetapi memang bukan satu benda yang mudah untuk aku. Alhamdulillah, sekarang aku pun dah sihat dari Depressi dan Anxiety.
Allah Maha baik kan? Aku dah lepas satu ujian kecil melalui anak, dan beberapa ujian lain dalam hidup.Tetapi masih banyak ujian lain menanti, kan? Dan ujian hidup ni takkan pernah habis pun kan? Kau sabarlah jika diuji. Kemanisan tu kita akan rasa satu hari nanti bila kita sabar mengharungi. Berapa kali kau jatuh tersungkur pun kau jangan berputus asa. Allah sentiasa ada bersama kau bila saat kau rasa kau tak punya siapa siapa.
Salam sayang,
Syahirah omar.
Anak Dari Tak Dengar Kata Berubah Jadi Lembut Hati, 13 Perkara Ibu Ayah Kena Belajar Amalkan!
![](https://cdn.keluarga.my/2022/10/gambar-hiasan-2022-10-08T085458.750.jpg)
Anak-anak ni masing-masing ada pe’el yang tersendiri. Bila datang nakalnya tu, geleng kepala ibu ayah dibuatnya! Kadang, nak bawa keluar pun boleh fikir banyak kali takut terlalu aktif dan tak dengar kata bila di luar.
Tapi tahu tak, ada banyak cara yang ibu ayah boleh amalkan untuk bagi anak-anak ni lembut hati. Tak kira sama ada cara didikan atau pemakanan. Tapi hari ini min nak kongsikan cara yang diajar oleh saudara kita, Ahmad Mhd Mhd Muhayadi, boleh kita amalkan buat anak-anak kita. Mungkin tidak berubah menjadi yang terbaik tetapi berubah menjadi lembut hatinya dan senang dibentuk.
13 cara ni mak ayah patut cuba amalkan.
1. Pastikan dia makan malam sebelum maghrib seperti yang Nabi SAW sarankan supaya mudah belajar waktu malam. Makan malam lepas maghrib buat anak mudah letih dan mengantuk bila belajar. Makanan hadam selepas 1 ½ jam makan. Jadi anak boleh belajar dengan berkesan dan fokus jika belajar 1 ½ jam selepas makan malam. Pastikan dia kurang makan daging merah, banyakkan daging putih seperti ayam dan ikan. Daging merah buat anak pemarah dan agresif serta mudah melawan cakap. Pastikan mereka makan buah SEBELUM makan nasi agar badan dapat serap Vitamin C yang ada dalam buah-buahan. Vitamin C membantu tenangkan fikiran anak di samping jaga kulit.
2. Banyakkan memeluk anak. Anak yang sering dipeluk akan tenang, kurang degil, rasa selamat dan disayangi serta tidak perlu nak buat nakal.
3. Pesan kepada anak untuk menghadap Qiblat semasa belajar atau mengaji, ini akan tingkatkan keberkatan dalam belajar.
4. Sebelum belajar, baca doa-doa penerang hati termasuk surah Al-Insyirah. Nabi suruh Ali RA baca surah Al-Insyirah untuk kuat ingatan, mudah faham, jadi tenang, mudah patuh arahan ibubapa dan tidak banyak meragam.
5. Letak pokok hidup, seperti pokok keladi air, di kanan dan kiri meja tempat anak belajar untuk bekalkan oksigen kepada otak anak semasa belajar.
6. Beri anak supplement yang dapat menguatkan minda, tenangkan emosi, lembutkan hati dan kuatkan daya ingatannya.
7. Bacakan di kepala anak: Al-Fatehah, ayar Qursi dan surah Al-Insyirah untuk rangsang otak dan memori anak dan jadikan dia anak yang tenang, baik akhlak, dengar cakap ibubapa dan pintar. Bacakan waktu malam semasa nak belajar dan waktu anak nak pergi tadika/ sekolah.
8. Elakkan anak memakai pakaian berwarna merah atau oren. Ikut kajian, warna merah dan oren akan rangsang anak jadi agresif dan hyperaktif.
9. Suruh anak tidur mengiring kekanan agar otak jadi lebih pintar, puas tidur dan ikut sunnah Nabi SAW.
10. Pastikan rezeki yang ibubapa terima benar-benar berkat dengan mengelakkan perkara haram dan syubahat serta keluarkan zakat pendapatan dan zakat-zakat yang berkenaan. Rezeki yang kurang berkat juga jadi punca anak jadi agresif, tidak dengar cakap ibubapa dan extra nakal.
11. Ibubapa baik pulih diri secara bersepadu agar Allah SWT ubah anak-anak jadi hebat dan cemerlang.
Prinsip hidup: Jika baik pulih diri kita secara bersepadu, Allah SWT akan ubah anak-anak dan semua orang di sekeliling kita. Juga, semakin rapat kita dengan Allah SWT, maka Allah SWT akan perbaiki hubungan kita dengan semua orang.
Mulai hari ini baik pulih diri secara menyeluruh dengan:
1. Jaga solat 5 waktu dan lakukan solat-solat sunat qabliah dan ba’diah untuk menampung segala kekurangan dalam solat-solat fardhu kita.
2. Solat taubat dan istighfar 70 kali sehari setiap hari. Lakukan juga solat hajat, istikharah dan tutup dengan solat WITIR setiap malam. Nabi SAW suruh kita untuk solat witir setiap malam sebagai pembalut kepada semua amalan kita setiap hari untuk dipersembahkan kepada Allah SWT.
3. Maafkan semua orang setiap malam sebelum tidur agar hati jadi bersih, badan sihat, wajah jadi anggun, doa dimakbulkan, semua orang sayang dan anak dengar cakap kita.
4. Untuk merangsang ahli keluarga supaya solat dan elok perangai, bacalah Surah Ibrahim (ayat 40). Ini memang doa khas untuk mohon agar diri dan keluarga jaga solat.
5. Baca Doa Pembuka 12 Pintu, Doa Membuang Sifat Negatif, Bismillah 5 dan Ayat Qursi. Pengalaman menunjukkan sesiapa yang mengamalkan doa-doa tersebut, maka orang bujang akan bertemu jodoh, suami isteri akan bertambah sayang, orang bergaduh akan jadi damai, selesai masalah, langsai hutang, anak-anak jadi hebat dan soleh, hilang perangai buruk seperti enggan solat, dan sebagainya.
6. Pagar diri dengan Al Fatihah and Surah 3 Qul, hembus tapak tangan dan sapu seluruh badan. Ini akan menghindar daripada gangguan manusia, binatang, jin dan sihir.
7. Lembutkan hati anak kita atau orang lain dengan Al Fatuhah, Surah Al-Hasyr (ayat 21-24), Surah Ta Ha (ayat 1-5), Ayat Qursi dan hembus ke badan, makanan, gambar atau pakaian yang sudah dipakai sebelum dicuci atau sekadar menghembus ke arah orang itu dari jauh.
8. Layan anak lebih baik daripada biasa agar dia rasa bersalah jika ingkar perintah ibubapa.
9. Setiap kali nak masuk rumah, pesan kepada semua ahli keluarga kita untuk baca Bismillah 3 kali, senyum, beri salam dan masuk dengan melangkah kaki kanan dahulu. Ini akan menghindarkan syaitan bernama DASIM daripada masuk ke kepala kita dan ganggu manusia supaya berkonflik, suami isteri supaya bergaduh hingga bercerai berai, anak-anak melawan ibubapa, anak-anak bergaduh sesama sendiri, anak-anak jadi extra nakal, dan sebagainya.
10. Setiap kali nak nasihati anak, nak suruh anak solat atau belajar, bacalah 3 Nama Allah: Ya ‘Aziz, Ya Jabbar, Ya Mutakabbir dan hembus ke arah dia jika masih jauh atau berdehem depannya jika sudah berhadapan. Ini akan melembutkan hatinya agar dapat mendengar cakap atau hujah ibu.
11. Jika terlalu sedih atau tertekan, bacalah 3 doa Nabi SAW:
Inna lillahi wainna ilahi rojiuun.
Ya Allah, aku redha dengan segala ujianMu, berilah aku pahala atas redha ini.
Ya Allah, aku ada masalah anak sukar nak dengar cakap ibubapa. Ya Allah, Kau bantulah selesaikan masalahku. Kau jadikan dia anak yang soleh, sabar, pintar, baik akhlak, mendengar cakap ibubapa, rajin belajar dan sebagainya. Insya Allah hati akan tenang dan doa akan dimakbulkan.
12. Baca Al-Fatihah, Ayat Qursi dan Surah Al-Insyirah dan hembus atas kepala anak kita setiap hari hingga aqil baligh. Ini akan membantu dia jadi anak yang soleh, pintar, berakhlak mulia dan taat kepada ibubapa.
13. Cuba nasihati anak semasa dia tidur dengan berbisik di telinganya atau sekadar bercakap dalam hati. Nasihatkan agar jadi anak yang baik, sopan santun, dengar cakap ibubapa, dan sebagainya. Ikut kajian dan pengalaman peribadi saya, jika kita istiqamah menasihati anak kita semasa mereka tidur, anak-anak insya Allah akan berubah menjadi anak yang baik.
Cuba amalkan selama 40 hari, kerana tabiat baru terbentuk dalam masa 40 hari. Insya Allah segala masalah anak yang keluarga anda hadapi akan selesai langkah demi langkah.
Selamat beramal dan moga berjaya, wassalam.
Sumber: Ahmad Mhd Mhd Muhayadi