Sejak beberapa hari lalu hangat diperkatakan dakwaan mengenai isu pembelian gelaran Datuk palsu termasuk suami kepada selebriti popular, Datin Fouziah Gous.
Meskipun lama menyepi daripada menjawab persoalan netizen, nyata Datin Fouziah Gous merasakan tiada keperluan untuk membuktikan bahawa suaminya iaitu Datuk Zhafran Md Yusof adalah dipihak yang betul.
Ini memandangkan menurutnya dia memiliki gelaran Datuk kerana memang mempunyai segala dokumen dan watikah yang diterima dari Istana Pahang pada 2016.
Memetik laporan akhbar, Fouziah ketika ditemui berkata, suaminya menerima jemputan dari Istana Pahang pada 2016, namun Zhafran menghadiri pertabalan pada hujung 2017.
“Saya beritahu kepada suami untuk tidak menjawab sebarang persoalan. Kenapa perlu nak buktikan sedangkan kita mempunyai watikah pelantikan, kad dan segala hitam putih.
“Jika ia tidak dipaparkan dalam sistem kenapa pula nak tanya kami? Sudah tentu kami sendiri nak tahu bagaimana ia boleh terjadi, tapi takkan kami nak terus terjah.
“Pastilah kena ada adab dan saya pasti ramai lagi orang di luar sana yang memiliki gelaran itu tapi nama mereka tiada dalam sistem,” katanya.
Terdahulu, status gelaran Datuk milik suami beberapa selebriti tanah air didakwa palsu.
Selain suami Fouziah, gelaran Datuk Seri dan Datuk suami Datin Seri Heliza Helmi dan Datin Paduka Eina Azman turut didakwa palsu.
Isu itu timbul susulan perkongsian individu di Facebook yang menggunakan akaun Aliff Ahmad mengenai gelaran Datuk Seri yang dimiliki suami kepada Heliza iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang tidak tersenarai dalam sistem istiadat.
Individu terbabit juga mendakwa tindakan itu dibuat selepas dia didesak oleh banyak pihak bagi mendedahkan perkara sebenar.
Fouziah juga meminta orang ramai yang mempertikaikan gelaran datuk suaminya itu menyemak perkara itu dengan pihak bertanggungjawab.
Katanya, jika gelaran Datuk itu palsu, tidak mungkin ia boleh digunakan untuk tujuan rasmi.
“Awak nak buat pasport, awak nak buat kad pengenalan, awak rasa adakah senang-senang gelaran itu boleh diletakkan. Tepuk dada tanya diri sendiri, kenapa ia boleh?
“Saya sendiri pernah bergurau dengan suami berkenaan gelaran itu, tapi bila difikirkan macam mana bila pergi Jabatan Imigresen boleh lepas?
“Takkan kami nak tunjuk semua dokumen dan watikah terbabit. Ia seolah-olah mempersoalkan kredibiliti sistem yang ada. Kita tak boleh sebab banyak benda yang sensitif dan orang sekarang suka manipulasi. Saya takut nak cakap lebih,” katanya.
Sumber : myMetro