Seorang lelaki yang dikenali sebagai Awie meluahkan rasa rindu terhadap isterinya yang kini sedang koma akibat komplikasi melahirkan anak secara ’emergency caesarean’.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Awie di laman TikTok, isterinya, Syerah sudah lebih 17 hari tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan di bahagian otak.
Katanya lagi, sebelum menjalani pembedahan isterinya menunjukkan reaksi positif namun, sangkaannya itu meleset kerana pada ketika itu keadaan Syera rupanya sudah lemah.
“17 hari dah isteri saya di unit rawatan rapi (ICU) akibat emergency caesarean yang mengakibatkan komplikasi jantung berhenti tiga atau empat minit sehingga kecederaan otak.
“Berat ujian kita kali ini sayang, b hari-hari doa agar sayang kembali sembuh dan sedar dari tidur mu yang panjang, bangun lah isteriku,” katanya pada Jumaat lalu.
Tidak dipastikan akan situasi sebenar, namun menurut kata Awie, isterinya dalam keadaan yang baik namun tidak bermaya sebelum menjalani pembedahan.
“Anakmu sedang menunggu ibunya, hari-hari b gelap sayang, b rindu nak dengar suara sayang, rindu nak usik sayang nak gelak sama-sama.
“Sebelum sayang koma b nampak muka sayang senyum b yakin sayang kuat sebaliknya b tak sangka yang sayang dah lemah. Sayang terlalu risaukan baby dalam perut sampai sayang sanggup ambil risiko ini,” luahnya lagi.
Dalam pada itu, Awie berjanji akan menjaga isteri dan anaknya selagi nyawa dikandung badan dan menyifatkan Syera sudah menjadi suri hati yang terbaik buat dirinya.
“Terima kasih sayang sanggup berkorban untuk b, selagi b bernyawa b akan jaga sayang dan anak kita. Di mata b sayang dah menjadi isteri yang sangat sempurna. Semoga syurga buat mu nanti sayang,” ujarnya.