Tiap rasa sayang, kasih dan cinta itu terlalu subjektif untuk diungkai. Ungkap Nicholas Sparks, cinta itu seperti angin, kita tidak mampu melihatnya tetapi mampu merasakannya. Dua watak peranan utamanya sahaja yang mampu menyedari akan setiap ‘rasa’ yang diberikan ini.
Pun begitu, ramai suami yang tidak pandai mempamerkan setiap ‘rasa’ ini kepada pasangan masing-masing. Bukahkah semua rasa ini hanya pinjaman yang diberikan Allah SWT kepada kita.
Mengapa kita tegar menyembunyikan semua rasa ini kepada pasangan kita, iaitu isteri tercinta. Buat lelaki bergelar suami, lepaskanlah..lepaskan semahunya untuk isteri kita.
Biarkan dia tahu bahawa waktu yang tersisa, pinjaman Allah SWT ini adalah untuknya seorang! Apa suami patut buat? Tip ini pastinya mampu membantu anda.
Jangan Ego
Jangan kalah pada ego seorang lelaki. Benar lelaki punya ego sendiri namun jika anda dapat mengetepikan rasa ego ini untuk pasangan pastinya anda terasa nikmat sebenar cinta. Rendahkanlah sedikit ego anda. Bukan untuk siapa tetapi untuk anda sendiri.
Tiada Lagi Hari Esok
Anggap sahaja seperti tiada lagi hari esok untuk anda menatap wajah isteri atau suami. Ajal maut di tangan Allah. Bayangkan andai hari esok Allah mengambilnya pergi daripada sisi anda. Berikan rasa itu sebaiknya setiap kali anda melihatnya. Jika anda tahu bahawa tiada lagi hari esok, pastinya hari ini anda akan cuba sebaiknya meluahkan setiap bait kata cinta yang pernah diluahkan satu masa dahulu. Tidak rugi anda mulakannya sekarang.
Luahkan Rasa
Tidak ada salahnya jika anda meluahkan rasa cinta saban hari untuk isteri. Ungkapan “I love You” atau “Sayang Awak” bukanlah terlalu susah untuk dilontarkan. Tidak mahu dengan mulut, pesanan ringkas pastinya lebih buat anda berani. Luahkan semahunya. Biar ringkas asalkan sampai maksudnya.
Belajar Kongsi
Tidak hanya anda, ajarlah anak-anak turut sama memberikan ungkapan sayang ini saban hari. Mulakan ungkapan I love you setiap pagi dan sebelum tidur di malam hari. Ajar anak-anak turut melakukan perkara yang sama. Bila sudah menjadi kebiasaan, lama kelamaan ia menjadi aktiviti wajib yang sukar untuk dilepaskan. Mulakan hari ini.
Sentuhan Fizikal
Jika anda tidak tahu caranya atau malu untuk memulakan segalanya, gunakan pendekatan berbeza namun ringkas. Cukup hanya dengan cara fizikal anda. Sentuhan tanda sayang jangan sekali-kali dilepaskan. Pautlah lengannya mesra setiap kali tidur. Biar hanya sedikit sentuhan tapi benar-benar memberi makna. Isteri pasti tahu anda menyayanginya.
Simbolik 2+1
Suami terutamanya sering menggunakan bahasa badan untuk menyampaikan rasa cinta dan sayang. Apa kata sesekali ubah cara ini. Sekalikan bahasa badan anda bersama ungkapan dan luahan rasa melalui ucapan. Simbolik 2+1 ini pasti buat hidup anda lebih bermakna. Percaya bahawa semua ini tidaklah mendatangkan kerugian.
Jangan Lokek Pujian
Pujian kebiasaannya diluahkan daripada lubuk hati yang dalam. Pujian daripada pasangan dianggap perkara paling manis untuk dikenang. Saban hari pasti buat anda tersenyum riang dek kerana pujian suami atau isteri. Jadi berusahalah untuk saling memuji sebagai salah satu tanda anda mencintainya sepenuh hati. “Sayang..awak nampak cantik hari ni.”Dah cukup buat isteri gembira!
Ringankan Tangan
Ringankan tangan bukan hanya untuk sebarang kerja rumah, sebaliknya ringankanlah tangan anda untuk mengirim sistem pesanan ringkas kepada pasangan setiap kali anda keluar bekerja. Cuba anda bayangkan jika tiba-tiba menerima ungkapan ‘I miss you’, bukankah ianya cukup membuatkan kita tersenyum sepanjang hari. Pasti hati berbunga riang. Cubalah.
Renungan Mesra
Pandangan mata seringkali membawa makna yang tersembunyi. Jadi belajarlah untuk memandang pasangan dalam apa jua keadaan pun. Pandanglah dia selagi dia di depan mata. Anggaplah seperti esok anda sudah tidak dapat memandangnya lagi. Kata orang, curi-curi pandang itu lebih terasa nikmatnya. Mulakan!