Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah rezeki terpijak yang diperolehi oleh suami isteri berbangsa India ini yang dikenali sebagai S.Pavithra, 28, dan suaminya M.Sugu, 29.
Awalnya, mereka sering berkongsi video masakan dengan bertutur dalam Bahasa Melayu dan siapa sangka dengan trik dan kelebihan tersebut, mereka suami isteri memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD).
Pasangan suami isteri ini telah dilantik menjadi Rakan YouTube hasil daripada penerimaan penonton yang memberangsangkan untuk setiap perkongsian video masak memasak mereka.
Mengetahui lanjut kisah ini, ayuh baca perkongsian ini agar dapat menyuntik inspirasi kepada ibu-ibu yang minat memasak untuk menjana pendapatan sepertimana yang dilakukan oleh pasangan ini.
Dan ini adalah petikan berita tentang kisah pasangan suami isteri tersebut. Jom baca.
Sepasang suami isteri tidak menyangka perkongsian video memasak pelbagai menu dengan bertutur dalam bahasa Melayu berjaya menambat hati rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan peringkat umur.
S.Pavithra, 28, dan suaminya M.Sugu, 29, yang berjinak-jinak sebagai YouTuber menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’ sejak Januari lalu, sudah mempunyai seramai 160,000 pelanggan sekali gus menjadikan mereka sebagai Rakan YouTube.
Pasangan yang tinggal di kuarters ladang kelapa sawit di sini itu juga boleh menarik nafas lega kerana sebagai Rakan YouTube, mereka mampu memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD).
Pavithra yang mempunyai perwatakan lemah lembut serta petah berbahasa Melayu itu berkata dia mula memuat naik video masakan di YouTube selepas mendapat saranan daripada seorang rakan baik yang juga seorang YouTuber.
“Menu pertama adalah ikan tilapia bakar dan saya tunjukkan cara-cara memasak dengan mengggunakan bahasa Melayu. Dalam masa empat hari sahaja seramai 5,000 telah mengikut akuan YouTube saya dan selepas itu telah dapat e-mel daripada YouTube untuk menjadi rakan,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Pavithra, ibu kepada dua anak yang berasal dari Buntong, Ipoh berkata dia dan suami tidak menyangka ramai yang menonton video memasaknya serta terus melanggan, dan dianggap sebagai dorongan untuk mereka terus menghasilkan bahan lebih menarik.
“Saya pandai cakap bahasa Melayu jadi tidak salah kalau saya buat video memasak dalam bahasa ini. Kalau saya cakap bahasa Tamil tidak semua faham, jadi saya pilih gunakan bahasa Melayu biar semua rakyat Malaysia boleh tengok dan faham.
“Paling menyeronokkan dan memberi semangat apabila ramai yang memberikan komen positif dan meminta saya teruskan usaha ini. Tidak kurang juga ada yang minta kami tunjukkan cara masak makanan India, ini sangat menyeronokkan,” katanya.
Tambah menarik dan teruja apabila ada selebriti tanah air yang bukan sahaja mengikuti akaun YouTube mereka malah turut mencuba resepi itu dan kemudian berkongsi di akaun laman sosial masing-masing sambil menyatakan ia adalah idea ‘Sugu Pavithra’.
Antara yang mencuba resepi ‘Sugu Pavithra’ adalah atlet bina badan negara, Sazali Samad dan YourTuber Jepun ‘IChang RM’ dengan memasak kari ayam.
Pavithra berkata dia dan suami memilih untuk memasak makanan mudah antaranya terung bulat tumis belacan, kuih ketayap dan kangkung tumis dengan bahan digunakan biasanya ada di dapur setiap rumah agar lebih ramai mencuba resepi yang dikongsikan.
Satu yang menarik mengenai Pavithra, dia tidak memerlukan peralatan yang banyak atau canggih untuk memasak, tapi cukup dengan satu kuali, sudip dan dua periuk termasuk satu periuk untuk memasak nasi.
Malah, untuk merakam aksinya di dapur, Pavithra hanya menggunakan telefon pintar yang diletakkan di atas cawan di tempat kukuh, tapi tetap menghasilkan klip video yang cantik dengan bantuan suaminya.
“Jika suami masak, saya yang banyak bercakap termasuk kenalkan bahan-bahan dan cara-cara kerana suami pemalu,” katanya, memaklumkan tugas menyunting klip video dibuat selepas makan serta dua anaknya tidur.
Pasangan suami isteri itu bagaimanapun tidak menganggap diri sebagai selebriti sebaliknya masih Sugu dan Pavithra yang sama, dan meminta orang ramai terus mengikuti serta mencuba resepi yang dikongsikan.
sumber : BERNAMA