Melangkah ke gerbang perkahwinan sememangnya indah-indah belaka. Namun perlu cukup ilmu untuk sama-sama melayarinya dengan bahagia. Kunci bahagia adalah keserasian, sabar dan menerima pasangan seadanya.
Setiap kali pergaduhan, janganlah kita cepat melatah. Baik suami atau isteri harus sama-sama mencari kata sepakat untuk memperbaiki dan mencari bahagia.
Pakar motivasi keluarga menyarankan lima perkara ini untuk memperoleh rumah tangga bahagia hingga akhir usia. Jangan lupa lakukan perkara-perkara ini.
Serasi dalam komunikasi
Berkomunikasilah dengan pasangan. Mungkin ia tidak mudah untuk dilakukan. Namun tanpa disedari, banyak masalah besar dalam rumah tangga muncul daripada hal yang paling mudah ini.
Silap pilih waktu untuk berbincang, silap penggunaan bahasa dan kata-kata yang tidak sesuai boleh menyebabkan timbulnya salah faham Kunci utama agar serasi dalam komunikasi tentu sama-sama memahami akan perbezaan antara suami dan isteri.
Kepercayaan pada pasangan
Salah satu tip untuk membina kepercayaan terhadap pasangan adalah saling berlaku jujur. Kejujuran terhadap pasangan, maka sikap saling percaya-mempercayai akan wujud dengan mudah.
Namun, ada juga pasangan suami mahupun isteri yang sukar untuk mempercayai pasangannya, bahkan memiliki tahap kecurigaan terlalu tinggi dan sering berprasangka buruk pada pasangannya.
Untuk membina rasa percaya, suami dan iosteri harus bertoleransi dan saling mengingatkan, bersifat terbuka adalah penting.
Berasa cukup dengan rezeki yang Allah beri
Wang memang bukan segala-galanya tetapi segala-galanya perlukan wang. Ini masalah klasik dalam rumah tangga.Banyak yang berakhir dengan perceraian hanya disebabkan oleh masalah wang.
Justeru, sebagai rahsianya adalah selalu bersyukur, saling menerima dan berasa cukup. Walau apapun keadaan keluarga anda hari ini tetap bersyukur, tetap tersenyum dalam menjalani hari-hari. Hindari mengeluh dan sering melihat mereka yang kurang beruntung daripada kita.
Usah ukur kebahagiaan dengan berapa banyak harta yang dimiliki. Setiap individu mempunyai rezeki masing-masing. Ada dikurniakan kesenangan dari segi wang ringgit. Ada pula dikurniakan rezeki dalam bentuk zuriat. Jadi kunci katanya, bersyukurlah.
Belajar bertoleransi
Perkahwinan yang dibina telah menyatukan dua orang berbeza kelamin, latar belakang keluarga, cara berfikir dan memiliki nilai-nilai yang berbeza – nilai-nilai dalam hidup, dalam rumah tangga, dalam mendidik dan mengasuh anak, dalam pendidikan anak dan sebagainya. Jadi, belajar untuk hidup bertoleransi dan berbincang dalam membuat sebarang keputusan dalam rumahtangga.
Cinta pada keluarga
Meskipun sudah menikah maka tetaplah berbakti dan membahagiakan keluarga. Baik keluarga suami mahupun isteri. Insya-Allah keberkatan akan membuat rumah tangga menjadi bahagia.