Perkongsian wanita ini apabila menterjemahkan hubungan suami isteri itu ibarat perjalanan yang tanpa henti, menarik untuk kita sama-sama fahami.
Jom semak perkongsiannya.
Suami dan isteri itu, ibarat perjalanan yang tanpa henti. Perlu melalui sejuta satu nikmat dan ujian, untuk ke destinasi yang pasti. Iaitu syurga yang abadi.
Bila kita setuju menjadi isteri, daripada saat pertama kita kata, “yes papa, I agree”. Di situlah bermulanya pembelian tiket ke syurga tertinggi.
Satu hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad berbunyi, “Apabila seorang perempuan mendirikan solat lima waktu, berpuasa sebulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan TAAT pada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.”
Tamsilannya ibarat, kita buat persiapan nak pergi bercuti ke Port Dickson dan persiapan nak menunaikan umrah ke Makkah dan Madinah. Tentulah persiapan yang nak ke umrah lebih mahal, dan banyak duit yang nak digunakan.
Jadi, simpanan lebih banyak nak dibuat. Usaha untuk dapatkan simpanan yang banyak juga tinggi. Berbanding percutian ke Port Dickson. Tempat yang mahal, usaha dan ujian yang perlu ditempuh, juga setimpal dengan harga tempat tersebut. Betul?
Syurga? Allahu. Tak tergambar dengan akal indahnya syurga. Tak terbayang dek fikiran hebatnya syurga. Dan pastinya, tiket ke syurga amat mahal!
Jalan nak ke syurga, laluan sepanjang menuju syurga, pastinya Allah jadikan penuh nikmat dan ujian yang kita kena tempuh. Ujian macam mana?
Untuk syurga yang mahal, ujiannya pasti bukan calang-calang. Jadi, saat kita berkata, “Walid, saya setuju”, adakah kita benar-benar setuju dan tahu?
Isteri, untuk permulaan ini, buatlah hati dan dirimu itu mengerti, kitalah tempat dia sang suami melepaskan semua dalam hati dan dirinya. Segala emosi, segala cerita tentang diri, segala sudut dan segi, kitalah tempat dia mencari ketenangan.
Mungkin satu hari dimarahi tanpa sebab, mungkin di lain hari, kita diherdik tanpa punca, mungkin di masa yang lain nanti, kita dibiar diam seribu bahasa malah ternanti-nanti. Itulah suami. Namun, itu bukan benci.
Itu bukan niat dia untuk menyakiti. Ia lebih kepada luahan, yang dia sendiri tak tahu, di mana nak di lepaskan, melainkan pada isteri yang dicintai. Takkanlah suami kita nak pergi cari isteri jiran sebelahkan?
Nah, kita pun rasa menyesal tak sudah. Kita terus rasa tak sanggup dah nak tanggung. Kita terus rasa nak hilang sabar dan tawar hati. Sebab kita dah set, aku isteri. Yang tidur sebantal, dan seselimut, sepatutnya dihargai. Disayangi. Dicintai. Disantuni dengan baik sekali.
Tapi kenapa jadi macam ni? Berapa lama nak tahan lagi? Aku boleh gila kalau macam ni saban hari. Saban minggu. Saban tahun. Menangis sampai dah takde air mata. Sampai dah tak tahu nak merungut, menyumpah apa dah dalam hati ni.
Allahuuu. Wahai kita para isteri, kita tidak seorang diri. Allah dan Rasul setiap hari menemani. Pujuklah hati. Damaikan diri. Yang menulis ini juga isteri. Apa yang kita lalui, walau tak semuanya sama, tapi kita tetap isteri yang punya suami. Asam garam rumahtangga, sedikit sebanyak, pasti yang sama kita lalui.
Usah dibuka aib suami. Usah rasa, suami aku saja begini. Dan paling penting, usah kagum dengan suami kawan baik sendiri atau selebriti yang kalian tengok di ig story. Yang nampak hebat di mata kita, namun hanya isteri dia yang mengetahui.
Syukurlah dengan suami yang Allah beri. Cuba dan usaha untuk kita menjadi isteri yang Allah sukai. Yang Rasul cintai. Bila kita usaha menjadi yang Allah dan Rasul ingini, pasti secara automatik kita akan sentiasa cantik di mata suami.
Banyakkan memberi. Banyakkan mencintai. Doakan suami setiap saat tanpa henti. Nescaya, yang menggantikan sakit dan pedih itu, DIA, Sang Pencipta suami.
Berdoalah kita agar tidak jemu usaha untuk melayani dan menyantuni suami dengan baik sekali. Allah lah yang sebaik-baik Pembantu dan Pemandu buat kita isteri-isteri yang sesungguhnya mencintai suami kerani mendambakan Cinta Dia Sang Ilahi.
Kita mencintai suami, tetapi sewajibnya kita mencintai suami kerana kita sedang kuat mengejar Cintanya Allah yang paling abadi.
Salam cinta dari, Seorang perempuan yang juga hari-hari berjuang menjadi isteri yang Allah ingini.
Sumber : Nur Farhana Fizal