Setiap pasangan yang berkahwin semestinya menantikan untuk memiliki zuriat sendiri sebagai penyambung generasi mereka. Namun, semua itu ketentukan Dia, tak semua dikurniakan rezeki anak dalam tempoh masa awal perkahwinan. Ada yang diuji dengan tempoh yang sangat panjang untuk memiliki cahaya mata itu.
Pelakon dan penyampai radio Sinar FM, Siti Elizad sebak apabila menerima ucapan daripada suaminya Shamsul Baharin Abdul Rahman sempena Hari Wanita dalam segmen Pagi di Sinar semalam.
Menerusi satu perkongsian video di TikTok Sinar, pada mulanya Shamsul menyamar sebagai pemanggil biasa menitipkan penghargaan buat isterinya yang disifatkan wanita terhebat.
“Sempena Hari Wanita hari ini (semalam), saya ingin ucapkan Selamat Hari Wanita kepada isteri saya, wanita yang terhebat kerana menjadi isteri yang baik, menghormati saya dan paling penting, menghormati orang tua saya,” kata Shamsul.
Walau bagaimanapun, identitinya ‘terbongkar’ apabila menyebut nama pelakon berusia 38 tahun itu sebaik meluahkan tentang cahaya mata yang masih dinanti-nantikan selama ini.
“Walaupun kita belum ada zuriat bersama, but it’s okay sayang. Just go together, let’s strive and I’m still loving you Elizad Sharifuddin till Jannah,” ujarnya.
Susulan kejutan dan ucapan tersebut, Elizad dilihat terharu dan cuba menahan air mata sambil mengucapkan terima kasih kepada suaminya yang sentiasa bersabar menunggu kehadiran zuriat mereka.
“I tak sangka you call. Thank you sebab selalu sabar, walau orang keep pushing us (bertanya soal cahaya mata).. I tengok you tak pernah tanya I, you orang yang sangat hebat.
“Terima kasih, hopefully you dapat jaga I forever till Jannah. Sorry kalau ada mana-mana yang terkurang,” luah Elizad.
@sinar_my Suami Elizad menyamar jadi caller tadi. Sebak dengar ucapan suami Elizad sempena Hari Wanita hari ini. Terutama bila menyentuh soal zuriat 🥺 Beruntung Elizad dapat suami penyayang, penyabar dan sangat memahami. InsyaAllah suatu hari nanti dikurniakan zuriat. Amin #SINARKongsi #PagiDiSINAR #fypシ #xyzbca ♬ original sound – SINAR
Malah, rakan-rakan penyampai iaitu Jep dan Angah turut meluahkan rasa terharu atas ucapan berkenaan namun cuba untuk menceriakan konti seperti biasa.
Terdahulu, Elizad pernah menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sebanyak dua kali sebagai usaha untuk mendapatkan zuriat namun tidak berjaya.
Untuk rekod, Elizad dan Shamsul Baharin mendirikan rumah tangga pada 11 Januari 2015.
Sumber: TikTok Sinar, Instagram Siti Elizad