SKSSR Hadiah Untuk Isteri Suri Rumah. Suami Boleh Carum Sukarela Bukan Wajib!

Share

Isteri mana yang tidak rasa bahagia dan dihargai bila suami rupanya menyediakan caruman khas sebagai penghargaan kepada dirinya yang bergelar suri rumah.

Kita sedia maklum, wanita bergelar suri rumah biasanya tiada pendapatan tetap. Melaksanakan tanggungjawab menguruskan rumah tangga, suami dan anak-anak bukan tugas yang mudah.

Sebagai penghargaan apa salahnya suami rebut peluang menyediakan caruman untuk isteri tercinta. Biarpun caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bukan satu kewajipan bagi suami tetapi sikap prihatin yang dilakukkan patut diberikan pujian.

Foto: CANVA

Sekurang-kurangnya ada perlindungan keselamatan sosial untuk isteri yang tidak bekerja tetapi tetap melaksanakan kerja-kerja menguruskan rumah tangga dan keluarga.

Bukan Paksaan Tetapi Sukarela

Menerusi laporan terbaharu dari BERNAMA, cadangan pelaksanaan SKSSR dalam Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 adalah secara sukarela kepada semua suri rumah di Malaysia dan para suami tidak wajib mencarum untuk isteri mereka.

Foto: BERNAMA

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan memaklumkan menerusi draf rang undang-undang yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ia menyatakan bahawa suami hanya wajib membayar caruman untuk isterinya jika memilih untuk berbuat demikian dan perlu memaklumkan kepada Perkeso.

“Dalam situasi ini, ia boleh menjadi suatu kesalahan kepada suami jika gagal membayar caruman berkenaan. Sabit kesalahan, suami boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagaimanapun, jika pasangan tersebut telah bercerai atau suami terbabit tidak mampu membayar caruman isterinya akibat hilang punca pendapatan atau seumpamanya, maka komitment beliau untuk membayar caruman adalah terbatal,” menurut kenyataan itu.

Caruman Boleh Dibayar Oleh Isteri Atau Pihak Ketiga

Photo by Monstera:

Perkeso juga menjelaskan isteri atau suri rumah tersebut boleh membayar caruman SKSSR secara sukarela atau bayaran caruman tersebut juga boleh dibuat oleh mana-mana pihak ketiga.

Bagi suami yang tidak memilih untuk membayar caruman SKSSR untuk isteri atau suri rumah yang tidak mempunyai suami, caruman berkenaan boleh dibayar sendiri oleh wanita tersebut atau pihak ketiga kepada Perkeso.

Kenyataan tersebut memaklumkan laporan berita yang diterbitkan oleh beberapa media tempatan termasuk menerusi platform dalam talian mengenai kegagalan suami membayar caruman Perkeso isteri yang juga suri rumah boleh dikenakan denda atau hukuman penjara adalah tidak tepat.

Untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai, Perkeso menggesa media yang berkenaan untuk mengambil tindakan segera dengan menyiarkan ralat berhubung laporan yang telah diterbitkan.

Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang bertujuan mengadakan peruntukan bagi keselamatan sosial kepada suri rumah berinsurans dalam bentuk faedah tertentu, meningkatkan kesihatan, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan suri rumah, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Sumber: BERNAMA

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Keluarga Gader https://t.me/keluargagaderclub sekarang!