Suami Berteduh Bawah ‘Flyover’ Dirempuh Lori Pergi Buat Selamanya, Isteri Luah Rasa Pilu

Share

Baru empat bulan melayari bahtera perkahwinan, seorang isteri kehilangan suami buat selama-lamanya apabila insan tersayang maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Arah Selatan, Gurun petang Ahad.

Memetik laporan Harian Metro, mangsa Mohd Amirul Ismail yang menunggang motosikal sedang berteduh di bawah jejambat akibat hujan lebat sebelum dirempuh sebuah lori sehingga tercampak ke dalam longkang berhampiran.

Menerusi luahannya di laman Facebook, isteri mangsa yang dikenali sebagai Fara Haziela terkejut dengan pemergian suaminya yang berusia 28 tahun itu dan memohon orang ramai untuk sedekahkan al-Fatihah.

“Semoga tenang di sana ya suamiku. Ya Allah b, sayang tak kuat b. Mohon sedekahkan al-Fatihah dekat suami saya. Semoga awak tenang di sana,” 

Difahamkan, pemandu lori yang juga berusia 28 tahun sudah direman tiga hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain Mohd Amirul, seorang lagi penunggang Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31 tahun, turut meninggal dunia manakala beberapa penunggang lain selamat dari kejadian berkenaan.

Ketika kejadian pemandu lori terbabit bersama kelindannya dalam perjalanan menghantar sofa yang dipesan pelanggan secara dalam talian di Pulau Pinang.

Sebelum itu, mereka yang datang dari Kelantan baru selesai menghantar sofa kepada pelanggan di Kuala Nerang dan perjalanan ke Pulau Pinang adalah penghantaran terakhir.

Setakat ini, siasatan awal ke atas pemandu lori mendapati dia mendakwa tidak dapat melihat laluan lebuh raya berikutan cuaca hujan dan keadaan gelap.

Ketika kejadian itu juga, kelindan lori yang menemani pemandu terbabit dikatakan sedang tidur.

Bagaimanapun, sehingga kini polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan

Sumber: Harian Metro , Facebook Fara Haziela, Ohmymedia