Dalam diam, rupanya sudah 5 hari pelakon jelita, Diana Danielle berangkat ke tanah suci bagi menunaikan umrah bersama suaminya yang juga pelakon, Farid Kamil disertai dua anak mereka, Muhammad dan Nur Aurora.
Diana berkata, suami menjadi antara pendorong terbesar selain menyifatkan keberadaannya di sana adalah sebagai proses untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Pengalaman pertama saya dan anak-anak, tetapi ini umrah kedua buat Farid. Sudah pasti apa yang membuatkan saya rasa teruja adalah apabila kita bawa anak-anak bersama ke Tanah Suci. Malah untuk saya sendiri adalah untuk insafi diri, alhamdulillah.
“Farid memberikan motivasi kepada saya sebenarnya. Jujurnya dia melihat saya dan anak- anak sudah banyak pergi serata destinasi tetapi katanya, saya masih lagi belum ke sebuah tempat yang terbaik di dunia.
“Sebelum kita berikan pendedahan yang lebih lagi kepada anak-anak kepada dunia, apa kata kita bawa mereka bersama ke rumah Allah. Bagi mereka mengenali siapa diri dan tahu kita hidup untuk apa.
“Saya menyukainya sementelah anak saya pun sudah berusia 10 dan lapan tahun. Rasanya ini masa sesuai. Untuk mereka raih pengalaman bermakna sambil kita sebagai penjaga ada kudrat yang masih kuat ini” katanya kepada MH.
Ditanya mengenai perasaan anak-anak sejurus mengetahui mereka turut berpeluang melakukan umrah pada usia yang muda, mereka menyambutnya dengan baik.
“Muhammad sangat teruja. Mungkin ada kanak kanak yang masih belum memahami keberadaan mereka di sana, tapi ia berbeza untuk anak sulung saya. Sebelum ini pun anak-anak banyak tonton video jemaah yang sedang tunaikan haji dan umrah.
“Pada sama sama sebelum berangkat, kita semua ada hadiri kelas umrah juga. Penting bagi mereka juga untuk jaga diri dan berdisiplin sepanjang berada di sana. Tak adalah nanti ia menyulitkan kita untuk buat ibadah,” katanya lagi.
Selain mahu memberi fokus kepada ibadah, Diana juga tidak menafikan ini masa terbaik untuknya menitipkan doa yang baik-baik untuk keluarga di depan Kaabah.
“Saya mendoakan agar dikurniakan keluarga yang sihat, bahagia dan apa segala jenis ujian yang Allah SWT berikan, semoga kita kuat untuk hadapi.
“Saya tidak boleh menjanjikan kita akan jalani sebuah kehidupan yang sempurna. Tapi apa yang saya cuba untuk doakan ialah, walau pun ia sukar, insyaAllah kita boleh harungi bersama-sama.
“Lagi satu, saya berdoa semoga kerjaya suami saya makin bersinar dan berjalan dengan baik, insyaAllah,” katanya lagi.
Sumber : Media Hiburan