“Solat Berjemaah Penting, Tarik Sahaja Tangan Suami Untuk Solat Bersama.” Ustazah Isfadiah Kongsi Kunci Kekal Bahagia!

Share

Sering bersiaran di televisyen dan dikenali sebagai pendakwah selebriti, nama Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, sudah sinonim dalam kalangan masyarakat. Beliau merupakan pendakwah selebriti yang sering menjadi tetamu jemputan di radio dan televisyen terutamanya dalam topik keibubapaan dan fiqh wanita. Kini, beliau aktif mengendalikan seminar dan program khususnya keibubapaan.

Kecil molek sahaja orangnya dan bibir tak pernah lekang dek senyuman setiap kali bertutur. Berpendirian tegas dalam setiap perkara yang dilakukan sudah cukup membuktikan anak kelahiran Klang, Selangor ini seorang wanita hebat. Hasil perkahwinan dengan Ustaz Muhidin Mokter, pasangan ini dikurniakan 6 cahaya mata.

Aktif bersiaran di kaca televisyen sejak 2010 melalui saluran TV Al Hijrah (TVAH) sebelum menjadi tetamu untuk saluran TV yang lain. Beliau sebelum itu bergelar pensyarah di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 2000 hingga 2012.

Sepanjang bergelar pensyarah, banyak pengalaman diperoleh terutamanya mengenai personaliti dan akhlak individu terutama anak muda.

Biarpun sibuk dengan urusan kerja, namun sebagai ibu dan isteri, beliau menyatakan masa bersama anak-anak ibarat emas.

“Saya anggap waktu bersama anak adalah masa terbaik untuk mengetahui aktiviti mereka. Biasanya saya akan luangkan masa dengan mereka antara waktu maghrib dan isyak. Dari situ saya boleh mengetahui permasalahan mereka dan perancangan untuk hari esok.

“Memandangkan sikap saya yang tegas dalam mendidik anak-anak, konsep perbincangan jadi keutamaan. Setiap apa yang dilakukan oleh anak, saya akan ambil tahu demi kebaikan mereka.

“Menghukum anak bukanlah jalan penyelesaian. Jadi cara terbaik saya lebih suka menerangkan setiap kesalahan mereka,” katanya.

Bercerita mengenai cara beliau mendidik enam permata hatinya, tiada apa yang lebih. Cuma aspek pemakanan amat ditekankan iaitu dengan mengamalkan pemakanan sunnah dan solat berjemaah selain disiplin dalam pengurusan waktu.

“Alhamdulillah kesemua anak dapat menerimanya dan saya bersyukur anak sulung sudah pun melanjutkan pengajian di universiti, dua sedang belajar di sekolah menengah dan tiga lagi mengikuti pembelajaran dari rumah di bawah pemantauan saya dan suami.

Di samping itu, aktiviti kebajikan salah satu aktiviti keluarga setiap kali kami berkumpul.

“Biasanya kami sekeluarga akan melakukan aktiviti kebajikan dengan melawat rumah orang tua, anak yatim dan membantu orang gelandangan.

“Dari situ sikap tolong-menolong dapat dipupuk dan secara tidak langsung mendedahkan kepada anak-anak nilai kasih sayang dan prihatin kepada insan yang kurang bernasib baik,” katanya.

“Jika ada waktu cuti yang panjang, saya dan suami akan membawa anak-anak bercuti bagi melihat suasana di tempat orang bagi memastikan mereka bersyukur dengan nikmat yang diperoleh hari ini,”ujar ustazah Isfadiah.


Berkongsi kunci kebahagiaan rumah tangga, pasangan ini mengakui saling melengkapi adalah rahsia bahagia.

“Sebagai isteri, kena hormat pada suami dan mengkaguminya. Kedua, adalah sentiasa prihatin dengan keperluan dan kena tahu dan ambil perhatian apa yang suami sukai. Kena saling melengkapi, complete each other bukan compete ye dan paling utama adalah solat berjemaah inilah yang paling penting, tarik sahaja tangan suami untuk solat bersama,”ujar Ustazah lagi.

Sumber: Sinar Harian & IG Ustazah isfadiah

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club