Sisi Ibu Mangsa Buli vs. Ibu Kaki Buli – Wanita Ni Kongsi Kisah Hidupnya, Jadikan Pengajaran!

Share

Sikap ibu bapa yang mendidik anak-anak lelaki dengan cara yang salah sebenarnya boleh menjadi penyebab kerosakan kepada anak tersebut.

Umpamanya ada yang merasakan anak lelaki perlu diajar untuk menjadi anak jantan di mana jiwa mereka kena kental, berani, jangan mengalah, bertumbuk itu biasa, tidak boleh menangis  dan macam-macam lagi yang kononnya itulah cerminan seorang lelaki sejati.

Namun dari sisi lainnya, bila dididik sebegitu dari kecil dengan tanpa sedar sebenarnya si ibu atau ayah telah menanamkan sikap sebagai seorang pembuli!

Hal ini mengambil kisah benar yang dilalui sendiri oleh seorang penulis novel, Puan Hanani Daud. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat.

SISI IBU MANGSA BULI vs IBU KAKI BULI 

“Saya ada lima orang anak lelaki. Saya didik mereka untuk jadi anak jantan yang hebat, tidak mengalah dengan orang, tidak gentar akan sesiapa dan digeruni semua orang.”

Saya dengar dia gah bercerita tentang anak-anak lelakinya.

Gambar hiasan

“Sejak kecil kalau mereka bertumbuk, saya biarkan sahaja. Saya didik untuk mereka tidak mengalah sesama. Cabaran hidup zaman sekarang, anak-anak lelaki perlu dididik untuk jadi berani. ”

Nasi yang saya suap ke mulut ketika itu terasa pahit. Saya terus memasang telinga sehinggalah dia bercerita tentang sesuatu yang saya anggap keterlaluan.

“Anak-anak saya bergaduh dan bertumbuk di sekolah dan asrama, saya bela mereka. Kami suami isteri dipanggil oleh cikgu mereka, saya tidak sedikit pun rasa gentar. Tiada siapa berani ambil tindakan kerana saya akan lawan balik.

“Saya cari cara untuk anak saya sentiasa menang. Saya akan buat laporan polis dan jika perlu saya saman.”

Bangga benar dia bercerita tentang anak-anaknya yang kononnya anak jantan.
Sudu dan garpu di tangan saya bergetar menahan rasa hati yang mendekam. Saya mula bercakap menyampaikan rasa hati saya…

Gambar hiasan

“Awak bercerita yang anak awak bergaduh, bertumbuk di asrama. Awak akui anak awak yang selalu mulakan, tetapi awak menyebelahi mereka. Maksudnya di sini anak awak menjadi kaki buli kerana lahir dari rahim seorang ibu yang juga pembuli.”

“Awak bercerita, awak bangga anak-anak awak seorang anak jantan. Adakah awak tahu perasaan ibu seorang mangsa buli? Awak melahirkan si pembuli, saya pula melahirkan anak mangsa buli.”

Saat itu saya lihat wajahnya berubah. Tapi saya kawal suasana di meja makan itu. Saya perlu hormati pemikirannya. Pemikiran seorang penulis seperti saya. Dia ada rasional dia, saya juga ada rasional saya.

“Anak saya juga lelaki. Apabila nama lelaki, dia juga anak jantan. Ada ketika bengkengnya bukan calang-calang. Tapi saya tidak didik anak saya untuk menjadi anak jantan tidak bertempat.”

“Acap kali anak saya meminta izin membalas setiap laku kasar si pembuli, tetapi jawapan saya tetap sama.”

“Umi faham perasaan Uwais apabila dibuli dan diperlekeh orang. Tapi umi sebagai ibu perlu menjadi seorang ibu yang menuntun anak-anak kepada jalan yang benar. Jalan yang penuh iman, bukan jalan nafsu.”

“Meski anak saya dianggap bukan anak jantan, kalau saya dihidupkan berkali-kali, cara didikan dan pemikiran saya tetap sama. Tidak perlu membuli orang untuk menjadi anak jantan.”

“Tidak perlu gagah untuk digeruni, tidak perlu kaya untuk dihormati. Kita hanya perlu berilmu dan beradab. Mendidik anak-anak lelaki untuk menjadi jantan dengan cara awak bagi saya itu bukan cara didikan orang beradab.”

Meski nada yang lembut, saya tahu tutur saya itu berbisa. Saya lihat dia terkulat-kulat, namun saya terus menyuarakan rasa hati.

“Di sekolah, memang benar anak-anak kaki buli ini cikgu terpaksa menangkan. Si mangsa buli pula diminta sabar, sabar dan sabar serta memaafkan.

Mengapa?

Sebab, biasanya pembuli lahir daripada ibu bapa seorang pembuli juga. Pihak sekolah biasanya mengelak untuk berurusan dengan mereka.”

“Selalu saja mereka akan pusing cerita, cikgu akan dipersalahkan tak cukup diserang, dibuat laporan polis dengan cerita yang diada-adakan.”

Dia terdiam, sekadar berkata..
“Setiap ibu bapa ada cara sendiri dalam mendidik anak. Itu cara saya.”

Jawab saya…
“Saya hormati jika itu cara awak. Mungkin pemikiran pembuli anak saya juga serupa. Saya hormati juga, namun apa yang saya nak katakan di sini, setiap inci penghinaan, setiap laku perbuatan buli terhadap mangsa buli, saya sebagai wakil mereka ingin jelaskan bahawa, amat sukar untuk kami memaafkan.”

“Kesan penderaan mental atau fizikal terhadap anak-anak ini sukar untuk diberi maaf secara percuma. Meski saya mendidik anak saya untuk bersabar, tetapi dia ada hak untuk memaafkan atau tidak.”

“Mungkin hari ini anak-anak awak bangga dan gah kerana menjadikan mangsa buli seperti anak saya sebagai bahan mainan atau bahan lawak . Tetapi tatkala Allah titipkan penyesalan, sedangkan kawan yang dibulinya berpaling, ketika itu titik penyesalan akan membuat mereka derita.”

“Perasaan itu makhluk. Bahagia dan derita itu milik Allah. Allah boleh beri rasa bahagia itu di hati sesiapa sahaja. Sama juga dengan derita. Boleh hidup di hati sesiapa sahaja.”

“Saya alami rasa itu. Sejak kecil dibuli berkali-kali namun saya tidak pernah membalas. Namun saya sentiasa rasa bahagia. Saya pasti si pembuli sukar memiliki rasa bahagia yang sama.”

“Sebab itulah, meski apa juga saya tetap dengan cara saya dalam mendidik. Harga diri yang sebenar ialah mendidik anak berjiwa ihsan bukan jiwa haiwan.”

Allahuakbar.
Kasar benar saya. Tutur kata yang tersusun santun. Namun saya pasti menusuk. Wallahu’alam.

Sumber : [su_button url=”https://www.facebook.com/hanani.daud.7″ style=”bubbles” background=”#3fc6b5″ size=”2″]Hanani Daud [/su_button]

ARTIKEL MENARIK : Teruja Dapat Tempat Pertama, Anak Ni Semangat Tunjuk Piala Dekat Ayah. Gelagatnya Mencuri Perhatian Warganet!

Baca Ini Juga : Umur 40an Aim Nak Badan Langsing. Pakar Dietitian Ni Kongsi Caranya Perlu Praktik!

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club