Siapa yang tidak kenal Jep, kucing kacak yang selalu mencuit hati kita dengan gelagatnya saban waktu. Walaupun semakin jarang muncul di facebook kebelakangan ini, namun kelibat Jep sentiasa dinantikan peminatnya.
Jumlah pengikut yang seramai 486 ribu di facebook ini menjadikan kucing berbaka American Shorthair ini cukup digilai dan disayangi pengikutnya hingga kini.
“ Saya akui selepas arwah ibu saya meninggal pada tahun lepas, saya mula memperlahankan aktiviti di media social. Bukan tidak ada tetapi saya kurangkan. Ditambah pula dengan kamera saya jatuh dan pecah teruk. Semua itu buat saya patah semangat dan aktiviti saya semakin perlahan,” kata Azwana yang lebih dikenali sebagai Ummi.
Mengimbau detik mula memiliki Jep, Azwana mengakui dia dan suaminya sudah lama mengimpikan kucing berbulu pendek. Lebih-lebih lagi kucing jenis ini sering muncul pada bungkusan makanan kucing jenama terkenal. Hal ini menambahkan lagi keinginan Azwana untuk memilikinya.
“ Saya dan suami memang selalu mengunjungi sebuah kedai haiwan peliharaan di Temerloh dan ketika itulah kami bertemu empat mata dengan Jep. Awal-awal lagi hati saya sudah berkenan dengannya. Dua tiga kali juga kami pergi dan ternyata rezeki kami memiliki Jep cukup kuat. Bila ada duit lebih sikit saya terus sahaja mengajak suami dan akhirnya kami membelinya dengan harga RM900 ketika itu.
Sejak itu Jep jadi peneman dan kesayangan kami serta tiga anak saya, Ahmad Mujahid, 7 tahun, Ahmad Mukmin 6 tahun dan Rumaisaa, 1 tahun 8 bulan. Tidak lama selepas memelihara Jep, kami terfikir untuk mencari pasangannya. Dan akhirnya kini kami memiliki Kaktop, Mia, Jimmy dan juga Zyra,” kata ibu muda ini lagi.
Jep Rapat Dengan Anak
Kini selepas hampir 5 tahun memeliha Jep, hubungan Jep dengan anak-anak Azwana yang lebih senang dikenali sebagai Ummi Jep ini cukup akrab.
“Alhamdulillah keadaan Jep kini sihat, cuma bulunya tidaklah segebu seperti dahulu kerana saya sering lepaskannya bermain di luar. Lima tahun bersama buat kami lebih mengenali. Perangai Jep hari demi hari makin sweet kerana dia cukup rapat dengan anak ketiga
saya.
“Lepas sahaja waktu subuh pasti Jep akan muncul di sebelah katilnya untuk bermain sama-sama. Malah Jep tersangatlah alert. Kalau panggil m esti dia cepat-cepat datang. Lagi-lagi kalau anak saya yang perempuan menangis, Jep lah paling awal sampai untuk memujuk.
Kehidupan kami dengan Jep dan adik beradiknya yang lain sememangnya cukup indah. Bermula dengan sambutan luar biasa peminat kucing pada Jep ditambah dengan tawaran demi tawaran daripada majlis-majlis sehinggalah menghasilkan buku sendiri ‘Kucing Pun Kacak’, kulit depan majalah dan tak kurang juga Jep sebagai wajah muka depan pembungkus makanan kucing Powercat.
Selepas buku, ada beberapa tawaran rancangan tv, tapi memandangkan kami jauh dari KL dan anak-anak pun sudah bersekolah, agak sukar untuk kami penuhi permintaan. Jadi terpaksalah kami tolak. Apapun semua ini adalah memori cukup indah buat kami,” katanya lagi.
Sumber: Keluarga September 2018