
Ibu mana yang tidak risau kalau jam dah mencecah tengah malam, tetapi anak gadis masih belum pulang ke rumah!
Itulah yang dirasai oleh penyanyi Sharifah Zarina yang menunggu anaknya, Athalia Deena Khamis lalu yang berdepan detik cemas selepas sesat ketika mencari jalan pulang ke rumah.
Perkara ini dikongsikan oleh Sharifah Zarina sendiri menerusi satu hantaran video di laman Instagram miliknya.
Difahamkan Athalia yang baru selesai menghadiri sebuah majlis gagal menjumpai jalan pulang disebabkan aplikasi waze tidak boleh digunakan kerana telefon bimbitnya sudah kehabisan bateri.
“Saya hairan dah pukul 12:30 malam dia tak balik-balik, saya dah panik dan risau waktu itu. Saya check guna aplikasi Friends Finder dia berada di Kepong, waktu itu saya anggap dia guna jalan belakang.
“Tapi saya hairan kenapa dia lama sangat dekat situ tak bergerak, saya rasa dia habis bateri, rupanya memang betul dia habis bateri dan wayar caj telefon pula rosak ketika itu. Malam tu juga nak rosak, tak pernah-pernah rosak.
“Dia kata dah hampir sejam pusing dekat kawasan sama, anak saya sesat di kawasan tersebut selama sejam rupanya, Allahuakbar,” katanya dalam video tersebut.
Bagaimanapun, penyanyi yang hits dengan lagu Langit Ketujuh itu menjelaskan akhirnya Atahlia berjaya sampai ke rumah selepas dibantu oleh seorang penghantar makanan.
Dalam masa sama, ibu kepada tiga cahaya itu memanjat rasa syukur dan merakamkan ucapan terima kasih kepada individu tersebut yang dikenali sebagai Muhd Zul Naim kerana membantu anaknya.
“Athalia berhenti dekat satu stesen minyak dia pinjam telefon dekat orang di situ. Mula-mula ada yang tak bagi pinjam sebab khuatir dia penipu kan.
“Kemudian ada seorang abang grab food, dia sudi beri pinjam. Bukan itu sahaja tau, abang itu sanggup hantar dia balik sampai depan rumah. Allahuakhbar, tak tahu nak cakap apa.
“Saya sampai mesej abang itu minta nombor akaun nak upah sebab dah bantu anak saya. Saya cakap dengan dia susah nak cara orang baik macam itu zaman sekarang ni.
“Dia kata ikhlas, dia hanya minta saya doakan dia dapat lebih banyak order lepas ini,” jelasnya.
Pada akhir video tersebut, Zarina turut menadah tangan dan menyebut nama Muhd Zul Naim lantas mendoakan kesejahteraan buatnya.
Sumber : Instagram Sharifah Zarina
https://www.youtube.com/watch?v=Yb_zk_ekL2M&t=199s
Dibayar RM33,000 Sebagai Ganti Rugi Nyawa Anak. Ibu Ni Kongsikan Kisahnya Tarik Perhatian!

Sekiranya berlaku kecuaian yang mengakibatkan kematian dalam ahli keluarga, tentu sahaja begitu sukar untuk kita menerimanya. Apatah lagi jika ianya terjadi pada anak sendiri. Bukan tidak redo, tapi sebagai ibu ayah kita merasakan ‘pergi’ nya anak kita perlu dibela!
Ini samalah kisahnya apa yang dikongsikan oleh seorang ibu, Zil Isa mengenai perjuangannya menuntut hak selepas anaknya Najmi Hariz meninggal dunia di atas sebab kecuaian pihak hospital kerana lewat memberikan rawatan segera kepada anaknya.
Berikut adalah perkongsian daripadanya yang mencuri tumpuan umum dan sekali gus memberi respons yang pelbagai daripada netizen.
Ramai yang message bertanya rentetan kisah pemohonan pampasan dari KKM ini. Jadi saya summarykan di sini kerana last time tulis dalam keadaan emosi, mungkin ayat tunggang langgang sikit.
Pampasan untuk kematian arwah anak saya Najmi Hariz pada 14 Feb 2020, di atas kecuaian pihak hospital Serdang diumumkan oleh pihak KKM dan AGC sebanyak RM33,000 sahaja pada bln 19 Jan 2023, hampir 3 tahun selepas kematian anak saya. Saya telah membuat rayuan untuk memohon jumlah yang lebih malangnya ditolak mentah2 oleh pihak mereka.
Saya tahu mereka saja main game, kerana tempoh masa untuk membuka kes di mahkamah hanyalah 3 tahun dari tarikh kematian. Jadi di sini, diorg dah tau, tangan saya sudah terikat tidak boleh saman, tetapi hanya mendapat pampasan. Berdasarkan perbualan dengan lawyer2, kes ini tidak patut drag selama ini. But pihak hospital dan KKM tgh cuba selamatkan diri sendiri dengan melewat2kan perkara ini, kerana tahu saya mahukan penyelesaian tertutup.
Pada 13 Feb 2020, saya telah hadir ke hospital serdang pada jam 10.30 pagi kerana anak saya demam. Pada jam 12.30 tgh hari kami dihantar pulang kerana Dr bertugas mengatakan anak saya hanya demam biasa.
Pada ptg hari, hati kami tidak sedap dan sekali lagi ke hospital serdang dan terus ke red zone. Dr di red zone bertanya, mengapa anak saya dihantar balik, sedangkan ujian darah pagi tadi menunjukkan anak saya sudah ada bacteria infection. Untuk kana2 biasa sudah kena warded, inikan pula anak saya yang baru menjalankan Open heart surgery (pembedahan jantung besar) 8-9 bln yang lalu.
Pelatih2 Dr berkurumun cuba membuat line ke anak saya yg berusia 2thn lebih. mahu berpuluh2 injection diberi oleh 4 Dr, semua x dpt line. Anak saya makin sakit dan lemah, dan saya suruh memanggil Paeds kerana nak dpt line budak kecik, bukan mudah untuk pelatih biasa. Saya tiba jam 7.15pm, dan dalam jam 8 mlm baru Paeds turun dan membuat line, dengan 1 attempt sahaja.
Saya menerangkan rekod kesihatan anak saya, yang dia di bawah pantauan paeds cardiologist serdang. Dan anak saya yg baru menjalankan operation jantung bergantung nafas kepada shunt yang membantu pam oksigen dan darah dijantungnya.
Dr Paeds menjawab ini isu demam, tiada kena mengena dengan jantung.
Dari pagi saya cuba menerangkan masalah kesihatan anak saya. Dr di sesi pagi hanya scroll dan jawab, panjangnya report anak ni. Tanpa mendengar penerangan kesihatan anak.
Dr malam pula, membuat diagnosis sendiri tanpa tahu keadaan anak. Buku rekod kesihatan anak tidak dibaca sama sekali.
Walau disebut byk kali anak saya adalah pesakit jantung dan asplenia (lahir tanpa limpa dan tiada antibodi), jika demam adalah penting dia mendapat antibiotik paling kuat kerana tidak dapat menentang jangkitan bakteria, tetapi Dr masih tidak memberi antibiotik.
Anak saya mula sesak nafas, ketika itu hanya Dr pelatih saja ada. Saya inform Dr, dan dia hanya memberi mask oksigen, dan suruh pakai. Anak saya menolak2 tidak mahu pakai, dan Dr tu hanya jawab, x pakai mmg la sesak nafas.
Sampai jam 11 mlm, tiada rawatan diberikan lagi, mahupun ubat antibiotik yg di minta. Bila melihat anak semakin lemah, saya panggil Dr dan bg warning jika ubat x tiba lagi, dan apa2 berlaku, u will regret n take the responsibility, baru la Dr tu minta ubat antibiotik dan nurse di red zone ambil di Farmasi.
Setibanya ubat tu, Dr sekali lagi mahu membuat line baru untuk masukkan ubat. ketika itu anak saya sedang minum air, dan Dr tu tanpa sabar mencucuk jarum dan ketika itu saya rasakan nyawa anak saya keluar dari tubuhnya, dan terus terkulai pergi tak kembali. Saya meraung2 ketika itu, semua Dr bertempiaran lari dan cuba memberi CPR. Masa tu semua Dr pakar ntah dari mana muncul, sedangkan sebelum tu hanya pelatih saja ada. Dr pelatih dan paeds tu terus menghilang selamatkan diri.
Saya memfailkan surat ex gratia (pampasan) dr kes ini sejurus anak meninggal, dan pihak hospital mengaku akan kesilapan ini. Sebagai solusi, Doktor sesi pagi yang menyuruh anak saya pulang ke rumah, telah dipindahkan ke hospital lain. Farmasi di red zone sudah dibekalkan dengan ubat penting. Doktor sesi malam yang bongkak, pihak hospital ckp, dia make salah judgement, tiada tindakan di ambil tapi hanyalah permohonan maaf dari ketua emergency dept.
Kemudian mereka menarik kes ini selama 3 tahun untuk menutup mulut saya untuk ke mahkamah, dan menambahkan pedih kami dengan menolak rayuan pampasan kami.
Adakah RM33,000 itu nilai yang diukur oleh mereka untuk nyawa anak kecil saya? Ini gambar anak syurga saya yg x pernah saya tunjuk atau mampu tgk sendiri. Walau byk keping saya ambil, smpi ke hari ini saya x mampu tengok sendiri. 3 tahun gambar ni saya simpan dan tak mampu tgk, hari ini saya kuatkan hati utk share pada semua, apa akibat kecuaian pihak hospital serdang dan doktor2nya telah buat pada anak saya!
Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA)
Berkongsi di sini sbb ada yg menghubungi saya bagaimana kaedah saya berurusan dgn pihak hospital tanya mengeluarkan duit utk hire lawyer.
Untuk menuntut pampasan atas kecuaian pihak hospital, ada 2 cara yang saya tahu. 1 aduan melalui SisPA atau 1 boleh melalui peguam. Saya tahu bukan mudah untuk kita orang biasa2 ni untuk mengupah peguam kerana kos yang tinggi. Saya cuba explore kaedah ke3 melalui NGO. Kalau ada kenalan atau NGO yg aktif menentang isu2 seperti, mungkin boleh juga hubungi mereka dan share nama2 NGO ni di sini.
Tuntutan pampasan kerana kecuaian di hospital perlu dilaporkan di:
https://moh.spab.gov.my/eApps/system/index.do
Sistem SisPA ni ada untuk setiap kementerian. Tapi saya pun tak pernah explore semua.
Dalam laporan tu letak sedetail boleh kejadian, patient id, tarikh dan maklumat2 yg kita tahu berkaitan dgn kes ini. Selepas submit, kita akan dapat 1 email yang menyatakan mereka akan menghubungi kita. Saya x pasti brp cpt mereka akan hubungi kita, biasanya akan dapat tarikh meeting dalam masa 3 bln dari tarikh laporan.
Dalam kes saya, saya dpt date 18 september 2020 untuk meeting bersama hospital serdang, 7 bln selepas tarikh laporan. Pada meeting pertama, pihak hospital akan investigate the case, dan terangkan pilihan2 yang kita ada, dan sama ada kita ada kes atau tidak.
Cuci Barang Kemas Bersinar Macam Baru Beli, Tak Perlu Ke Kedai Emas, Guna Bahan Pencuci Pinggan Je.

Pagi Syawal tentunya kita akan berpakaian cantik bagi meraikan Aidilfitri. Bukan sahaja bergaya dengan pakaian baru tapi dipadankan dengan barang kemas.
Namun, adakah barang kemas itu masih bersinar seperti mula-mula beli dulu.
Tak perlu, pergi ke kedai emas untuk meminta perkhidmatan cuci emas, hanya memggunakan bahan daripada dapur, emas kekal bersinar macam baru beli.
Ikuti perkongsian tip ini.
TIPS UNTUK SAHABAT EMAS, CARA CUCI BARANG KEMAS SESIMPLE ABC
Korang nak barang kemas lama jadi seperti baru? Boleh cuba kaedah ni, mudah dan jimat sangat.
– Jimat Masa
-Jimat Parking
– Jimat Duit Minyak Kereta
– Jimat Duit upah cuci
Bahannya:
– Air panas satu gelas
– Sedikit pencuci pinggan sunlight atau glo
– Barang kemas
Caranya:
Masukkan glo dalam gelas yang berisi air panas. Kemudian masukkan barang kemas dan kacau. Kita suka biarkan bermalam sebab nanti segala daki-daki akan tertanggal sendiri.
Korang cubalah, jimat tau . Hasilnya memang bersinar.
Mengunakan petua yang sama, sebagaimana yang dikongsikan oleh puan Mielia Emielia yang mengatakan hasilnya memang bersinar.




WARGANET KONGSI PETUA, GUNA BERUS GIGI
Dalam pada itu, warganet turut berkongsi dengan menggunakan petua lain. Hasilnya memang menjadi lebih bersinar macam baru.
Wow! Hasil yang memang nampak baru. Semoga bermanfaat.
Sumber: Mas Ayu Ghani
Tokoh Ibu Mithali Pulau Pinang Ini Kongsi Cara Didik 11 Anaknya Jadi Cemerlang. Ini Rahsianya!

Pengorbanan seorang ibu bermula pada saat kehamilan, melahirkan dan proses membesarkan anak untuk menjadi insan berguna, cemerlang, sekali gus sebagai pemimpin pelapis pada masa depan. Selayaknya pengorbanan, kasih sayang ibu membesarkan anak sejak dari sekecil tapak tangan sehingga dewasa dihargai setiap detik kerana ia bukan perkara mudah untuk dilaksanakan.
Yang berbahagia Datin Hajjah Kalthom binti Haji Ibrahim di atas penganugerahan Tokoh Maal Hijrah (Ibu Mithali) 1440H/ 2018M Peringkat Negeri Pulau Pinang. Beliau adalah isteri kepada YBhg. Dato’ Ustaz Haji Maktar bin Hj. Shapee. Melahirkan dan membesarkan seramai 11 orang anak enam orang lelaki dan lima orang perempuan. Kini mempunyai seramai 32 orang cucu.
Beliau merupakan surirumah sepenuh masa dengan membesarkan dan mendidik anak-anak sehingga berjaya dalam pelajaran, keagamaan serta menjadi contoh dan memberi sumbangan kepada masyarakat.
Sempena edisi Hari Ibu, wartawan majalah Keluarga berkesempatan bertemu Tokoh Maal Hijrah (Ibu Mithali) 1440H/ 2018M Peringkat Negeri Pulau Pinang ini untuk berkongsi cerita cabaran dan kejayaan mendidik anak-anak yang ramai sehingga berjaya.
Perbanyakkan doa kepada Allah agar anak-anak memperoleh kejayaan dalam kehidupan merupakan kunci utama bagi seorang ibu ini dalam membesarkan 11 orang cahaya matanya. Beliau berkata, pendekatan tersebut perlu diamalkan kerana doa merupakan senjata kekuatan dirinya untuk membesarkan anak-anak.
“Doa dengan banyak mohon pertolongan Allah. Set dalam kepala anak-anak adalah anugerah dan amanah dari Allah. Cabaran dari segi mental kena banyak sabar. Manakala cabaran dari segi fizikal kena sentiasa sihat dan bertenaga bagi menguruskan anak-anak yang ramai. Sesungguhnya ia memerlukan ketabahan hati yang cekal dengan pelbagai kerenah anak-anak yang sedang membesar.
“Selain itu, saya dan suami bertegas dalam hal pelajaran anak-anak, kena pastikan mereka membaca buku dan menelaah pelajaran agar mereka berjaya dalam peperiksaan.
“Bagi saya untuk mendidik anak-anak perlu dedahkan mereka dengan ajaran agama yang lengkap, penuh disiplin. Sejak awal celik mata sehingga tidur di malam hari. Solat berjemaah, mulakan pagi dengan mengaji Al-Quran, ada masa belajar, makan juga berjemaah, petang-petang mesti keluar untuk keluarkan peluh dengan melakukan aktiviti luar.
Bantu uruskan rumah

Membentuk disiplin dalam diri anak bukan suatu yang mudah jika bukan sejak dari rebungnya. Lebih-lebih lagi mempunyai anak ramai yang sudah pastinya pelbagai kerenah untuk dihadapi. Sebagai ibu yang tegas dalam mendidik anak-anak, Datin Hajjah Kalthom akan memastikan anak-anaknya punya sikap yang bertanggungjawab dalam kehidupan sehariannya.
Oleh itu, setiap anak-anaknya telah diberi tugasan untuk membantunya menguruskan rumahtangga dari segi kebersihan rumah. Baginya cara ini secara tidak langsung membentuk sikap kerjasama dan tolong menolong dikalangan adik-beradik.
“Dalam aspek didikan kepada anak-anak perempuan dan lelaki, masing mempunyai tanggungjawab yang telah diatur supaya kehidupan mereka lebih berdisiplin. Sejak kecil lagi saya didik anak-anak diberi tanggungjawab menjaga dan menguruskan rumahtangga.
“Anak perempuan biasanya diberi tugas dalam rumah termasuk mengemas, memasak, membasuh dan mengasuh adik. Manakala, anak-anak lelaki diberi tugas-tugas luar rumah dan tugas berat seperti membersihkan luar rumah, cuci kipas, cuci sawang dan pergi kedai membeli barang keperluan rumah,” katanya.
“Mama seorang yang sabar”-Huda
Dalam pada itu, turut berkesempatan bertemu beberapa orang anak-anak beliau daripada 11 orang. Dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang besar, sudah tentunya meriah kala berkumpul bersama keluarga. Berkongsi cerita mengenai kehidupan adik-beradik yang ramai, Huda Maktar yang merupakan anak yang kelima menyifatkan, bertuah memiliki sebuah keluarga yang besar serta diberi didikan yang sempurna daripada ibu serta bapanya.
“Mama memang seorang yang sangat sabar dengan kerenah kami adik beradik yang agak nakal. Sehinggakan boleh dikatakan semua adik beradik lelaki ada bekas jahit di kepala. Pernah ada yang kepala kena jahit kena tukul dan jatuh basikal. Maklumlah ramai adik beradik lelaki ramai, semuanya lasak-lasak belaka. Jika ada yang bergaduh, mamalah yang akan leraikan.
“Jauh disudut hati, saya bangga memilik ibu seperti ini. Mama seorang yang sabar dan tenang dengan kerenah anak-anak seramai 11 orang dengan jarak umur yang rapat antara satu sama lain. Jika dikenang kembali memang akan membuatkan kami adik beradik tidak kering gusi. Kenangan masa kecil yang tidak dapat dibeli,”jelas Huda yang memiliki enam cahaya mata penyeri rumahtangganya.
Umpama guru sepenuh masa
“Mama sepenuh masa berada di rumah yang mendidik kami. Mama umpama guru sepenuh masa buat kami. Kami adik beradik tidak mengikuti kelas tambahan. Setiap hari, mama akan memberi tunjuk ajar membuat latihan sekolah. Malah, ada jadual untuk kami menghafal surah-surah dan doa. Mama seorang wanita yang lembut tetapi tegas dalam mendidik kami.
“Abah pula memang jarang ada di rumah dengan atas tuntutan kerja. Jadi mama menguruskan kami seratus peratus. Saya kagum melihat kepayahan mama membesarkan kami dengan pelbagai kerenah.
“Tambahan pula, adik beradik lelaki yang rapat jarak usia menjadikan ia makin mencabar. Mama seorang yang lembut tetapi tegas dalam mendidik anak-anak,” jelas Hawa mengenai ibunya.
Bilik tak cukup hingga tempah homestay
Apabila ditanya mengenai sambutan Hari Raya tahun ini, Huda memberitahu bahawa keluarga besarnya akan berkumpul setiap dua tahun sekali. Lebih manis, tahun ini mereka sekeluarga memilih lokasi kampung nenek ayahnya.
“Lazimnya apabila tiba sambutan Hari Raya, ia adalah perayaan yang paling ditunggu oleh kami adik beradik. Dua tahun sekali kami semua adik-beradik akan berkumpul. Tahun ini kami akan berkumpul di kampung rumah ayah di kampung Sungai Bakap, Pulau Pinang. Masa ini dua bulan sebelum raya, kami akan membuat persediaan. Bagi kumpulan wanita, tugasnya menentukan warna tema untuk keluarga masing-masing.
“Oleh kerana kami ramai, jadual memasak sepanjang raya pun ada. Contohnya untuk sarapan pagi, akan ada keluarga yang menjadi ketua. Keluarga ini akan menentukan menu dan hidangan. Begitu juga untuk makan tengah hari dan makan malam termasuk masak BBQ.
“Dengan konsep ini, mama akan berehat sepanjang kami balik kampung. Semua anak-anak menantu akan uruskan. Rumah hanya ada enam bilik sahaja, mujur ada homestay yang memboleh kami buat tempahan.
“Rutin wajib tiap pagi Raya, selepas Solat Raya, kami akan berkumpul untuk sesi bergambar dengan keluarga besar kami. Tidak lupa, kami akan konvoi menziarahi sanak saudara. Abah akan mengetuai konvoi. Biasa kami akan konvoi dalam sembilan hingga 11 buah kereta,” kata Huda mengenai kemeriahan Hari Raya keluarganya.
Biodata ahli keluarga
Nama: Datin Hjh. Kalthom binti Hj. Ibrahim, 66 tahun
Suami: Dato’ Hj. Maktar bin Hj. Shapee, 70 tahun
Mantan Timb. Speaker DUN Pulau Pinang & Pesara Guru
Nama anak:
1.Munir Maktar, 43 tahun
2.Nura Maktar, 42 tahun
3.Abdul Muiz Maktar, 39 tahun
4.Muhammad Maktar, 38 tahun
5.Huda Maktar, 37 tahun
6.Muhammad Bashir Maktar, 35 tahun
7.Ahmad Murshid Maktar, 32 tahun
8.Siti Sarah Maktar , 31 tahun
9.Sumaiyah Maktar, 29 tahun
10.Amnah Maktar, 27 tahun
11.Siddiqin Maktar , 26 tahun