Terpaksa Gugurkan Kandungan, Sharifah Sakinah Pilih Makan Nanas Untuk Keluarkannya. Betul Ke Berkesan Atau Sekadar Mitos? Baca Penjelasan Doktor Ini!

Share

Sebagai ibu yang baru melahirkan anak, sangat penting  dalam merancang jarak kehamilan anak seterusnya. Lebih-lebih lagi jika proses bersalin dilakukan secara pembedahan. Jangan sampai ‘lekat’ sedangkan anak sulung baru masuk beberapa bulan usianya.

Demikian yang berlaku pada pelakon Sharifah Sakinah. Dia mengandung lagi walaupun anak pertamanya, Anais Adha baru sahaja berusia empat bulan. Namun pelakon ini mendedahkan dia telah menggugurkan kandungan tersebut atas nasihat doktor.

Katanya, kandungan yang masih baru itu harus digugurkan  atas faktor keselamatan dan kesihatan. justeru dia diberi tempoh seminggu untuk mengeluarkannnya. Justeru, pelakon ini memilih untuk makan nanas bagi menggugurkan kandungan tersebut.

Hal ini mendapat respond dari pelbagai pihak. Ada yang menyokong tak kurang yang mengecam perbuatan tersebut. Turut berkongsi hal ini adalah pakara perubatan Dr Rusyainie Ramli.   Nak tahu lanjut jom baca ni. Moga bermanfaat untuk ibu-ibu semua!

Dr Rusyainie Ramli

HARI TU DURIAN,
SEKARANG NENAS.

Aduh…

Tersebar baru-baru ini tentang seorang artis tempatan yang baru saja melahirkan bayi beberapa bulan dan mengandung lagi. Dia mengeluarkan kenyataan yang doktor yang merawatnya menasihatkan dia untuk memakan nenas bagi tujuan menggugurkan bayi tersebut.

Ada beberapa isu yang menjadi persoalan saya sekarang.
1. Merancang kehamilan – setiap pasangan mesti berbincang dengan doktor dan jururawat yang merawat mereka untuk mencapai keputusan sepakat dalam memilih kaedah merancang keluarga yang berkesan dan bersesuaian dengan mereka.

Mengapa bab ini dipandang sepi oleh pasangan suami isteri, malah bersulam dengan segala mitos, sehinggakan apabila isteri sudah hamil, mula lah mencari jalan keluar untuk menggugurkan kandungan. Ini satu konsep yang sangat salah.

Mengapa tidak sediakan payung sebelum hujan? Saya sudah kerap kali menyatakan pentingnya merancang keluarga. Tahukah kalian yang kalian boleh melakukan hubungan seksual dengan pasangan tanpa risau pada risiko untuk mengandung? Kebebasan itu milik kita. Kenapalah pendek sangat akal tu?

Tu belum sebut bab dosa sebab sengaja menggugurkan kandungan. Sedangkan merancang keluarga, fatwanya harus.

2. Penyataan memakan nenas untuk menggugurkan kandungan itu, saya was-was. Benarkah ia datang dari seorang doktor yang bertauliah, berlesen dan beretika. Tidak ada kajian saintifik ke atas manusia tentang makan nenas boleh meggugurkan kandungan.

Ada 1 kajian yang dilakukan untuk melihat kesan nenas ke atas rahim tikus. Berdasarkan kajian itu, ada kemungkinan bahan aktif dalam nenas boleh mempengaruhi kontraksi rahim tikus yang bertindak seakan-akan seperti sebatian serotonin.

Malangnya kajian itu, hanya pada rahim tikus. Untuk manusia, kesannya tidak diketahui. Kita kena tahu, bahan aktif yang dimaksudkan dalam nenas yang digunakan dalam kajian tadi, mungkin sudah jauh berubah apabila ia melalui sistem penghadaman manusia, maka kesan yang sama ke atas rahim, mungkin tidak wujud pun.

Jadi, berapa banyak nenas yang artis itu memang mengambilnya untuk tujuan itu. Berpuluh-puluh biji mungkin sekali hadap? Mahu meragam sistem penghadaman makan nenas sebanyak itu. Itu pun belum tentu dapat hasilnya.

3. Benar, kalau wanita itu baru bersalin secara Caesarean, dan mengandung lagi dalam masa kurang 12 bulan, risiko untuk mendapat rahim pecah, uri melekat secara tidak normal di dinding rahim, bayi tidak cukup berat atau bulan, uri di bawah dan sebagainya, adalah tinggi. Tetapi, ia tidak bermakna, kandungan itu tidak boleh diteruskan.

Untuk menggugurkan kandungan atau Termination of Pregnancy, ia adalah prosedur yang mesti dilakukan dengan perbincangan yang terperinci di antara pakar sakit puan yang terlibat dan pesakit. Mesti ada sebab musabab yang jelas. Contohnya, dengan mengandung, nyawa mak itu terancam atau fetus yang dikandungnya mengalami kecacatan yang ketara menyebabkan ia tidak mampu hidup sekiranya lahir nanti.

Saya sendiri tidak pasti apa butiran diskusi artis itu dan doktor terbabit sehinggakan keluar topik makan nenas sebagai jalan untuk menamatkan kandungan sekarang. Untuk menggugurkan kandungan, doktor tidak menggunakan nenas ya. Kita bagi ubat yang bersesuaian. Sebab kita tahu dos selamat dan potensi kesan sampingan.

4. Nenas selamat dimakan semasa mengandung dan dalam pantang selepas bersalin selagi mana ia dimakan mengikut sukatan yang biasa, iaitu sepotong kecil untuk 1 hidangan. Amalan makan makanan sihat, suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayur dan buah mesti untuk seumur hayat. Adakah nenas menyebabkan keguguran? Tiada kajian mengatakan begitu.

5. Dengan apa yang artis ini katakan, saya bimbang ramai wanita di luar sana beranggapan yang kalau mengandung rapat-rapat, menggugurkan kandungan itu adalah satu pilihan yang mereka ada. Sedangkan ia tidak benar. Saya risau menderulah nanti wanita datang mencari doktor untuk tujuan itu.

6. Media sukakan berita yang sensasi. Sosial media juga begitu. Makin merapu, makin viral lah kisah itu. Kebenaran di sebalik kisah itu, tiada siapa ambil peduli. Maka saya menjadi risau, adakah ini juga salah satu cara slapstik untuk publisiti murahan sesetengah pihak. Entahlah.