“Setiap Lelaki Patut Tahu Buat Kerja Rumah.” Ramlee Awang Murshid Kongsi Pengalaman Jadi Mr Mama!

Share

Bergelar Mr Mama bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi peranan yang selama ini sudah rutin dan sebati dengan golongan wanita, diambil alih oleh lelaki yang bergelar suami. Mungkin pandangan masyarakat agak ‘pelik’ dengan situasi tersebut.

Namun, berbeza pula dengan penulis novel thriller terkenal Ramlee Awang Murshid berkenaan isu ini. Jom kita dengar kenapa dia memilih untuk menjadi Mr Mama selepas 19 tahun mengabadikan diri dalam dunia pekerjaan.

“Setakat ini tiada masalah saya menjadi Mr Mama. Saya dah penat kerja sejak 80-an lagi. Sudah 19 tahun dengan RTM dan sampai satu tahap saya nak kerja sendiri dan menulis sepenuh masa. Saya tidak mahu curi-curi masa dan benda-benda haram masuk. Jika kita curi masa pejabat untuk kerja sendiri tidak baik.

“Rasa berdosa dan tidak berkat bila gunakan waktu bekerja itu untuk perkara lain, tambah lagi bila umur dah meningkat ini memang banyak benda saya fikir. Jadi hidayah datang dan saya berfikir  untuk berhenti sejak 2008. Hanya 2012 baru saya nekad untuk berhenti kerja.

“Selepas berhenti, rutin saya adalah mengejutkan semua orang waktu subuh. Solat berjemaah kemudian, buat sarapan ringkas untuk anak dan isteri. Hantar anak ke sekolah, kemudian cuci pakaian, solat dhuha kemudian saya  kerja sampai kul 11 sebelum masak. Kemudian keluar semula untuk ambil anak.

Soal masak tak jadi masalah kalau di rumah saya masak ikan, ayam tetapi sayur mesti ada. Tetapi saya  tahu kadang-kadang bila anak lihat apa yang saya masak, boleh agak yang dia bandingkan masakan saya dengan isteri. Jika malas saya ‘masak’ di kedai sahaja,”seloroh Ramlee.

Ditanya mengenai pandangan sinis tentang Mr Mama, bagi bapa kepada anak remaja berusia 17 tahun ini, perkara tersebut tidak menjadi masalah baginya.

“Cuma apabila saya sendiri melalui pengalaman melakukan kerja rumah,  memang ini satu pengalaman yang patut semua lelaki harus tahu. Saya menjadikan Rasullah sebagai teladan kerana Baginda sendiri ringan tulang untuk membantu isteri.

“Mula-mula memang kekok tetapi lama-kelamaan tidak menjadi masalah. Soal makan duit isteri tidak timbul kerana belanja dapur memang saya guna duit royalti. Setiap perbelanjaan saya sudah susun awal-awal. Itu yang saya panggil perancangan  kewangan dalam rumah tangga dan alhamdulillah saya berjaya.

“Setakat ini rintangan adalah berpacu dengan waktu sahaja. Sementelah idea datang bila-bila masa. Kerana itu saya selalu ‘pujuk’ otak esok pagi bangun jadi manusia paling baik, beriman dan penulis  yang baik.  Alhamdulillah berjaya, tetapi saya tak kata sempurna. Untuk menjadi seperti yang ada hari ini saya kena betul-betul reda, ikhlas dan kerja kita juga menjadi senang dan tidak ada masalah.

Berikut video penuh perkongsian bersama Ramlee Awang murshid.