Andai ada kesalahan yang anak-anak kita lakukan, acap kali juga kita akan mudah marah-marah hingga keterlaluan. Alasan kita biasanya untuk mendidik, apa yang kita buat ke atas mereka, kita rasakan betul dan wajar.
Namun, sekali sekala kita juga sering terlupa bahawa apa yang telah kita lakukan itu tiada kewajarannya dan akhirnya akan timbul rasa sesal di dalam diri. Perasaan yang sama juga telah dirasai oleh seorang ayah ini dan ini kisahnya dikongsikan agar turut memberi manfaat dan panduan untuk ibu ayah yang lainnya dalam mendidik anak-anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Ads
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Didikan Terbaik
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
Ads
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Sesal Menyapa
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
Ads
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Anak Anugerah Agung
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
sumber : WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Mungkin ada yang masih ingat lagi tragedi yang menimpa keluarga pengasas produk kosmetik Dnars Skincare iaitu arwah Faziani Rohban Ahmad. Arwah terlibat di dalam kemalangan dan pemergiannya cukup dirasai bukan sahaja ahli keluarganya malah semua antara kita.
Namun apa yang mengejutkan kini, baru-baru ini ahli keluarga arwah mahu siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian Allahyarham yang meninggal dunia pada 18 Mei 2019. Ini sebagaimana yang dilaporkan di Harian Metro.
Keluarga pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia pada 18 Mei 2019, membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian Allahyarham.
Laporan polis itu dibuat jam 1 tengah hari tadi di Balai Polis Tumpat selepas tiga tahun kematian pengasas produk berkenaan.
Ahli keluarga Allahyarham ketika dihubungi mengesahkan membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut terhadap kematian Allahyarham yang disyaki ada unsur lain.
“Selepas kematian Allahyarham, kami ahli keluarga melantik peguam untuk mendapatkan maklumat dan hasil dapatan peguam terbabit, mendapati kematian Allahyarham diragui.
“Kami mengesyaki kematian Allahyarham bukan disebabkan kemalangan semata-mata sebaliknya ada unsur lain yang menyebabkan kami tampil membuat laporan polis.
“Susulan laporan dibuat, saya juga sudah memberi keterangan kepada pihak polis hari ini dan kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat keluarga Allahyarham.
Katanya, pihaknya akan merujuk laporan berkenaan ke Bahagian Perundangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) terlebih dahulu memandangkan kes berkenaan berlaku di Thailand.
Media sebelum ini melaporkan, Pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban meninggal dunia, manakala suaminya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand.
Faziani Rohban maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala suaminya, Shah Rizal Ibrahim, cedera.
Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki mangsa dan sebuah lori.
Allahyarham dikatakan dalam perjalanan ke sebuah pondok di Yala, Thailand untuk memberi sumbangan.
Sumber : myMetro
Webinar Aku Tak Serik Bersalin merupakan webinar kehamilan dianjurkan untuk para ibu hamil yang menanti kelahiran cahaya mata. Membariskan ramai speaker-speaker hebat yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing. Antaranya Dr Maiza Tusimin, Dr Siti Sarah Aishah, Dr Tengku Puteri Zainab, Ustazah Fatimah Syarha, Encik Fhais Salim dan selebriti Ezzaty Abdullah. Jom daftar secara percuma di SINI!
Belum pun reda wabak influenza, kini rakyat Malaysia dihujani kerisauan dengan penyakit misteri iaitu Novel Coronavirus (nCov-2019) yang bukan sahaja melanda di negara ini, bahkan dunia. Sehingga kini, seramai 8 orang disahkan positif wabak berkenaan di negara kita.
Sebagai langkah pencegahan, semua digalakkan menggunakan topeng muka terutamanya apabila melawat kawasan yang sesak. Namun, cara pakai topeng muka ini juga kena betul dapat berfungsi dengan berkesan bagi menghalang jangkitan.
Bagi wanita yang bertudung mungkin menghadapi sedikit kesukaran. Jangan risau, apa kata cuba tip yang dikongsikan oleh puan Elita Shafee tentang cara pakai tanpa perlu menyelit pada telinga. Moga bermanfaat!
Pemakaian “Ear-loop face mask” untuk Wanita bertudung
Alatan yang diperlukan 1 Keping “3 ply ear-loop face mask” 1 klip kertas
Cara memakai (sila rujuk gambar)
Langkah 1
Langkah 2
Langkah 3
Siap! Selamat Mencuba!
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Apabila bergelar suami isteri, bermakna bermulalah alam baru. Kita akan menerima orang baru dalam hidup kita. Sama ada isteri atau suami kita. Ibu dan bapa. Jadi nak memikat hati mertua pastinya bukan sesuatu yang mudah.
TIPS PIKAT MAK MERTUA
1. ANGGUK-ANGGUK
Walaupun ada beberapa perkara yang kita tidak setuju, angguk-angguk sahajalah. Biarkan mereka selesa dengan pilihan mereka sendiri. Lebih baik mengiyakan sahaja apa sahaja tindakan yang mereka buat.
Walaupun kadang-kadang panas juga hati dengan tindakan mereka, bersabar sahajalah. Itu lebih baik.Tu tanda kita raihkan pendapat dan turun kan ego kita .
2. TUNJUK RAJIN MASAK
Tunjuklah rajin memasak di dapur. Sedap tak sedap, itu belakang kira. Asalkan rajin membantu ipar dan mertua.Kalau tak pandai pandai, cuba mula kan dialog “ Mak nak masak apa hari ni , saya bantu ?” sekurang-kurangnya kita bersama dengan nya di dapur .
Dalam mental si ibu mertua, kalau si isteri tak pandai masak, dia mula risaukan anak dia. Siapa yang akan bagi makan?
3. BANYAKKAN BERBUAL
Perbanyakkan bualan mesra yg boleh menarik minat mertua dan ipar duai. Kalau mereka suka tengok drama di TV, layankan sahaja.
Walaupun tidak sama level, ketepikan dahulu. Janji berkomunikasi.itu penting . kalau senyap je , kang mertua cakap kita sombong ! haaa .
4. JANGAN TUNJUK MALAS
Jangan menonton televisyen apabila mertua atau ipar duai sibuk mengemas rumah.Tak rugi membantu mereka mengemas bersama.
5. BERIKAN HADIAH/BUAH TANGAN
Sebab itu, kita selalu nampak orang-orang dulu akan bungkus bawa buah-buahan bila berkunjung ke rumah tetamu. Sama juga adabnya bila menantu melawat mertua.
Jangan lupa belikan mereka ole-ole. Mahal atau murah itu belakang kira. Buah tangan atau hadiah itu adalah tanda ingatan. Bila kita tidak beri apa-apa, maknanya macam kita tidak ingat dia. Scary bukan?
Dan lagi, jika berkunjung ke tempat pelancongan, jangan lupa souvenir. Jangan sampai lupa kerana ia boleh mendatangkan kecil hati.
6. CUBA BERGAUL DENGAN IPAR-DUAI
Jangan asyik dengan mak mentua sahaja. Kena berbaik-baik dengan ipar yang lain. Ini penting supaya tidak berlaku cemburu dalam keluarga, lebih-lebih lagi antara ipar-duai perempuan.
7. JANGAN BERKEPIT DENGAN SUAMI
Masa mula-mula kahwin, bolehlah tunjuk manja semasa tengok TV beramai-ramai di ruang tamu. Bukan apa, takut ipar-duai yang lain meluat melihat kemesraan begitu.
8. BIARKAN IBU ‘CONQUER‘ ANAK
Sekali-sekala, biarlah ibu dia ‘conquer‘ anak. Takkan asyik isteri sahaja nak ‘conquer‘. Contohnya, kalau mak mertua nak sendukkan nasi untuk anak lelakinya itu, biarkan. Kita boleh uruskan diri kita sendiri.
9. TAK PAYAH TUNJUK MANJA
Tak perlu aksi gedik dan tunjuk manja bila duduk dengan suami. Jangan pula nak tunjuk aksi urut-urut sambil geletek, atau sandar kepala pada bahu suami semasa menonton TV. Lebih-lebih lagi kalau tunjuk aksi ini depan ipar-duai. Gerenti ipar meluat! Mak mertua juga boleh datang sifat cemburu!
Buat biasa-biasa sudah.
10. OFFER MAK MERTUA DUDUK DEPAN
Dahulukan mak mertua dalam apa jua keadaan. Biarkan kita yang kedua. Contohnya, kalau nak kereta dengan suami, offer mak mertua duduk depan. Biarkan mak mertua ada masa sembang dengan anak dia. Kita duduk belakang dengan anak-anak pun tak mengapa.
11. BUAT-BUAT TANYA MAKANAN KEGEMARAN SUAMI
Sesekali jadi kepoh apa salahnya. Buat-buat tanya dan salin resepi. Sudah tentu ibu mertua rasa dihargai, kerana dialah yang menyediakan dan menyuap makanan favourite suami dari kecil.
12. JANGAN MARAH SUAMI DEPAN MAK MERTUA
Bukan sahaja marah. Adik beradik marah ialah kutuk atau kecilkan suami depan mak mertua. Kenapa?
Anak jantan itulah yang dia bela dari kecil. Kalau dia layan elok-elok, dia expectmenantu akan layan anak dia elok-elok juga. Bukan buruk-burukan suami
13. UCAPKAN “SYUKUR DAPAT SUAMI MACAM NI” PADA MAK MERTUA
Banyakkan puji suami depan mak mertua. Antaranya, “Terima kasih mak sebab besarkan abang dengan baik sekali. Saya bersyukur sangat-sangat dapat suami macam ni. Ini semua kerana didikan mak”.
Namun cakap biar dalam nada ikhlas, jangan buat-buat nak memuji. Confirm, mak mertua akan kembang.
14. JANGAN BEREBUT SUAMI DENGAN MAK DIA
Kalau mak dia panggil, dahulukan yang itu. Walaupun kita ada perkara lain yang memerlukan suami, biarkan suami attend mak dia dulu. Didik hati supaya redha, bahawa syurga suami itu di bawah tapak kaki ibu.
15. INGAT BAHAWA ALLAH MAHA ADIL
Jangan sesekali layan mak mertua macam sampah. Apa salahnya layan mak mertua macam mak kita sendiri?
Layan mak mertua baik-baik sebagaimana kita nak menantu kita suatu hari nanti layan anak lelaki kita dengan baik.
P/S : ingat , kalau kita layan mak mertua macam kita layan mak kita sendiri , kesan dia sangat besar untuk rumah tangga kita . kalau yang tak ada mak mertua tu , doakan mereka dekat sana . moga-moga mereka ditempatkan dikangan orang beriman .
Kredit:Nadia Halim
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Seorang pemuda ditahan kerana disyaki mencabul seorang murid perempuan yang sedang bersolat Subuh dalam Masjid Jamek Sungai Masin dekat Batang Kali, awal pagi tadi.