Setiap Anak Ada Potensi Diri. Usah Bandingkan Jika Nak Anak Cemerlang

Share

Setiap anak ada potensi diri. Jadi usah bandingkan anak dengan anak lain. Tentu kita ibu bapa pun tidak suka dibandingkan dengan orang lain. Begitu juga anak-anak kita.

Perkongsian bapa ini, Syahr Musafir ada benarnya yang menjelaskan sebab anak-anak tidak sepatutnya dibandingkan.

“Anak kau tak puasa ke? Anak aku mula puasa masa umur 4 tahun, aku ajar dari awal. Sekarang umur 6 tahun, puasa penuh. Alhamdulillah… Rugilah anak kau umur dah 6 tahun belum puasa penuh. Nanti makin besar makin payah nak ajar…”

Bukan bab puasa saja, bab tahu ABC, membaca, mengira pun sama.

“Anak aku ada dua orang. Si abang tu aku mula hantar sekolah tadika masa umur 3 tahun setengah cam tu. Alhamdulillah umur 5 tahun dah boleh baca surat khabar dengan lancar. Tetapi si adiknya, aku hantar ke tadika pada umur yang sama macam si abang. Umur 4 tahun sekarang ni tapi ABC pun tak kenal lagi. Aku tengok anak kau umur 4 tahun dah lancar membaca. Hebatnya anak kau….”

“Anak kau dapat 6A dalam UPSR? Tahniah weiii. Anak aku dapat 4A je. Dua subjek lagi tak tahulah kenapa, dapat 1B dan 1C. Tak tahulah kenapa, sejak kecil umur 4 tahun pergi sekolah sama macam anak kau, pergi tuisyen pun sama macam anak kau, tapi anak aku tak cukup pandai macam anak kau…”

Itu bab akademik. Pernah dengar ibu bapa banding-bandingkan anak berdasarkan rupa paras?

“Dua orang anak aku, dari kecil, si kakak ikut kulit aku, putih. Yang adik ikut kulit ayahnya, gelap. Sebab tu jodoh si kakak ni cepat, nikah masa umur 25. Si adik ni lambat, ni umur 27 baru ada orang merisik…”

Alkisahnya…

Saya pernah dengar sendiri 4 situasi di atas. Saya yakin anda pernah alami juga. Atau sekurang-kurangnya pernah dengar.

Inilah realitinya, orang dewasa banding-membandingkan anak.

Cuba kita bayangkan kalau kita ubah situasi. Fikirkan bagaimana si anak-anak pula banding-membandingkan ibu bapa mereka.

“Ayah aku lembab sikit bab nak mengajar aku dan adik-beradik aku puasa. Umur 8 tahun baru ayah aku ajar aku puasa. Tu yang aku umur 10 tahun baru puasa penuh. Kau untunglah ada ayah yang efisien dan rajin. Umur 3 tahun dah belajar puasa, sekarang umur 10 tahun dah puasa penuh siap khatam qur’an lagi. Untunglah kau…”

“Ayah mak aku tak fikir jauh. Masih dok bawah tempurung. Orang lain hantar anak-anak ke tuisyen supaya boleh belajar lebih untuk jawab peperiksaan supaya dapat keputusan yang tinggi. Tapi mak ayah aku mana ada duit. Malas kerja belaka. Kalau mak ayah aku rajin dan dapat duit lebih, mestilah aku pun boleh pergi tuisyen macam kau pergi tu. Mesti aku pun boleh berjaya juga. Tapi itulah, mak ayah aku pemalas. Malas kerja, mana nak dapat duitnya…”

“Ayah mak aku, kedua-duanya kulit putih. Patutlah aku putih melepak. Ayah kau kulit hitam, mak kau pun hitam, jadilah kau hitam. Kesian kau…”

“Ayah aku ada PhD weiiii. Rajin belajar sampai PhD. Ayah kau ada apa? Setakat degree je. Malu la ada ayah camtu… Mesti ayah kau dulu SPM cukup-cukup makan je. Ayah aku cemerlang masa SPM, dapat biasiswa pergi luar negara, belajar sampai hujung dunia tu… Ayah kau mesti tak pandai macam ayah aku…”

Agak-agak, kita gembira kalau dengar anak-anak berbicara sebegini membanding-bandingkan kejayaan ibu bapa mereka dengan ibu bapa rakan-rakan?

Saya sebenarnya kesian bila tengok anak-anak seusia 4 hingga 7 tahun ini dibanding-bandingkan oleh ibu bapa sendiri. Anak jiran dah pandai baca buku ensiklopedia, anak kita eja ‘ibu’ pun jadi ‘abu.’ Anak kawan umur 4 tahun dah pandai tulis karangan 1000 patah perkataan, anak kita pegang pensel pun salah lagi. Anak saudara kita umur 5 tahun sudah tahu pakai mekap tebal tapi nampak natural macam Kate Middleton, anak kita umur 7 tahun sikat rambut pun malas.

Sebenarnya pada umur sebegini anak-anak perlu disuburkan dengan nilai-nilai kehidupan.

Contohnya keyakinan diri. Orang putih kata self-confidence. Bercakap dengan orang, bergaul, kita puji kebaikan yang anak-anak kita buat, berikan peluang mereka buat silap supaya kita boleh perbetulkan, bercakap depan orang (dalam kelas di tadika), dan pelbagai lagi.

Contoh seterusnya adalah akhlak dan moral. Berterima kasih apabila diberikan bantuan, meminta maaf apabila buat salah, senyum apabila bersua muka, hormat orang yang lebih tua, bersalam cium tangan atau tunduk hormat, hormat guru dan ibu bapa, luahkan rasa sayang pada ibu bapa dan adik-beradik, berpakaian bersih dan kemas, dan macam-macam lagi.

Contoh lain adalah kemahiran untuk surive dalam hidup. Seperti tahu harga wang dan bagaimana nak membeli dan buat bayaran, cara melintas jalan raya, jangan bercakap atau ikut orang yang tak dikenali, pupuk minat belajar seni mempertahankan diri seperti silat atau taekwondo, dan sebagainya.

Umur baru 5 tahun ibu bapa dah nak hantar anak-anak ke sekolah berasrama penuh, tuisyen atau kelas peribadi berbayar yuran paling mahal dalam dunia pun tak apa, anak-anak masing-masing, bukan kita nak halang. Tetapi apa pun potensi atau pencapaian anak-anak seusia 3 hingga 7 tahun, usahlah dibanding-bandingkan dengan pencapaian kanak-kanak lain. Too early to say anything. Kesian si anak, asyik dibandingkan. Sedangkan kita sebagai ibu bapa tak suka orang bandingkan kita dengan ibu bapa lain.

Cool je, lakukan dengan slow and steady. Anak-anak kita bukan bahan eksperimen, anak-anak adalah mutiara kehidupan. Didik dengan aman, agar tumbesarannya menjadi manusia yang aman. Bukan carca-merba.

Anak-anak kita bukan bahan bandingan. Nak banding, banding supaya kita tahu apa nak dibuat supaya anak-anak berubah jadi lebih baik. Bukan membandingkan sebab nak jadikan modal bersembang dengan kawan atau lawan.

Ingatlah selalu, setiap anak mempunyai potensi yang berbeza. Jangan bebankan anak-anak seusia 3 hingga 7 tahun dengan perkara-perkara tak perlu sebegini. Jangan bebankan diri kita sebagai ibu bapa juga. Penat tau banding-membanding ni…. Anak itu anak kita, kan? Sayangi seadanya tanpa membanding-banding, kita pun akan lebih tenang jiwa.

Moga kita menjadi ibu bapa yang hebat dalam mendidik anak.