Setelah Pasangan Dijemput Ilahi, Hanya Kenangan Jadi Pengubat Rindu!

Share

Tiada siapa pun tidak berasa sedih bila berpisah dengan pasangan hidup. Kehilangan yang dirasai, pastinya cukup berat untuk ditanggung dan kerinduan di hati terus terasa.

Berkongsi kisah berkenaan kenangan bersama arwah suami, wanita ini ada kisahnya yang tersendiri.

Ini perkongsiannya.


Saya masih simpan minyak wangi arwah suami, hadiah daripada seseorang yang rapat dengannya.

Haruman inilah yang saya hidu setiap kali dia sembur ke tubuhnya. Bau inilah yang melekat di hidung saya sehinggakan saya boleh tahu samada dia ada atau tiada.

Saya masih ingat gelagatnya di hadapan cermin. Selesai membetulkan pakaian di badan dan merapi rambut, arwah suami akan capai botol minyak wangi ini.

“Amboi abang. Ni nak pergi kerja ke nak mengurat? Tau la kat shopping mall tu ramai awek,” saya yang memerhati dari tadi mula mengusik.

Dia pandang saya dari cermin di hadapannya. Dia senyum. Itu sebabnya saya suka usik dia. Saya suka tengok respons dia.

Ada masa dia senyum. Ada ketika dia malu-malu. Ada waktu dia akan usik saya pula.

“Ha ah. Abang nak mengurat awek belakang abang ni. Boleh?”.

“Hah! Boleh sesangat. Berani ke?”. Saya ni bukan boleh kena sakat dengan arwah suami. Bersambung-sambung kami menyakat satu sama lain. Kalau anak-anak dengar, lagi bertambah riuhnya.

Ternyata ia satu kenangan yang sangat indah. Salah satu kenangan di antara babak-babak kenangan yang lain. Masa berlalu pergi seiring fitrahnya tapi tidak pada kenangan. Ia kekal selagi tidak dilupakan.

Tak tahulah sampai bila saya akan simpan minyak wangi ni.

sumber : Zureiny Zulkafly