
Tiada siapa pun tidak berasa sedih bila berpisah dengan pasangan hidup. Kehilangan yang dirasai, pastinya cukup berat untuk ditanggung dan kerinduan di hati terus terasa.
Berkongsi kisah berkenaan kenangan bersama arwah suami, wanita ini ada kisahnya yang tersendiri.
Ini perkongsiannya.
Saya masih simpan minyak wangi arwah suami, hadiah daripada seseorang yang rapat dengannya.
Haruman inilah yang saya hidu setiap kali dia sembur ke tubuhnya. Bau inilah yang melekat di hidung saya sehinggakan saya boleh tahu samada dia ada atau tiada.
Saya masih ingat gelagatnya di hadapan cermin. Selesai membetulkan pakaian di badan dan merapi rambut, arwah suami akan capai botol minyak wangi ini.
“Amboi abang. Ni nak pergi kerja ke nak mengurat? Tau la kat shopping mall tu ramai awek,” saya yang memerhati dari tadi mula mengusik.
Dia pandang saya dari cermin di hadapannya. Dia senyum. Itu sebabnya saya suka usik dia. Saya suka tengok respons dia.
Ada masa dia senyum. Ada ketika dia malu-malu. Ada waktu dia akan usik saya pula.
“Ha ah. Abang nak mengurat awek belakang abang ni. Boleh?”.
“Hah! Boleh sesangat. Berani ke?”. Saya ni bukan boleh kena sakat dengan arwah suami. Bersambung-sambung kami menyakat satu sama lain. Kalau anak-anak dengar, lagi bertambah riuhnya.
Ternyata ia satu kenangan yang sangat indah. Salah satu kenangan di antara babak-babak kenangan yang lain. Masa berlalu pergi seiring fitrahnya tapi tidak pada kenangan. Ia kekal selagi tidak dilupakan.
Tak tahulah sampai bila saya akan simpan minyak wangi ni.
sumber : Zureiny Zulkafly
Hati-Hati Bila Anak tiba Terbatuk Dan Susah Nak Bernafas. Baca Panduan Dr Ini.

Sedang anda menonton televisyen, anak anda tiba-tiba saja terbatuk-batuk. Beliau dilihat sedang termengah-mengah. Susah nak bernafas.
Apakah langkah anda pada saat itu?
Ingat, anak anda mungkin sedang tercekik. Beliau sedang bertarung dengan nyawa!
Pastikan anda lakukan langkah ini untuk bayi anda:
Minta bantuan kecemasan
Tiarapkan bayi di atas lengan.Letakkan kepala sedikit di bawah. Tepuk belakang dada di antara tulang belikat sebanyak lima kali
Letakkan bayi menelentang. Periksa mulut bayi. Keluarkan benda asing jika kelihatan.
Jika keadaan masih sama, letak dua jari di tengah-tengah dada. Lakukan tekanan sebanyak lima kali.
Untuk kanak-kanak berusia lebih setahun, sekiranya gagal setelah melakukan tepukan lima kali di belakang, lakukan tekanan di bawah diafragm ‘Heimlich Manouvre’ (Berdiri di belakang mangsa. Letak kedua-dua tangan di pinggang mangsa dan tekan abdomen ke arah dalam dan atas). Keluarkan benda asing jika kelihatan.
Jika anak anda tiba-tiba tidak sedarkan diri. Jangan buang masa. Lakukan CPR. Hubungi ambulans!
Saya tahu jika situasi ini berlaku kepada anda. Situasi panik boleh menguasai diri. Sebab tu amat penting untuk menguasai ilmu asas ini.
Semoga ilmu ni berguna untuk anda. Jangan lupa kongsi kepada pasangan anda dan juga orang yang anda sayang.
Dr Ezairy M.Sallih
Doktor Telinga, Hidung & Tekak
“Menghukum Anak ‘Online’. Antara Mendidik & Meraih Populariti.” Wanita Ini Kongsikan Impaknya kepada Anak-Anak.

Di kala ramai ibubapa menggunakan platform media sosial untuk memuatnaik gambar dan video anak-anak yang bijak, keletah, kreatif, inovatif, cergas, tangkas, kritis, dan positif, ada juga ibubapa yang memuatnaik gambar dan video yang membuka aib anak dan menjatuhkan maruah dan harga diri anak kononnya kerana hendak mendidik anak.
Seorang ibu dari Alaska yang dikenali sebagai ‘hot sauce mom’ telah dibawa ke muka pengadilan kerana telah memuat naik video dirinya yang sedang menuangkan sos pedas ke dalam mulut anak sebagai hukuman kepada anak yang berbohong kepadanya.
Dia juga memuat naik video menghukum anak dengan memaksa anak berdiri di bawah pancutan (shower) air sejuk. Tindakannya memalukan anak dengan mempertontonkannya kepada umum telah menerima kecaman yang hebat.
Adakah kaedah menghukum dan menyiarkan (punish and broadcast) ini efektif dalam mengubah tingkah laku anak?
Nor Afidah Abu Bakar dari Parent Connect Consultancy berkongsi pandangan mengenai isu ini.
MENGHUKUM ANAK ‘ONLINE’. Antara mendidik dan meraih populariti.
Apakah benar semua ini dilakukan atas nama disiplin dan kasih sayang ataupun adakah ia dilakukan kerana ayah atau ibu tersebut inginkan perhatian?
Fenomena ‘child shaming’ atau membuka aib anak ini ternyata semakin mendapat perhatian. Terdapat lebih 30 000 klip video yang memaparkan bagaimana kanak-kanak dimalukan di media sosial oleh ibubapa sendiri atas nama disiplin. Saya lihat ‘trend’ ini juga sudah menular di kalangan ibubapa di negara kita. ‘Trend’ baru ini hangat diperdebatkan kerana ia melibatkan jiwa anak-anak yang masih memerlukan bimbingan dan perlindungan daripada orang dewasa terutamanya ibubapa.
Kesilapan, kenakalan dan kedegilan anak adalah aibnya. Tidak ada manusia yang waras mahu aibnya disebarkan. Cara untuk membimbing kesilapan anak bukanlah dengan mempertontonkan hukuman ke atas anak kepada orang ramai, sebaliknya dengan nasihatinya dan membimbingnya secara tertutup peringkat demi peringkat sehinggalah dia berupaya untuk memperbaiki dirinya.
‘Shaming’ meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kanak-kanak. Kaedah ini mungkin berkesan untuk jangkamasa yang pendek selama mana ibubapa masih ‘memegang kuasa’. Walau bagaimanapun luka yang dipendam anak boleh menghakis kepercayaan anak kepada ibubapa sedikit demi sedikit sehingga terhakisnya hormat.
Ibubapa adalah satu-satunya insan yang dipercayai anak sejak dia lahir. Walaupun satu dunia berpaling tadah, kita tahu ibubapa kita tetap akan mempercayai dan menyokong kita. Jika kepercayaan itu hilang dari dalam jiwa anak disebabkan sikap ibubapa yang gemar membuka aib anak untuk dipertontonkan kepada umum, bagaimanakah rasanya kepercayaan anak itu terhadap nilai dirinya sendiri?
‘Shaming’ bukannya kaedah yang kreatif untuk mendisiplinkan anak, sebaliknya ia merupakan satu kaedah yang destruktif. Anak yang merasa terhina akan memekakkan telinga kepada sebarang perubahan yang diharapkan.
‘Shaming’ menjadi kitaran penderaan (abusive cycle) yang akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, terutamanya apabila ayah atau ibu yang memalukan anak itu berkata “ Abah lakukan (memalukan kamu) semua ini kerana sayangkan kamu.”
Hakikatnya, kasih sayang sebenar akan mendorong ibubapa untuk menutup dan menjaga aib dan harga diri anak-anak. Kasih sayang seharusnya menjadikan kita ibubapa yang melindungi anak, bukannya ibubapa yang memberi ruang kepada mereka yang tidak mengetahui duduk perkara sebenar untuk mengecam dan mengeji anak kita.
Walaupun mungkin kaedah membuka aib anak ini menjadi amalan sejak turun temurun tetapi media sosial memberi impak negatif yang lebih besar kepada anak kerana aibnya ditonton oleh ramai orang termasuk yang langsung tidak mengenali si anak.
Kesan memalukan anak di media sosial berbeza dari kesan menceritakan ‘kenakalan’ anak kepada Mak Piah atau Pak Usop sebelah rumah yang kita percayai untuk meminta nasihat. Penceritaan kepada Mak Piah dan Pak Usop mungkin mencapai capaian hingga tangga rumah sahaja tetapi capaian media sosial merentasi hingga hujung benua, dari kutub utara ke kutub selatan.
Di mana anak mahu meletakkan mukanya?
Anak kecil juga mempunyai maruah dan harga diri.
Kawan-kawan mengejek dan orang sekeliling memandang sinis kepadanya.
Aib ini akan timbul kembali dari masa ke semasa seumur hidup anak kerana ia sudahpun menjadi ‘digital footprint’ anak yang tidak akan boleh dipadamkan lagi.
Tidakkah kita kisah?
Kadang-kadang dalam kita beria-ia membuka aib anak, dalam kita teruja memperolehi banyak ‘like’ dan ‘share’ di media sosial, dalam kita berbangga kerana kita dianggap oleh segelintir pihak sebagai ibubapa yang berjaya mendidik anak kerana menghukum anak, kita tidak sedar yang kita sebenarnya membuka aib diri kita sendiri kepada mata dunia.
Jika ibubapa perlu bergantung kepada kaedah membuka aib anak di media sosial supaya diadili oleh orang asing, itu bermakna ibubapa itu sendiri tidak pandai menguruskan anak-anak dan keluarga hingga menyebabkan anak menjadi susah dikawal.
Kenapa harus dipertontonkan aib kita, anak-anak kita dan keluarga kita secara sukarela kepada orang ramai sedangkan Allah SWT sentiasa menutup aib kita.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
“Semua Allah Punya, Kami Reda Dengan Ujian.” Kerbau Adik Syukor Mati Mengejut, Netizen Luah Simpati & Titip Doa!

Khabar duka dari Kandang Pak Khamis di Kg Banggol Katong, Serada. Semalam dikhabarkan lebih 25 ekor kerbaunya mati secara mengejut.
Tiada bahasa dapat Syukor dan ayahnya Pak Khamis luahkan, cuma linangan air mata dan harapan doa dari orang ramai sahaja yg diharapkan.
Selebihnya berserah kepada Allah SWT, semoga ada sinar baik untuk keluarga ini dalam menghadapi dugaan ini. Demikian yang dikongsikan oleh Dallah Deen Photography menerusi laman facebooknya semalam.
Malah kematian semakin meningkat dan menurut pihak Bernama semalam, sebanyak 36 ekor mati manakala 10 ekor lagi sedang nazak.
“Seekor demi seekor kerbau tumbang. Kini telah 36 ekor mati dan masih ada 10 ekor lagi sedang nazak.”
Demikian luahan Khamis Jusoh, 64, iaitu bapa kepada Muhammad Syukur yang terkenal dengan jolokan ‘Kampong Boy’ atau ‘Mowgli Malaysia’ berikutan tular kejadian sejumlah kerbau peliharaan mereka didapati mati sejak Rabu lepas dipercayai akibat hawar berdarah.
Khamis berkata sehingga kini kerugian yang dialami melebihi RM200,000 dan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telahpun mengambil sampel untuk mendapatkan pengesahan punca kematian.
“Punca sebenar kematian hanya akan diketahui selepas dua minggu setelah sampel yang diambil dihantar untuk ujian makmal. JPV nasihatkan kami untuk mengasingkan kerbau yang sihat agar tidak terjangkit,” katanya ketika ditemui pemberita di kandang kerbau Kampung Kubang Bujuk, di sini, hari ini.
Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan perbuatan khianat dari mana-mana pihak, Khamis berkata beliau menyerahkan perkara itu untuk siasatan polis.
Sementara itu, Muhammad Syukur, 15, berkata beliau dan keluarga tetap reda dengan ujian tersebut, malah mereka akan lebih berwaspada bagi memastikan kesihatan haiwan ternakan.
Dugaan besar buat kami sekeluarga… mungkin sekarang musim wabak…kami sekeluarga mengharapkan doa dari semua agar musibah ini segera berakhir… demikian perkongsian Syukor Khamis – Kampong Boy menerusi facebooknya semalam.
Remaja yang sering menjadi pilihan lensa kamera kerana mampu beraksi dengan haiwan itu berkata ia adalah kejadian pertama yang dialami mereka sekeluarga sejak mula menternak kerbau, 50 tahun lalu.
Muhammad Syukur berkata fokus mereka ketika ini ialah mahu menyelamatkan nyawa kerbau yang masih ada dan sekurang-kurangnya beliau masih mampu tersenyum kerana kerbau kesayangan yang diberi nama ‘Semek’ tidak dijangkiti sepertimana yang lain.
“Semuanya Allah punya, kami reda dengan ujian kematian 36 kerbau ini. Namun memang sedih kerana biasanya jumlah yang mati tidak begitu banyak secara serentak.
Antara simptom yang disedari berlaku pada kerbau yang sakit ialah hidung berair, tidak aktif dan najis berdarah.
“Sekarang pun ada beberapa ekor yang kita syaki sedang sakit, minta doa semua agar urusan keluarga kami dipermudahkan Allah.” katanya.
Muhammad Syukur mula terkenal apabila gambarnya bersama lebih 100 ekor kerbau menjadi tular di media sosial hingga menjadi juara peringkat Asia selain turut tersenarai 20 gambar terbaik dunia.