Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abdul Halim, 39, bapa kepada bayi berusia lapan bulan yang maut akibat didera oleh pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska), akhirnya dapat berpindah tugas ke Melaka setelah 14 tahun berjauhan dengan isterinya.
Dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook, beliau meluahkan rasa syukur kerana hasrat untuk tinggal sebumbung dengan isterinya di Melaka kini tercapai.
Beliau yang sebelum ini berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi turut berkongsi gambar sewaktu menjalankan urusan serah tugas pada hari Rabu.
“Alhamdulillah, urusan serah menyerah tugas selesai dengan baik. Pemergian Al Fateh menjadi asbab untuk saya kembali bertugas di Melaka. Semoga segala urusan di tempat baru ini dipermudahkan. Kini, saya dan isteri boleh melawat kubur Al Fateh setiap hari, Insya-ALLAH,” katanya pada Khamis.
Dalam masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada semua yang telah mendoakan dan memberi kata-kata semangat kepadanya.
“Semoga Allah membalas budi baik anda semua dengan rezeki yang melimpah ruah,” tambahnya.
Dalam kejadian tragis pada 6 September sekitar jam 8 pagi, bayi mereka, Al Fateh, meninggal dunia selepas didakwa didera oleh pengasuh yang menekup muka bayi tersebut dengan bantal selepas membedung dan menutup mulutnya dengan kain sambil menyumbat botol susu.
Perbuatan pengasuh wanita berusia 34 tahun itu dirakam menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebelum dia ditahan oleh polis dan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Sumber: Mohd Fikry Amri