Kala ini, penularan covid-19 telah melonjak naik kepada 659 kes satu hari. Situasi yang membuatkan ramai yang semakin bimbang. Ketika ini juga ramai ibu bapa tidak membenarkan anak-anak hadir ke sekolah.
Walaupun pihak kerajaan tidak melaksanakan PKP, namun kita harus sentiasa mematuhi SOP elak jangkitan.
Bayangkan jika ramai yang dijangkiti dalam tempoh yang singkat, tentu banyak pesakit akan menjalani rawatan. Ketika ini sudah tentu para barisan hadapan seperti kakitangan perubatan bekerja dalam situasi yang mencabar.
Begitulah yang dikongsi oleh seorang Dr mengenai situasi yang dialami oleh rakan beliau di Sabah.
Ikuti perkongsiannya.
Sesak nafas bila baca perkongsian dari rakan seperjuangan di hospital Sabah tentang kepayahan mereka menangani Covid.
Di Sabah dengarnya dah tenggelam dengan kedatangan ramai pesakit dalam keadaan tenat. Datang saja dah tahap 4 dan keatas.
Seorang saja pesakit Covid tahap 5 yang dimasukkan ke ICU mengambil masa 2-6 minggu untuk di rawat di ICU. Lepas itu sambung lagi sebulan dua di wad biasa.
Nanti bukan saja pesakit tak perasan dah semakin tenat (hanya ambil masa 12-24 jam saja untuk melarat tanpa sedar), malah boleh jangkit pada ahli keluarga lain pula.
Saya doakan rakan-rakan di Sabah kuat dan tabah. Buatlah sedaya yang mampu. Namun usah sampai gadaikan nyawa atau berkompromi dengan keselamatan tempat kerja. Nyawa anda lebih penting. Anda seorang boleh selamatkan beratus nyawa jadi jagalah diri sebaik mungkin.
Pada rakan lain, usahlah sebar berita palsu atau menormalisasikan wabak Covid ini. Saya dengar ada doktor yang tak pernah rawat Covid di hospital memandai-mandai kata Covid ini penyakit biasa. Ada pula yang kata usah risau; statistik Covid kita semuanya di penjara, takkan terkena kita.
Pedih hati bila staf perubatan sendiri memandang ringan dengan keterukan Covid. Anda tak merasa bergelumang dengan kahak Covid memanglah boleh gebang macam-macam. Cuba masuk ICU Covid dan buat aerosolised procedure selama berjam-jam tengok berani ke tidak, tahan ke tidak?
Kita perlu terus berwaspada namun tak perlu sampai panik.
Difficult times don’t last. Take one day at a time. This too, shall pass.
Stay safe everyone!
Kredit: Hana Hadzrami