
Bila tengok mainan anak yang berselerak memang boleh ‘sakit mata’ dibuatnya. Itu belum lagi bila tiba-tiba kita terpijak mainan yang kecil dan tajam, memang sakitnya tak boleh hendak digambarkan.
Tidak mahu terus berdepan masalah ini, elok kiranya kita sediakan rak mainan untuk memudahkan anak-anak capai dan simpan usai bermain.
Jika tidak dibeli sekali pun, idea dari seorang ibu ini boleh juga dijadikan inspirasi.
Sekali pandang ‘sebijik’ macam ada dijual di pasaran namun kos yang digunakan untuk hasilkannya jauh lebih murah.
Nak tahu lanjut, ini perkongsiannya.
taraaa.. finally siap.. cost untuk buat toy rack ni cuma RM29.90 sahaja.. ain tengok dekat shopee paling murah RM99..
baskets tu semua ain beli dikedai eco jur. kayu tu pula beli di kedai hardware. kayu tu nak cat boleh nak spray pn bole.. bagi dia nampak cantik dan lagi kemas..
9 baskets RM 18.90
3 batang kayu RM 11
Hanya perlukan tenaga dan kreativiti sahaja…Inas pun suka.. lepas ni dah boleh ajar inas lepas main mesti dan wajib letak ditempat asal.. mainan anak pun tak lah berselerak lagi.. betul tak?
Sumber : Nurul Ain Anises
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
“Murung Lepas Ibu Meninggal Dunia.” Ayah Bina Bangsal Sebesar Reban Ayam Jadi Rumah Untuk Tiga Anak Lembam & Mental, Elak Bertindak Agresif.

Berat mata memandang, berat lagi bahu si ayah yang memikul. Mungkin nampak kejam dan tidak berhati perut, namun si ayah ini tidak punya pilihan lain apabila menempatkan tiga anaknya di sebuah bangsal sebesar reban ayam.
Ini bertujuan mengelakkan ketiga-tiga mereka bertindak agresif. Di situlah dunia dan tempat ketiga-tiga mereka yang dikategorikan lembam dan juga mental berteduh.
Menurut Mamat @ Mohd Zain Idris, 70, dia membina bangsal tersebut berhampiran rumahnya apabila terpaksa mengasingkan ketiga-tiga anaknya itu bagi mengelak bertindak agresif terhadap empat cucu yang tinggal bersama.
Bangsal daripada kayu dan zink terbuang itu menjadi tempat tinggal dua anak yang mengalami masalah mental, Mohd Fakrul Anuar, 46 dan Mohd Aris, 36, serta anaknya lembam Mohd Hanafiah, 34.
Ihsan sedekah orang ramai
Mamat berkata, tiga bangsal itu dibina apabila empat cucu berusia 6 hingga 15 tahun tinggal bersamanya dan isteri, Aminah Harun, 55, selepas tiga anak perempuan bercerai dan meninggalkan mereka.
Dua lagi anaknya juga lembam, Nor Albaniah, 27, sudah berumahtangga serta disara suaminya manakala Samsuri, 25, tinggal di dalam rumahnya yang diubah suai dan dipisahkan dengan batu-bata.
“Saya sara 9 ahli keluarga dengan ihsan sedekah orang ramai kerana tak larat untuk bekerja buruh lagi. Mujurlah adik saya yang tinggal sebelah rumah hulurkan makanan setiap hari untuk kami 10 sekeluarga
“Kalau ada beras atau makanan boleh dibuat lauk yang disedekahkan orang ramai, saya masak sendiri,” katanya.
Ulang-alik hantar cucu
Menurutnya, selain menguruskan makan minum empat anak mental dan lembam, dia juga berulang-alik menghantar tiga cucunya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjong dan tadika menaiki motosikal.
“Cucu yang sudah sekolah menengah pergi sendiri ke sekolah. Membesarkan empat cucu ini sudah menjadi tanggungjawab saya, nak harapkan kepada anak-anak bantu, mereka pun saya jaga.
“Mohd Fakrul Anuar kerja cari besi buruk tapi perlu ke Klinik Kesihatan Wakaf Bharu setiap bulan untuk rawatan susulan penyakit mentalnya.
“Mohd Aris yang sering merayau pula setiap bulan perlu disuntik ubat penenang kerana dia agresif,” katanya.
kemurungan selepas ibu meninggal dunia
Mamat berkata, penyakit mental ini dihidapi kedua-dua anak lelakinya itu sejak remaja disebabkan kemurungan kerana ibu mereka yang juga isteri pertamanya meninggal dunia.
“Anak-anak saya tak ada kad orang kurang upaya (OKU) sebab belum mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Isteri ada masalah jantung dan tiroid
Menurutnya, isteri yang bekerja sebagai pembantu kantin sering menolongnya menyara keluarga sebelum terpaksa berhenti kerja setahun lalu.
“Isteri saya mempunyai masalah jantung dan menghidap tiroid. Dia pula perlu dibedah pada 25 Mei ini,” katanya.
Dalam pada itu, keluarga berkenaan juga mendapat perhatian Imam Masjid Mukim Paloh, Muhamad Husin dan menjadi antara asnaf yang sering menerima bantuan zakat dan beras.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Mamat @ Mohd Zain 153039270207 atau hubunginya di talian 012-9685549.
Sumber: Sinar Harian
“Ada Mainan Baru, Yang Lama Kena Derma.” Kongsi Tip Elak Mainan Bertimbun, Cara Hanis Zalikha Disiplinkan Anak-Anak Dipuji!

Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Justeru, dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, tidak sama cara didikan. Begitu juga dengan pelakon dan usahawan Hanis Zalikha, 30.
Hanis dan Hairul berkahwin pada 5 Jun 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah.
Melihatkan cara pemilik jenama Cakenis ini membesarkan anak-anaknya cukup memberi inspirasi terutama kepada pasangan muda yang lain.
Tidak hairanlah, setiap kali memuat naik video mahpun gambar perkongsian di instagramnya, ramai ibu-ibu yang memberi komen.
Baru-baru ini, Hanis berkongsi tip bagaimana memastikan tidak berlakunya lambakan barang mainan di rumah.
Menurut Hanis, mendidik anak-anakanya ‘melepaskan’ secara sukarela mainan tersebut dengan menderma yang lama jika sudah mempunyai mainan yang baharu. Mainan lama tersebut akan diberikan kepada orang lain yang lebih memerlukan.
Kaedah yang dipraktikkan Hanis ini juga ini dapat melatih anak-anaknya supaya lebih peka dalam pemilihan jenis barang. Bukan itu sahaja, mereka tidak akan sewenang-wenangnya meminta mainan yang baharu memandangkan sayang untuk melepaskan mainan lama kepada orang lain.
Dalam pada Itu, Hanis turut berkongsi tip untuk ibu bapa supaya membiarkan anak-anak memilih sendiri jenis mainanan yang ingin mereka berikan kepada orang lain.
Teknik ini melatih anak-anak supaya dapat membuat sesuatu keputusan berdasarkan apa yang mereka suka dan apa yang mereka tidak suka. Ini juga menjadikan mereka mempunyai presepsi dimana pendapat mereka dihargai dari kecil hingga dewasa kelak.
Sumber: Hanis Zalikha

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Penularan Kes Positif Covid-19, Kementerian Pendidikan Bincang & Bersedia Jika Perlu Tutup Sekolah!

Ekoran kes Covid-19 meningkat baru-baru ini sehingga membabitkan kanak-kanak mencetuskan kebimbangan di kalangan ibu bapa ekoran anak-anak kini sudah memulakan persekolah.
Ekoran daripada itu, pihak Kementerian Pendidikan (KPM), melalui pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), akan berbincang bersama pihak berkaitan jika terdapat keperluan menutup sekolah bagi mencegah penularan COVID-19 di kawasan yang terlibat.
Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata di peringkat negeri, KPM akan memantau perkembangan sesi persekolahan melalui JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dan pengarah JPN ialah ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPPN).
“Selepas pengumuman pelaksanaan kawalan pergerakan antara bahagian di negeri Sarawak pada 29 Julai lalu, JPPN Sarawak dengan persetujuan KPM telah memutuskan untuk menangguh pembukaan semula 213 buah sekolah di daerah Kuching.
“Ini melibatkan 87 buah sekolah di bawah PPD Kuching, 99 sekolah (PPD Padawan), dan 27 sekolah (PPD Samarahan). Pembukaan semula sekolah yang diumumkan pada 3 Ogos lalu telah ditangguh ke 17 Ogos.
“Bagaimanapun, kelas bagi prasekolah, Tingkatan 5 dan 6 beroperasi seperti biasa di ketiga-tiga PPD tersebut,” katanya menjawab pertanyaan Teo Nie Ching (PH-Kulai) pada sesi soal jawab yang ingin tahu jika KPM merancang untuk menutup sekolah di Zon Merah COVID-19, seperti Kuching, Sarawak.
Bagi negeri Kedah pula, Radzi berkata kerajaan negeri telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar di empat mukim iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba, Mukim Binjal dan Mukim Padang Serai bermula 2 Ogos.
Berikutan itu, beliau berkata JPPN Kedah dengan persetujuan KPM telah memutuskan untuk tutup empat buah sekolah di bawah PPD Kubang Pasu, sebuah sekolah di PPD Padang Terap bermula 2 Ogos hingga 29 Ogos.
Menjawab soalan tambahan Teo sekiranya KPM bercadang menutup sekolah di Sabah susulan terdapat kes positif dalam kalangan murid di negeri itu, Radzi berkata perkara itu akan dilihat mengikut kes.
“Jika ada keperluan untuk menutup sekolah tersebut, kami di KPM, berdasarkan nasihat daripada profesional di KKM dan MKN serta kerajaan negeri (akan) berbincang (dan) kita bersedia (untuk tutup sekolah).
“Setiap kes yang berlaku berbeza, seperti di Sarawak banyak sekolah (dengan) lebih 200 buah sekolah ditutup tetapi di Kedah kita tutup lima sekolah berdasarkan kes yang ada dan berdasarkan risiko dan cara menangani risiko tersebut,” katanya.
Sumber: Dr Radzi Jidin & Bernama