Jika ada sesetengah wanita lain sukar berbaik dengan ibu mentua, berbeza pula dengan Eira. Malah dia mengakui keluarga Azad penuh kasih sayang.
“Bukan sahaja saya, malah adik saya juga rapat dengan keluarga sebelah suami. Kebetulan kami tak ramai lelaki dalam keluarga. Malah hubungan saya dengan adik ipar lelaki juga rapat. Dengan mak mentua, ibarat ibu saya sendiri.
“Mak saya sudah meninggal jadi bila dapat ibu mentua yang sangat baik, memang cukup menyenangkan. Malah adik -beradik saya pun anggap mentua saya seperti mak sendiri. Seperti mana Azad, demikian lah ibunya. Mummy seorang yang suka bergurau, ketawa dan penyayang orangnya.
“Untuk bagi nasihat pada wanita lain rasanya tak layak, tapi saya mahu berkongsi bagaimana hubungan dengan mentua sendiri. Jangan stres, hidup pun terlalu singkat dan suatu hari nanti anda juga akan bergelar ibu. Anak anda akan berkahwin jadi, kalau tak nak benda tu devaju berlaku pada anda, jadi layan ibu mentua sebaik-baiknya.
“Kita pun akan tua dan berumur, turunkanlah ego sebagai seorang anak walaupun kita tak salah. Beralah sekarang tak rugi dan saya percaya itu janji Allah dan kitaran hidup akan berlaku pada kita. Lama-lama orang tua akan lembut asalkan kita pandai jaga dan ambil hati mereka,” ujar Eira yang mengakui suami dan keluarga mentua yang banyak mengajarnya dalam menghargai keluarga dengan penuh kasih sayang.
Ikut cara keluarga mentua didik anak
Jujur mengakui Azad lebih banyak mendidik dan menjaga anak-anak, jelas Eira mereka banyak mengikut pendekatan keluarga suaminya dalam didik anak.
“Suami sangat menjaga anak-anak dan orang nampak di luar jenis yang kasar, garang tapi sebaliknya di rumah. Azad banyak praktik cara ibu bapa mendidik anak-anak. Arwah bapa Azad dan mummy tak pernah bergaduh depan anak-anak. Demikian juga kami praktikkan dalam rumah tangga kami.
“Kalau saya tertinggi suara sedikit, Azad akan tegur dan biasanya kami akan berbincang di dalam bilik supaya anak-anak tak dengar. Cuma saya lebih kepada mendidik anak-anak bagaimana hormat pada orang tua. Walaupun nampak moden tetapi saya bab mengaji sangat partikular sebagai seorang ibu manakala bab disiplin, cara bercakap depan orang dan sebagainya semuanya Azad yang uruskan.
“Anak-anak juga takut kalau Azad bersuara kerana dia jenis ayah yang tak suka marah. Kalau anak buat salah, Azad akan tegur dan bukan sahaja anak-anak malah saya sendiri banyak belajar dengan suami,” ujar Eira lagi.