Senyum Bangga Dalam Hiba, Nora Ariffin Terima Diploma Bagi Pihak Arwah Anak

Share

“Alif…this is for you.” Inilah ayat pertama yang ditulis oleh penyanyi Datuk Nora Ariffin di akaun instagramnya baru-baru ini. Luahan hati seorang ibu yang berasa cukup bangga dengan pencapaian anak namun dalam masa yang sama hiba yang dirasakan saat menerima skrol mewakili Allahyarham anaknya, Muhammad Syakir Alif Johan  di majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-95 yang berlangsung pada petang Selasa.

Mama tolong ambikkan ye..Alhamdulillah…congrats.
Keluarga kecil saya tumpang bangga & gembira dgn pencapaian anaknda Alif Johan, sempat habiskan Diploma sblm kembali kerahmatullah. Moga Alif tenang disana.

Terima kasih kepada semua tenaga pengajar UITM FITA & sahabat2 yang memberi sokongan pada Alif selama hayat dia. Thank you UITM, Moga legacy arwah dapat diteruskan. Al- fatihah.

Berkongsi mengenai perkara itu menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Universiti Teknologi Mara, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 49, memberitahu, ketika hayatnya, Allahyarham banyak membantunya mengambil alih dalam bahagian kreatif termasuklah membantu menghasilkan video untuknya.

Kata pelantun lagu ‘Di Persimpangan Dilema’ lagi, arwah Alif menjadi antara individu yang banyak menaikkan semangatnya selepas pemergian Allahyarham suami, Johan Nawawi pada 24 Mac 2017.

“Setiap hari Alif pasti akan menghantar WhatsApp bertanya sama ada saya okay atau tidak. Memang pemergiannya satu kehilangan besar buat keluarga kami,” ujarnya.

Bagaimanapun, Nora berkata, dia reda dengan pemergian anak keduanya itu dan menganggap Allah lebih menyayanginya: “Selepas kematian Johan, kami reda dengan pemergian Alif kerana macam mana kami sayang padanya, Allah lebih menyayanginya,” jelasnya.

Untuk makluman, arwah Alif menghembuskan nafas terakhir pada 14 Disember 2019 selepas tiba-tiba rebah ketika berada di rumah. Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara berdekatan pusara bapanya.

Sumber : Ig istnoraariffin & Artis Malaysia