Semua Orang Ada Struggle Masing-Masing. Gadai Barang Kemas Demi Keselamatan Anak.

Share

Setiap kita mempunyai pelbagai dugaan hidup. Ada yang diberikan rezeki yang melimpah ruah dan ada yang sebaliknya.

Malah ada yang sanggup berkorban untuk memastikan keluarga bahagia termasuk memastikan keselamatan anak-anak.

Terbaru melalui perkongsian seorang wanita dilaman facebooknya, Intan Dzulkefli telah berkongsi kisah seorang wanita yang telah mengadaikan barang kemas ekoran untuk memastikan anak-anaknya selamat setelah membeli carseat.

Apa yang ingin dipaparkan setiap kita mempunyai kepayahan berbeza dalam hidup. Struggle atau perit jerih seseorang itu untuk memastikan keluarga bahagia dan selamat pasti ada yang kena korbankan.

Inilah yang dinama kehidupan. Ikuti perkongsian ini.

Gambar hiasan

Minggu lepas, selepas selesai urusan di bank, Insyirah merengek kehausan. Oleh itu, singgahlah kami di kedai serbaneka membeli air mineral. Entah macam mana, tiba-tiba terasa mahu singgah masuk ke kedai emas di sebelahnya pula.

Awkward terasa kerana pertama kali singgah di kedai itu. Waktu saya masuk, ada seorang wanita di dalam kedai itu. Saya duduk di kerusi sebelahnya. Insyirah leka minum air dan makan cookies.

“Nak beli gelang ke kak?” tanya salah seorang jurujual. Saya geleng kepala sambil tersengih.

“Tak… Ni saja nak tengok-tengok. Tak pernah datang sini.” kata saya berterus terang.

Apabila saya berkata begitu jurujual itu tersenyum sahaja sambil mengangguk lalu dibiarkanlah saya mencuci mata melihat berbaris gelang tangan di balik kaca.

Wanita di sebelah saya tadi ralit melihat barisan perhiasan emas. Lama sungguh dia merenung. Saya ni pula leka merenung gelagatnya berbanding merenung kerlipan emas permata di depan mata.

Gambar hiasan

Tak lama selepas itu beberapa orang lagi wanita masuk ke kedai itu. Wanita tadi masih lagi terpaku seperti tadi.

Saya dalam pada itu sibuk juga melayan Insyirah mahu minum air dan membersihkan kotoran di mukanya yang comot makan cookies.

Masa berlalu, akhirnya tinggal saya dan wanita tadi semula berdua sahaja di kedai itu.

Apabila melihat jam, saya rasa sudah lama juga kami di situ. Tatkala saya mahu berkemas-kemas keluar, wanita itu rupanya sudah beredar dulu.

JUAL BARANG KEMAS NAK BELI CARSEAT

Gambar hiasan

“Akak tu tadi tiap hari datang sini lepas dia datang jual barang kemas dia haritu.” kata jurujual itu tanpa diminta.

“Oo.. Mungkin nak aim beli yang lain kut,” ujar saya.

Jurujual tu tersenyum je.

“Akak tu kata, dia terpaksa jual. Masa dia serahkan barang-barang tu pun dia macam nak menangis. Tapi dia kata perlu duit. Nak beli carseat anak-anak dia.”

Kali ini saya pula yang tersentuh.

MasyaAllah…

“Semoga murah rezeki dia. InsyaAllah.” doa saya sambil diaminkan jurujual tadi. Kemudian kami berdua meminta diri kerana lihat langit sudah semakin gelap.

 

Waktu memandu pulang ke rumah, cerita tadi masih terngiang-ngiang lagi.

Seakan terbayang lagi betapa lama renungan wanita tadi. Mungkin dengan susah payah dia mengumpul duit untuk membeli barangan kemas tersebut, atau ada kenangan sentimental tentangnya, namun demi anak-anak, keputusan begitu yang diambil akhirnya.

Selama ini saya cuma membaca perkongsian dan kisah suka duka pengorbanan ibubapa membeli carseat untuk anak-anak di facebook.

Kisah ibubapa yang tekad membelikan carseat setelah salah seorang anak kembar mereka meninggal dalam kemalangan. Kisah surirumah ikat perut dan bersusah payah menabung untuk membelikan carseat untuk anak-anak.

Serta banyak lagi kisah yang menginspirasikan.

Namun, hari itu, saya mendengar sendiri, dan melihat sendiri. Betapa kadang menjadi ibubapa ini bermakna mengenepikan kehendak dan keperluan diri sendiri demi keselamatan dan keperluan anak-anak.

STRUGGLE SEBUAH KEHIDUPAN

Hal carseat ini, kita semua ada ‘kasut’ masing-masing, struggle masing-masing. Namun, saya berpendapat betapa keras usaha setiap ibubapa mahu memberikan yang terbaik itulah yang patut dipuji.

Berkorban hal kesukaan.
Berkorban wang simpanan.
Berkorban harta kesayangan.

Demi keselamatan anak-anak. MasyaAllah.

Saya cuma mampu doakan semoga semua urusan ibubapa yang sedang berusaha untuk menyediakan carseat untuk anak-anak mereka juga dipermudahkan Allah, walau kadang untuk urusan itu banyak berlaku konflik dan salah faham antara suami isteri, emosi yang bercampur baur, stress serta begitu banyak pengorbanan yang perlu dilakukan.

“Dan apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali Imran: 159)

Apapun niat kita, moga Allah melihatnya sebagai amal yang membawa kita ke syurga, insyaAllah.

Segala susah payah kita, harta yang kita keluarkan atas niat kerana Allah, insyaAllah pasti Allah akan balas, tak di dunia di akhirat kelak. InsyaAllah.

Robbuna yusahhil.

#intandzulkefli

Kredit: Intan Dzulkefli