Sempat Bergambar Dan Muat Naik Kapsyen “I Did It”. Perkongsian Terakhir Sebelum Maut Dihempap Tembok Akibat Gempa Bumi!

Share

Berita kematian seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Siti Nur Ismawida, 30, akibat gempa bumi di Lombok menggemparkan masyarakat. Seramai 18 warga Malaysia dalam misi mendaki Gunung Rinjani. Selain Siti Nur, enam lagi cedera manakala yang lain selamat.

Mangsa yang berasal dari Melaka dikatakan parah akibat ditimpa runtuhan rumah yang didudukinya.

Beberapa jam sebelum itu, arwah telah berjaya mendaki Gunung Rinjani, gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia. Malah, dia sempat merakam detik tersebut dengan gambar dirinya di puncak gunung tersebut dengan kapsyen I DID IT!!


Ahli perniagaan, Khairul Azim berkata, walaupun tidak mengenali mangsa secara peribadi, dia bertemu dengan kumpulan itu sewaktu sedang mendaki Gunung Rinjani.

Khairul, 32, menyifatkan dirinya sangat bernasib baik kerana dia berada tidak jauh dari lokasi Siti meninggal dunia akibat dihempap tembok runtuhan homestay yang didiaminya bersama kumpulan pendaki lain.

“Saya rasa kami bernasib baik sebab tinggal dalam khemah. Lokasi kami hanya beberapa kilometer sahaja dari lokasi Siti dan kumpulannya,” ujarnya.

Kumpulan Khairul kini berada di timur Lombok dan sedang berehat sebelum memulakan perjalanan keluar dari kawasan itu.

“Kami masih lagi boleh merasa gegaran di Sembalun. Banyak jalan masih ditutup,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Bapa mangsa Ismail Abdul Raffar, 62 memberitahu masih menunggu perkembangan daripada menantunya yang kini berada di Lombok untuk urusan jenazah arwah isterinya itu.

“Kami sekeluarga masih menunggu sebarang perkembangan daripada menantu selain memantau laporan media tempatan dan Indonesia bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai perkara ini,” kata bapa mangsa, Ismail Abdul Raffar, 62 ketika dihubungi.

Ismail juga berkata bahawa pihaknya masih belum menerima apa-apa perkembangan terbaru daripada mana-mana pihak. Malah, dia dan keluarga hanya mampu memantau laporan media tempatan dan Indonesia sementara menunggu maklumat daripada menantunya itu.

image via Harian Metro

Dalam pada itu itu, Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia, Mohamad Rizan Hassan dalam satu perkongsian di facebook menyifatkan arwah seorang pejuang yang mempunyai hati yang ikhlas dalam membantu memberikan peluang kedua kepada golongan muda yang tercicir akademik dan berisiko.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Berita kematian rakyat Malaysia Siti Nur Iesmawida Ismail berusia 30 tahun dalam kejadian gempa bumi di Pulau Lombok berskala magnitud 6.4 hari ini amat mendukacitakan seluruh warga belia berkemahiran di Malaysia.

Saya menyifatkan belia berkemahiran kehilangan seorang pejuang yang mempunyai hati yang cukup ikhlas dalam membantu memberikan peluang kedua kepada golongan muda yang tercicir akademik dan berisiko.

Kehilangan besar ini sesuatu yang akan ditangisi dan diratapi oleh mereka yang telah di bantu oleh beliau untuk mendapatkan sebuah kehidupan yang bermakna dengan mendorong kumpulan sasar tersebut memilih bidang teknikal dan vokasional (TVET) sebagai pilihan kedua untuk berjaya.

Beliau adalah salah seorang kakitangan yang berdedikasi di Miraj Academy, Ampang dan juga merupakan Sukarelawan Belia Berkemahiran di Majlis Belia Malaysia (MBM).

Takziah
Al Fateha

Semoga dipermudahkan urusan membawa pulang jenazah Allahyarhamah Siti Nur Ismawida. Aamiin.

Sumber: SAYS SEISMIK & Mstar