Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agung, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disahkan positif COVID-19.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin dalam satu kenyataan media dikeluarkan Istana Negara, di sini, pada Sabtu.
Bagaimanapun, Baginda berdua dimaklumkan hanya mengalami gejala ringan dan berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan tidak membimbangkan.
“Bersempena ketibaan bulan Ramadan yang mulia, Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong menyeru rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik COVID19 kelmarin (1 April 2022).
“Seluruh rakyat diseru untuk bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda berdua dikurniakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan keafiatan yang berpanjangan,” jelasnya lagi.