Selepas pelbagai bantuan yang diberikan kepada rakyat, kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan penyaluran bantuan tunai BUDI MADANI berjumlah RM200 akan disalurkan kepada penerima yang layak bermula hari ini, 6 Februari 2025.
Menurut MOF dalam satu hantaran di Facebook, bantuan tunai secara bulanan tahun 2025 itu adalah bagi pembayaran bulan Januari. Tarikh penyaluran bantuan tunai itu pada bulan-bulan berikutnya juga dikongsikan oleh kabinet berkenaan.
“Kami kongsikan tarikh bayaran bantuan tunai secara bulanan RM200 BUDI MADANI bagi tahun 2025.
“Bagi yang belum memohon, anda boleh semak kelayakan dan daftar pada bila-bila masa. Permohonan dibuka sepanjang tahun dan tiada tarikh tutup,” tulis MOF.
Apa Itu BUDI MADANI?
BUDI MADANI ialah wadah Kerajaan MADANI untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak.
Belanjawan 2024 yang diumumkan komited untuk menyasarkan semula subsidi bahan api bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan ketirisan subsidi rakyat.
Bagi memastikan Kebajikan majoriti rakyat terus terpelihara, BUDI MADANI diperkenalkan sebagai platform penyasaran semula subsidi hanya kepada yang memerlukan.
Kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu terus mendapat subsidi bagi mengawal harga barangan, manakala individu terpilih diberikan bantuan tunai bagi membendung kenaikan kos sara hidup.
Kategori BUDI MADANI
Di bawah BUDI MADANI, terdapat tiga kategori iaitu Budi Individu, Budi Agri-Komoditi dan My Subsidi Diesel. Budi Individu merujuk kepad bantuan subsidi tunai RM200 sebulan untuk pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak.
Manakala Budi Agri-Komoditi pula bantuan kepada petani dan penternak bagi meringankan kos bahan api dan operasi pertanian.
MySubsidi Diesel adalah permohonan pembayaran balik sementara bagi pemohon Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) yang masih menunggu kelulusan “fleet card”.
Cara mohon BUDI MADANI
Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI, orang awam diminta melayari https://budimadani.gov.my atau boleh menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747/03-88824565/03-88824566 atau secara e-mel di alamat budimadani@treasury.gov.my.
Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia.