“Selepas Bangun Tidur, Mukanya Senget…”Isteri Ako Mustapha Kongsi Saat Cemas Suami Dikejarkan Ke Hospital!

Share

Pelakon Ako Mustapha baru-baru ini dilaporkan terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas isterinya menyangka suaminya diserang angin ahmar pada pagi Khamis lalu.

Difahamkan isteri Ako iaitu Kartina Shuaib bergegas menelefon ambulans selepas melihat keadaan  wajah suaminya yang telah herot ketika bangun tidur. Ini sebagaimana memetik perkongsiannya bersama mstar.

“Saya tidak tahu dia tidak mengambil ubat kerana bertugas di luar kawasan sejak seminggu lalu. Apabila tiba di rumah pada pagi semalam (Khamis) saya lihat raut wajahnya berubah. Saya cadang pergi ke hospital tetapi suami enggan.

“Selepas bangun tidur, mukanya pula menjadi senget dan saya terus menghubungi ambulans dan Ako terus dibawa ke HKL,”ujarnya.

Ketiadaan Insulin Dalam Badan

Bercakap lanjut mengenai keadaan Ako, 51, Kartina memberitahu dia berasa lega apabila doktor mengesahkan Ako bukan diserang angin ahmar.

Sebaliknya, ketiadaan insulin di dalam badannya menyebabkan saraf serta otot tidak dapat berfungsi sehingga menyebabkan wajahnya menjadi herot.

Menurut Kartina lagi, Ako mula menghidap penyakit diabetes sejak 2016 namun keadaannya ketika itu tidak serius sehinggalah baru-baru tahap kesihatannya kurang memberangsangkan.

Doktor yang memantau keadaannya turut mendapatkan sejarah kesihatan serta diet pemakanan bagi mengenal pasti punca berlakunya keadaan itu.

“Ako mula menghidap diabetes sejak 2016 namun hanya makan ubat sekitar tiga tahun lalu. Awalnya tidak begitu teruk, cuma kebelakangan ini kesihatan dia menurun mungkin kerana sering terlepas makan ubat.

“Doktor banyak bertanya tentang sejarah kesihatan dan pemakanannya sebelum ini bagi mencari punca mengapa kesihatannya tiba-tiba merosot semalam,” ujarnya.

Syukur Semakin Stabil

Sementara itu, selepas 24 jam mendapatkan rawatan di hospital, Kartina memberitahu Ako semakin stabil namun masih di bawah pemantauan doktor di wad pengasingan di HKL. Malah katanya, Ako sudah boleh bercakap berbanding keadaan ketika dia mula dibawa ke hospital.

“Syukur dia sekarang sudah stabil dan boleh bercakap. Sekarang masih di wad pengasingan untuk pemantauan. Saya sendiri tidak boleh melawat,” tuturnya.

 

ARTIKEL MENARIK : Selepas Balik Haji, Rico Rinaldi Tolak Tempahan Baju Seksi. Ramai Puji & Doakan Istiqomah!

Baca Ini Juga :“Bagus Didikan Suaminya..”- Minah Salleh Lebih Melayu, Tabah Diuji Suami Stroke!

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club