Meraikan hari jadi anak adalah momen manis yang pastinya akan diadakan oleh setiap ibu bapa. Namun, bagi puan Persiya Ahmad meraikan hari jadi kucing tersayang begitu bermakna buat dirinya. Beliau yang baru dikurnia anak pada bulan lepas setelah lima tahun berkahwin, akan mengadakan sambutan hari jadi buat kucing peliharaan yang pertama setiap tahun.
Melalui perbualan dengan majalah Keluarga, ibu kepada bayi yang baru berusia sebulan, Muhammad Mikhael Syah b Malim dan isteri kepada Encik Malim, menjelaskan kucing yang berusia sembilan tahun ini diberi nama Kuchi setelah dibeli disebuah kedai haiwan di ibukota sejak 9 tahun lalu ketika usia baru 7 bulan.
“Saya menjaga Kuchi sebelum berkahwin lagi. Ketika itu, kawan menelefon saya beritahu ternampak seekor kucing persia jenis bulu cream white di kedia haiwan. Jenis kucing yang saya minat.
“Dalam masa setengah jam saya sampai ke kedai tu. Nasib saya baik, apabila sampai dikedai saya sempat membeli kucing ini, sebelum warga asing dari negara Arab yang turut bercadang membeli kucing yang sama.”
Layanan macam anak sendiri
Menurutnya lagi, Kuchi mempunyai ‘suami’ bernama Kazuchi berusia 6 tahun dan mempunyai 18 ekor anak kucing ini, begitu manja dengannya.
“Kuchi ni, memang tidur sebilik dengan saya. Dia amat manja dengan saya. Lagipun selama ni saya layan dia seperti anak sediri sejak lima tahun lalu ketika tidak anak. Saya layan dia seakan ‘manusia.’
“Manakala, kucing-kucing lain, saya sediakan bilik khas untuk mereka. Selain itu, saya juga bela kucing jalanan yang datang ke rumah.”
Bajet RM700
Menyentuh mengenai meraikan hari jadi Kuchi, Persiya mengadakan majlis secara sederhana dengan menjamput ahli keluarga dan rakan kuchi yang diadakan di rumahnya.
“Baby adalah kawan Kuchi yang merupakan kucing kepada ibu saya. Semua persiapan ini melibatkan peruntukkan sebanyak RM700. Setiap tahun memang saya akan raikan hari jadi Kuchi.
“April 20. 2019 hari ni birthday Kuchi yang ke 9 tahun. Last year kuchi celebrate tanpa adik, tahun ni alhamdulillah kuchi kuchi dah ada adik baby boy. Dan ini adalah first celebration Kuchi dengan adik dia. Semoga Kuchi Kuchi saya sentiasa sihat dan panjang umurnya aameen.”