Bagi Pelakon cantik manis dan juga duta produk kecantikan, Mawar Rashid,23 ada cara tersendiri dalam melayan ibu mentuanya. Biarpun mendirikan rumah tangga dalam usia yang cukup muda, namun Mawar bijak membawa diri sebagai isteri dan juga menantu.
Sangat rapat dengan mummynya, Mawar yang juga anak bongsu mengakui melayan ibu mentuanya sama seperti memberi layanan kepada mummynya.
“Dulu ke mana sahaja Mummy pergi, pasti akan ada saya menemani. Dia seorang yang caring dan cukup lemah lembut selain sanggup berkorban apa saja demi anak. Tetapi lepas kahwin, dah tak boleh macam dulu.
“Pun begitu, hubungan dengan ibu mentua juga rapat kerana sudah ada ‘bonding’ dari awal. Seperti mana saya layan mummy, begitu juga layanan saya pada ibu (mentua). Awal-awal memang sedikit kekok, tapi ibu dan ahli keluarga yang lain banyak beri tunjuk ajar.
“Jadi timbul keserasian antara kami. Lagipun saya memang dilahirkan dalam keluarga besar dan kami sangat rapat. Jadi, apabila berada di rumah mentua, ia mengingatkan saya seolah-olah berada dalam keluarga sendiri. Mummy juga selalu ajar bagaimana untuk saya menjadi menantu yang baik pada mentua.
“Seronok sebenarnya kerana saya dapat belajar cara dan budaya hidup orang lain. Maklumlah sebelum ini saya lebih ke arah orang Thailand. Tetapi keluarga mentua pula lebih tersusun, disiplin dan waktu ini saya memang belajar banyak benda baru. Ibu ajar bagaimana mahu jadi isteri dan menantu yang baik memandangkan usia saya masih muda.
“Kalau di rumah ibu memang rajin memasak, jadi saya akan bantu mana yang patut. Cuma selepas disahkan mengandung saya alami alahan dan tak boleh memasak. Tetapi ibu sangat memahami dan prihatin. Banyak nasihat yang beliau kongsikan,”ulas Mawar yang mengakui aktiviti keluarga selain makan-makan, keluarga mentuanya juga gemar menonton bersama dan itu cara mengeratkan hubungan antara mereka.
Kahwin usia muda
Bahagia menggalas tanggung jawab sebagai isteri, menantu dan ibu tiri, akui Mawar sangat bersyukur dan berterima kasih kepada suami dan familinya.
“Masih banyak yang perlu saya belajar dalam kehidupan ini terutama sekali status dan tanggung jawab saya sekarang sudah berbeza. Apa pun saya bersyukur dan bahagia dengan apa yang saya tempuhi sekarang. Dalam usia 23 tahun saya sudah menggalas tanggung jawab sebagai isteri dan juga ibu tiri. Malah, tak lama lagi bakal menimang cahaya mata kami yang pertama.
“Walaupun dulu saya meletakkan sasaran mendirikan rumah tangga di kala usia 28 tahun, tetapi saya tidak menyesal. Sebaliknya saya bertuah kerana mendapat suami yang penyayang dan bertanggung jawab. Malah sifat penyayang terhadap ibunya menunjukkan dia boleh menjadi suami yang baik kepada saya dan itu antara sebab kenapa saya setuju menjadi isteri kepada Raf.
“Memang saya akui agak takut dan gementar untuk menggalas tanggung jawab besar ini, tetapi suami dan ahli keluarga lain banyak beri sokongan. Tak timbul soal tak boleh enjoy sebaliknya saya rasa bertuah kerana sejak dulu saya sangat mementingkan keluarga. Malah bagi saya keluarga itu membahagiakan saya,” ujar Mawar yang kini sedang hamil 4 bulan tidak sabar bergelar ibu dan berharap dipermudahkan segalanya.
Tak sekat pilihan anak
Sementara itu, Datin Umi Kalsom Abdol Latib tidak menyekat anak-anaknya dalam mementukan pasangan hidup mereka. Sebaliknya sebagai ibu, dia mendoakan dan berharap rumah tangga mereka sentiasa bahagia dan kekal sehingga ke akhir hayat.
“Sebagai ibu saya hanya mahu melihat anak-anak bahagia. Tidak kisah siapa jua pilihan, baik muda, tua mahupun matang semua saya terima. Mawar misalnya, seorang yang masih muda tetapi dia cepat belajar dan mahu dengar nasihat walaupun ada masanya sifat keanak-anakkannya masih tak hilang.
“Malah, saya dulu pun kahwin usia 23 tahun. Bezanya Mawar ada anak tiri jadi tanggung jawab dia lebih berat. Usia Raf 33 tahun dan lebih tua dari Mawar, tetapi kalau Allah sudah tetapkan jodoh mereka siapa yang mampu menolak kan. Saya pula jenis ibu mentua yang sporting
dan layan semua menantu macam anak sendiri.“Saya tidak mahu menantu rasa canggung bila duduk sekali. Mawar saya layan macam anak sendiri, selalu peluk, usap rambut dia jadi itu buat hubungan kami rapat. Sementelah dia sekarang sedang berbadan dua, jadi saya selalu kongsikan ilmu dan pengalaman saya sebelum ini.
“Selain Mawar, keluarga Fazley juga tinggal bersama saya. Jadi Azrene (menantu) juga saya layan sama rata. Tiada beza antara mereka dan kami juga berkongsi minat yang sama iaitu memasak selain bercuti bersama,” ujar Datin Umi Kalsom yang mempunyai 4 orang anak, dua lelaki dan dua perempuan pelengkap hidupnya bersama arwah Datuk Yaakob Mohammad.