“Sekarang Giliran Saya Pula Bimbing Cikgu Hingga Ke Jannah.” Perkongsian Lelaki Ini Kahwini Guru Sendiri Selepas 5 tahun Menanti.

Share

Segalanya bermula dengan usik-mengusik di sekolah, akhirnya membawa pasangan ini ke jenjang pelamin. Selamat disatukan sebagai suami isteri yang sah sabtu lalu, Muhammad Hazim Shahidan, 21, bertemu jodoh dengan bekas gurunya, Siti Aishah Pakechik.

Menurut Hazim, isterinya dahulu adalah guru bagi subjek Fizik di sekolah. Dia selalu mengusik dan bergurau kononnya mahu masuk meminang namun tidak diendahkan oleh Aishah.

“Hubungan kami mula rapat selepas saya tamat SPM. Saya selalu keluar dengan seorang akwan baik dan Aishah selalu bagi nasihat supaya kami melanjutkan pengajian. Dari situ saya mula menyayangi Aishah. Tetapi dia menolak dan buat tak tahu sahaja.

“Sehinggalah umur saya 21 tahun, saya minta Aishah beri masa sehingga 5 tahun dan saya akan masuk meminang. Tapi dia anggap itu sekadar gurauan dan cakap kalau tunggu, tualah saya.

“Sehinggalah saya sambung pengajian ke sebuah kolej swasta kira-kira tiga tahun lalu. Walaupun saya cuba dekati Aishah tetapi dia tidak terima. Mungkin kerana faktor usia jadi halangan waktu itu.

“Cuma Aishah cakap pada saya kalau betul-betul serius jumpalah keluarga dan selepas famili setuju baru dia terima,” demi membuktikan kesungguhan untuk memperisterikan bekas gurunya itu, Hazim mula membuat simpanan menggunakan duit syiling dan hasil simpanan tersebut sebanyak RM477 dia menggunakan sebagai modal untuk berniaga kecil-kecilan.

Untuk permulaan, Hazim menjadi dropsip untuk tudung dan beg selain menjual sarung tangan dapat sambutan. Selain keikhlasan yang ditunjukkan kepada famili serta Aishah sendiri, Hazim turut memohon petunjuk akan jodoh mereka ketika melakukan umrah Disember tahun lalu.

“Ketika di Tanah Suci, saya berdoa agar Allah mempermudahkan niat saya untuk menghalalkan hubungan kami. Pulang dari menunaikan umrah, saya suarakan hasrat sekali lagi untuk mengikat tali pertunangan dengan Aishah. Alhamdulillah perjalanan jodoh kami lancar dan dipermudahkan. Tarikh 11 Ogos lalu, kami sah bergelar suami isteri.

“Pertama kali saya lihat isteri di kantin sekolah, saya dapat rasakan sesuatu yang istimewa tentang dia. Senyuman dan sifat penyayang dia berjaya memikat hati saya. Masa tu saya abaikan perasaan itu memandangkan dia guru saya. Namun saya bersyukur kepada Allah kerana dia kini milik saya,” kata Hazim sambil berkata jarak usia antara mereka bukan penentu kebahagiaan sesebuah rumah tangga.

Tambah Hazim, yang penting keikhlasan, sentiasa bersikap jujur dalam perhubungan dan buktikan perasaan sayang itu melalui usaha.

Sementara itu, Siti Aishah berkata dia terbuka hati untuk menerima Hazim sebagai teman hidup selepas melihat keikhlasan dan kesungguhannya.

“Lama juga saya mengambil masa untuk menerima lamaran suami. Hanya selepas awal tahun ni baru saya benar-benar nekad dan terima lamarannya. Sedangkan dia sudah pernah menyuarakan hasrat beberapa tahun yang lalu.

“Keikhlasan dan kesungguhan dia berusaha untuk menghalalkan hubungan kami itu yang menyebabkan saya menerima lamarannya. Lagipun banyak yang dia korbankan sedangkan sebelum ini dia masih belajar. Daripada situlah yang membuatkan saya terpaut hati dan berani untuk menerima dia sebagai suami saya,”ujar Aishah sambal memberitahu suaminya kini bekerja sambilan selain berniaga kecil-kecilan.

Mengakui tidak pernah terbayang atau terfikir langsung akan berkahwin dengan anak muridnya sendiri, namun kuasa Sang Pencipta tiada siapa yang mampu menduga.

“Awalnya ketika suami melamar, saya hanya anggap itu gurauan dan abaikan saja. Waktu itu kami masih berstatus guru-pelajar dan dia pernah mengusik supaya tunggu dia 5 tahun sahaja kemudian kononnya dia akan meminang saya.

‘Waktu itu saya hanya jawab dengan ringkas, kalau tuggu kamu.. tua lah saya kalau macam tu. Tidak sangka selepas 5 tahun suami benar-benar mengotakan janjinya dan masuk meminang saya. Alhamdulillah kami telah bergelar suami isteri kini,” ulas Aishah lagi.

Terdahulu, majlis pernikahan pasangan ini menjadi tular selepas beberapa keping gambar pre wedding dan video akad nikah mereka dikongsi salah seorang rakan Hazim, Izzat Herman di Twitter.

Sumber Gambar: Rafi Rahman