“Segulung Ijazah, Sekujur Jasad Ibu.” Pilih Urus Jenazah Ibu Dari Hadir Majlis Konvo, Sebaknya Baca Perkongsian Ni!

Share

Hati mana yang tak luluh, jiwa mana yang tak pilu . Saat gembira yang sepatutnya dikongsi bersama akhirnya bertukar duka. Insan tersayang bergelar ibu pergi buat selama-lamanya sebelum sempat melihat anaknya menaiki pentas untuk menerima segulung ijazah.

Demikian yang berlaku kepada pemuda bernama Fahim ini. Kisah sedih anak muda ini dikongsikan oleh saudara  Syirfan Indra.

Menurut perkongsian tersebut, Fahim atau nama sebenarnya Muhammad Fahim Shamsuddin, 23, tidak berkesempatan naik pentas menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) kerana perlu menguruskan jenazah ibunya, Rahayu Abu, 50.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir jam 12.20 tengah malam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat komplikasi darah tinggi dan kencing manis.


Segulung Ijazah, Sekujur Jasad Ibu…

Bagaimana mahu mengambil keputusan – antara hadir konvokesyen ijazah pertama atau hadir sebuah majlis pengkebumian.

Itulah yang di alami graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Fahim Shamsudin yang sewajarnya bergraduat dalam sesi Konvokesyen UMT hari ini terpaksa memilih untuk berada di atas pentas menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) atau menyempurnakan majlis pengkebumian ibunya yang meninggal dunia 12.20 malam tadi akibat kompilasi darah tinggi dan kencing manis.

Lebih menyedihkan kerana arwah sudah berada di Terengganu dan sangat teruja untuk menghadiri majlis konvokesyen tersebut. Fahim sempat menyarungkan jubah konvo kepada ayahnya dan hanya sempat menunjukan kepada ibunya.

Antara pilihan hadir majlis konvokesyen yang mungkin sekali seumur hidupnya, Fahim lebih yakin memilih untuk menyempurnakan majlis pengkebumian ‘cinta hatinya’ yang juga sekali seumur hidup.

 

Pada tika melihat dia mengendong ayahnya yang uzur, fahamlah saya bahawa anak muda ini bukan calang-calang anak. Nampak segala tanggungjawab akan terbeban di bahunya. Berat namun dia mampu. Dengan keyakinan dia memilih ‘cinta hatinya’ melebihi segulung ijazah – dia akan berjaya dengan segala restu.

 

Walaupun UMT menawarkan untuk beliau boleh memilih untuk naik di pentas paling awal atau paling akhir bagi memudahkan urusan pengkebumian, Fahim menolak dengan ketegasan seorang anak lelaki yang baik. Menyempurnakan pengkebumian dan bersama seisi keluarga jauh lebih utama.

 

Saya melihat kisah ini sebagai cerminan kepada apa itu pendidikan yang berjaya. Ia harus memperkasa daya fikir dengan memberi refleksi pada sesuatu situasi dengan penuh hikmah, ehsan dan kearifan. Ia bukan kebijaksanaan semata-mata. Segulung ijazah hanyalah tanda kecil pada ilmu, selebihnya adalah gerak hidup dan kehidupan, fikir manusia dan kemanusiaan.

UMT wajar berbangga berjaya membentuk seorang Fahim. Kekar, tegas, berjiwa dan berfikir dengan asas nilai yang betul.

Kita perlukan lebih ramai Fahim.

Selamat berangkat Puan Rahayu Abu ke negeri abadi. Tenanglah Puan di sana. Puan telah tinggalkan seorang Fahim yang hebat. Fahim pasti akan hidup dengan kuat.

Terima kasih Fahim kerana mengajar sesuatu.

UMT Sohor!

Sementara itu, dalam perkongsian bersama  Harian Metro,  Muhammad Fahim memberitahu  arwah ibunya teruja ke majlis konvokesyen walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Malah dia yang paling awal bersiap bertolak ke Kuala Terengganu dari rumah di Bera, Pahang.

Katanya, pada awalnya dia merancang bertolak ke Kuala Terengganu Sabtu disebabkan baru tiba di kampung kerana bekerja di Kuala Lumpur sebagai pembantu operasi di sebuah syarikat perkapalan.

“Majlis konvokesyen Ahad namun ibu mahu bertolak Jumaat. Saya ikutkan saja permintaannya dan bercadang membawanya dan ayah (Shamsuddin Md Amin) ke tempat menarik di Kuala Terengganu.

“Namun ketika menginap di rumah bapa saudara di Kampung Tok Jembal, keadaan kesihatan ibu merosot apabila demam dan sesak nafas hingga dibawa ke hospital,” katanya.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan ke HSNZ ibunya tidak sedarkan diri. Ketika dirawat, doktor menyatakan ibu mengalami bengkak di otak dan bergantung kepada mesin pernafasan. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 12.20 tengah malam,” katanya.

Muhammad Fahim berkata, walaupun tidak sempat naik ke pentas menerima ijazah, dia tidak ralat sebaliknya menguruskan jenazah ibunya lebih penting.

“Selepas pulang daripada mengambil jubah konvokesyen, saya sempat menyarungnya kepada ayah serta menunjukkannya kepada arwah ibu dan saya melihat wajahnya gembira walaupun dia dalam keadaan lemah,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Semoga allahyarhamah  Rahayu Abu ditempatkan dikalangan mereka yang beriman. Salam takziah buat Fahim dan keluarga.