Idea mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil tercetus ketika pengacara nombor satu tanah air ini turun padang membantu mangsa banjir.
Ketika itu, Aznil Haji Nawawi menjalankan kerja mengumpul golongan sukarelawan bagi membantu masyarakat di Bukit Canggang, Banting, Selangor membina semula hidup baru dan menyalurkan bantuan.
“Ketika itu dalam sehari kami berjaya menyediakan hampir 1000 bungkusan makanan kepada mangsa banjir. Malah selepas banjir surut, mulalah mereka bergerak pulang dari PPS ke rumah masing masing.
“Daripada situ saya fikir kenapa tidak diwujudkan kedai percuma berkenaan,” kata sambil memberitahu kedai percuma yang ditempatkan di sebuah kawasan di situ ditubuhkan pada 30 Disember lalu.
Menurut Pak Nil lagi, cetusan usaha pemberian bantuan kepada mangsa banjir tempoh hari di situ bermula selepas dia dihubungi salah seorang pengikut Instagram berkongsi sisi ceritanya mengenai kemusnahan daerah itu akibat banjir.
“Untuk permulaan ketika itu, saya menghubungi syarikat yang pernah bekerjasama seperti jenama Eskayvie dan Nakada.
“Pihak jenama itu bermurah hati untuk menghantar barang keperluan asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal, lampin bayi dan sebagainya.
“Timbul idea juga untuk mengumpul belian barang asas ini menerusi duit sumbangan orang ramai. Saya beli sendiri barangan itu menggunakan duit sumbangan diberikan.
“Ia kemudiannya diletakkan di sebuah kedai di kawasan berkenaan yang diberi nama Kedai Percuma Paknil,” katanya.
Tambahnya lagi, mangsa banjir boleh ke kedai itu untuk mengambil barang keperluan secara percuma mengikut keperluan mereka sahaja.
“Kedai ini mengalu-alukan barangan keperluan yang boleh dihantar terus ke sana atau menyalurkan duit sumbangan ke akaun saya.
“Ia akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai atau pertubuhan kerajaan mahupun swasta,” katanya.
Sementara itu bercerita lanjut sewaktu kunjungan kemanusiaan ke sana beberapa kali, air matanya berjuraian tanpa diduga.
“Sedih tengok keadaan mereka. Saya sentiasa membayangkan saya atau keluarga saya melalui ujian dan dugaan itu.
“Kerana itu, saya tidak mampu duduk berpeluk tubuh, saya perlu lakukan sesuatu untuk membantu mereka membina hidup kembali,” katanya.
Pak Nil menggunakan akaun media sosialnya terutamanya Instagram dan TikTok untuk mengajak khalayak bersama-sama dengannya mencari dana untuk disalurkan kepada mangsa banjir di kawasan itu.
“Subhanallah… rakyat Malaysia sesungguhnya masyarakat yang pemurah. Hari pertama saya umum pembukaan tabung khas membantu mangsa banjir Bukit Canggang, sambutan yang diterima sungguh luar biasa.
“Menangis saya melihat keprihatinan rakyat Malaysia. Dana yang disalurkan itu saya agihkan kepada wakil saya di sana. Walaupun, tidak banyak yang diterima setiap mangsa, namun, sekurang-kurangnya mereka di sana tahu bahawa seluruh negara turut sama bersedih dengan nasib mereka dan mahu berkongsi rezeki.
Pak Nil percaya dengan kuasa media sosial termasuk pengaruh dan kedudukan, beliau mampu mengajak orang ramai sama-sama berganding bahu.
“Niat dan matlamat saya adalah untuk meringankan beban mangsa banjir. Bahkan, ini juga masa terbaik untuk kita seluruh rakyat Malaysia menunjukkan solidariti dengan mengenepikan perbezaan ideologi politik, batas agama, bangsa dan latar belakang.
ARTIKEL MENARIK: “Daripada 7.8 Billion Manusia, Kamu Bertakhta Di Hati.” Aksi Malu-Malu Heliza Bikin Terhibur, Sweetnya Ucapan Suami
ARTIKEL POPULAR: “Ditanya Nak Hadiah Apa, Saya Cuma Nak DOA.” Suami Dedah Sebab Pilih Heliza, Resepsi Dihadiri Ilmuan, Alunan Al-Quran & Tazkirah