Pemergian arwah suami dalam keadaan mengejutkan sukar untuk diterima. Lebih memilukan, berita kehamilannya juga tidak sempat diketahui arwah.
Balu kepada Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun dalam satu kenyataan berkongsi rasa sedih dan hiba kerana suaminya tidak sempat mengetahui yang dia sedang hamil.
“Dua hari (selepas) arwah tiada, ada kawan yang kenal saya bertanya, mengandung ke Saya terkejut, betul ke saya mengandung, sebab dalam sebulan lebih kebelakangan ini, saya tidak buat pemeriksaan, saya rasa biasa saja.
“Tetapi tengok keadaan badan memang rasa naik, berat badan naik, makan pun tak berapa banyak sebab sedang diet, sampailah doktor dan kaunselor datang jumpa saya dan dia bertanya kenapa badan berisi dan kemungkinan mengandung,” ujar Nour Shafinar.
Tambahnya lagi, dia kemudian menggunakan kit ujian kehamilan sebelum mendapati dirinya sah hamil. Walau bagaimanapun, dia tidak pasti akan usia kandungannya kerana masih belum ada kesempatan untuk membuat pemeriksaan dengan doktor.
“Saya kuatkan hati, buat pemeriksaan guna alat ujian kehamilan, saya tengok (positif), Alhamdulillah saya mengandung, cuma saya sedih, arwah tak sempat tahu saya mengandung.
Beliau sebelum itu menerima kunjungan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Tuanku Zara yang tiba pada jam 12.30 tengah hari berkenan meluangkan masa hampir 30 minit bertanya khabar keadaan Nour Shafinar dan keluarganya.
Sementara itu, Nour Shafinar, 31 dan keluarganya juga tidak menyalahkan mana-mana pihak di atas insiden yang menimpa suaminya.
Beliau berkata, sebagai seorang yang pernah berkhidmat dalam pasukan tentera, dia memahami risiko keselamatan yang dihadapi sama ada ketika latihan atau bertugas.
“Saya juga seorang penembak dan memang selalu bermain dengan peluru hidup, saya juga kenal rapat dengan kawan-kawan arwah ketika demonstrasi itu.
“Jadi saya minta semua pihak tidak membuat spekulasi atau andaian mengenai kejadian itu, saya serahkan sepenuhnya kepada siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Menurut Nour Shafinar lagi, mengikut perancangan asal, dia dan tiga anaknya, Muhammad Irfan Daniel, 10, Nur Adriana, 6, dan Izzul Zakly berusia 6 bulan, berpindah ke Ipoh pada November nanti sementara arwah akan memohon bertukar tempat kerja.
“Tetapi ketentuan tuhan tiada siapa yang tahu, buat masa ini saya perlu uruskan beberapa perkara berkaitan arwah dan daftar sekolah anak-anak, bila semua urusan selesai, kami akan berpindah dan mulakan hidup baru di sini, sama seperti yang diminta arwah,” katanya.
Nour Shafinar yang menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera di 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja, Jun lalu berhasrat untuk meneruskan minat Allahyarham dalam perniagaan.
Katanya, selain tugas ketenteraan, Allahyarham juga sebenarnya mahir dalam mereka bentuk baju yang digunakan anggota dalam program dan misi-misi khas menerusi label Zeck’s Empire yang diusahakan bersama sejak dua tahun lalu.
“Saya sendiri pun akan teruskan perniagaan perancang perkahwinan saya, buat masa ini mungkin akan mulakan secara kecil-kecilan dulu seperti buai berendoi dan mini pelamin,” katanya.
Mohd Zahir yang merupakan Pegawai Komando 11 Rejimen Gerup Gerak Khas menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada jam 9.28 pagi kelmarin selepas terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah.
Jenazah selamat dikebumikan dengan penuh adat istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, semalam.
Sebelum ini, berita kehamilan Nour Shafinar dikongsikan oleh kakaknya menerusi laman facebooknya.
Sumber: Astro Awani, Sinar Harian & Sha Qalif