Perkhabaran duka, apabila semalam, kita dikejutkan dengan pengarah, pelakon dan penerbit popular, AR Badul telah dimasukkan ke Unit Rawatan Koronori (CCU) di Institut Jantung Negara (IJN) akibat serangan jantung ekoran masalah salur darah di jantung tersumbat.
Bagaimanapun, pelakon yang terkenal bagi filem era 70-an dan 80-an termasuk filem-filem seperti Panglima Badol, Tuan Badul, Prebet Lapok, Darah Satria dan banyak lagi, kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih dalam pemantauan doktor untuk tempoh 48 jam.
Terdahulu, menurut isterinya, AR Badul atau nama sebenar Armaya Aman Ramlie, 70 tahun, mengadu sakit dada dan berpeluh sebelum dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 4 petang semalam (ahad).
Isterinya, memberitahu suaminya mengalami serangan jantung mengejut di rumah mereka selepas Zuhur, semalam.
“Abang (Badul) tidak ada sejarah sakit jantung atau penyakit lain. Semalam dia kena mengejut di rumah. Secara tiba-tiba badannya berpeluh dan dia minta saya bawa ke klinik.
“Namun, saya terus bawa ke bahagian kecemasan Hospital Kuala Lumpur. Selepas pemeriksaan barulah doktor beritahu abang ada masalah jantung dan dirujuk ke IJN.
“Setiba di IJN dan selepas pemeriksaan, abang menjalani pembedahan kecil bagi membuka semula salur darah di jantung yang tersumbat,” ujar isterinya Maizatul Osman, 39
Masih dalam pemantauan doktor
“Alhamdulillah, selepas pembedahan kecil semalam, abang dilaporkan stabil. Namun, dia masih ditempatkan di CCU untuk pemantauan. Jika tak ada apa-apa komplikasi lain, Insya-Allah dia akan dipindahkan ke wad biasa esok,”
Maizatul berkata, Badul perlu menjalani satu lagi prosedur sama dan berharap semua rakan dan peminat Badul dapat mendoakan kesihatannya.
Badul pernah merangkul trofi Aktor Terbaik dan Pengarah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) kelapan pada 1989. Beliau juga meraih trofi Pelakon Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1989.
Sumber: www.hmetro.com.my