Siapa sangka trajedi yang sama berlaku kembali. Hati ibu mana yang tidak sebak melihat anak tersayang dikandung selama 9 bulan meninggal dunia di taman asuhan akibat kecuaian manusia.
Kematian tragis bayi lelaki yang meninggal dunia di taman asuhan kanak-kanak-kanak (taska) pada Jumaat lalu, pernah menimpa seorang bayi perempuan berusia enam bulan pada dua tahun lalu namun di taska yang berbeza.
Cara kematian kejam seperti yang menimpa Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri, lapan bulan dengan cara dibedung, disumbat botol susu dan ditekup bantal di pusat jagaan itu lebih kurang sama dengan insiden yang meragut nyawa Haura Najia Mohd Kamaruddin Helsa di sebuah taska di negeri ini pada 27 Oktober 2022.
Insiden yang menimpa bayi comel itu tular di laman sosial sejak Sabtu lalu apabila ibunya, Nurul Fateha Sandollah meluahkan rasa kecewa dengan pihak pengurusan taska yang sanggup membiarkan bayinya dalam keadaan dibedung selama enam jam.
Menerusi perkongsiannya, Nurul Fateha berkata, pada hari kejadian kira-kira jam 4.29 petang dia menerima panggilan daripada taska mengatakan Haura tidak sedarkan diri.
Menurutnya, dia segera ke taska dan dimaklumkan bayinya itu telah dibawa ke klinik berdekatan sebelum dimaklumkan bayinya telah dibawa ke Hospital Melaka.
“Doktor memaklumkan haura datang (dihantar) dengan tiada nadi dan dalam tempoh 24 minit Tekanan bantuan awal pernafasan (CPR) diberikan nadi ada semula namun terlalu lemah.
“Haura di intubasi dan menggunakan sepenuhnya mesin bantuan pernafasan,” katanya.
Ujarnya, suaminya kemudian telah berjumpa dengan pengasuh di taska dan dimaklumkan Haura telah dibedung penuh serta diberikan susu sebelum dibiarkan dalam keadaan mengiring.
Katanya, individu itu mendakwa dia keluar dari bilik bayi dan masuk semula sebelum nampak Haura terlungkup tetapi tidak membetulkan kedudukan kerana nampak seperti boleh bernafas.
“Dia masuk semula untuk memandikan Haura pada jam 4 petang dan tengok Haura sudah tidak sedarkan diri.
“Ya ALLAH… Haura dibiarkan dari jam 10 pagi dan dilihat pada jam 4 petang sahaja. Betapa struggle (bergelut) Haura untuk bernafas hingga dia pergi selamanya,” tulisnya.
Semoga kejadian ini menjadi ikhtibar kepada semua pihak agak tidak berulang lagi.
Sumber: Sinar Harian