Pilu dan menyentuh hati. Itu yang boleh digambarkan tatkala membaca kisah yang cukup menyedihkan ini. Kisah ibu dan anak ini dikongsikan oleh Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor.
Dalam satu perkongsian, pihak skuad menerima info seorang pemuda yang telah terlibat dalam kemalangan dua bulan lalu. Pemuda ini berasal dari Sabah dan merantau seorang diri di Selangor untuk mencari rezeki bagi meyara keluarga di Sabah. Kemalangan berlaku 2 bulan lalu akibat terbabas ketika menunggang motorsikal semasa perjalanan balik kerja.
Sepanjang 2 bulan di Hospital, ayah dan ibunya dari Sabah datang menjaganya yang berada dalam keadaan koma. Mereka berdua hanya menumpang di Balai Pelawat Hospital.
Dua bulan bertarung nyawa
Oleh kerana keadaannya yang tidak menunjukkan perkembangan, doktor pakar memanggil pihak Zakat Selangor dan berbincang mengenai urusan memindahkannya ke Hospital di Sabah agar lebih mudah penjagaan dan kebajikan ibu bapanya mencukupi.
Namun, Allah lebih menyayanginya. Dua bulan bertarung naywa akhirnya lelaki tersebut kembali kerahmatullah.
Awalnya si ibu memilih untuk membawa pulang jenazah ke Sabah. Setelah perbincangan dan penerangan dari SSU, ibu dan bapa ini bersetuju untuk di uruskan jenazah ini di semenanjung pada hari ini.
Ciuman ibu buat kali terakhir
Saat anak dikapan dan diturunkan ke liang lahad, kelihatan si ibu ini mengambil kesempatan buat terakhir kalinya mencium anaknya dengan aliran air mata meredhai pemergian anaknya.
Dalam pada itu, Zakat Selangor turut membantu sepenuhnya bagi urusan ini sehingga dikebumikan. Selain itu, pihak zakat turut bermurah hati menerbangkan ibu dan bapa arwah untuk pulang terus ke Sabah dengan bantuan wang zakat kerana mereka dari keluarga yang tidak berkemampuan.
Inilah sebahagian fungsi wang zakat, diagihkan sebaiknya. Marilah sama – sama kita doakan agar pemuda ini dikurniakan keampunan dari Allah, dirahmati rohnya dan ditempatkan di kalangan orang yang beramal soleh. “bersama kami membantu mustahiq”
Sumber : Lembaga Zakat Selangor