Siapa sangka benjolan kecil pada payudara kanan selepas melahirkan anak sulung tiga tahun lalu rupa-rupanya kanser yang menyebabkan wanita ini koma. Benjolan tersebut dikatakan hilang setelah berubat secara tradisional.
Walau bagaimanapun selepas hamil anak kedua,ia timbul semula yang disangka ‘bengkak susu’ namun semakin membesar sebelum disahkan kanser.
Dalam kegembiraan pasangan ini menerima orang baru dalam rumah tangga, mereka diduga dengan ujian yang cukup berat.
Muhammad Hairi berkata, isterinya, Noor Athirah Mohd Ariff, 24, disahkan menghidap kanser payudara ketika sarat mengandung pada bulan lalu, malah difahamkan sel barah itu telah merebak ke bahagian tulang belakang.
Katanya, keadaan isteri menyebabkan doktor mengambil keputusan untuk bayi dalam kandungan yang berusia lapan bulan ketika itu, dilahirkan melalui pembedahan bagi menyelamatkan kedua-dua nyawa.
“Selepas isteri selamat melahirkan bayi kami pada 23 Mei lalu, beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan berada dalam keadaan separuh koma, sekali gus bergantung sepenuhnya pada mesin bantuan pernafasan.
“Lebih menyedihkan, anak bongsu kami yang kini berusia 10 hari dan akan diberikan nama Muhammad Aidilfitri, belum dapat merasa setitik pun susu daripada ibunya dan hanya bergantung pada susu formula khas untuk bayi pramatang.
“Hati saya sebak setiap kali melihat wajah anak bongsu yang baru dilahirkan, masih belum dapat menikmati belaian seorang ibu.
“Jauh di sudut hati, saya berharap keajaiban akan berlaku dan isteri boleh menyusukan bayi kami apabila sedar nanti,” katanya ketika ditemui di rumah sewa mereka di Kampung Kubang Siput.
“Namun ketika mengandungkan anak kedua kami, benjolan pada payudara sebelah kanan timbul semula. Benjolan itu kemudian semakin membesar dan menyakitkan tetapi pada awalnya, disangkakan ia hanya ‘bengkak susu’
“Pada awal kehamilan, isteri sangat cergas. Bagaimanapun apabila kandungan berusia lapan bulan, saya melihat isteri cepat penat dan lesu yang dianggap mungkin kerana beliau sedang sarat.
“Namun, saya melihat keadaan isteri semakin teruk lalu cuba memujuknya untuk mendapatkan rawatan di hospital dan beliau akur. Selepas beberapa siri ujian dilakukan, doktor yang merawat mengesahkan benjolan itu adalah kanser.
“Ketika itu, luluh hati saya dan hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya nyawa kedua-dua mereka yang amat disayangi itu dapat diselamatkan,” katanya.
Muhammad Hairi berkata, berikutan beliau terpaksa berulang-alik ke hospital untuk menjenguk keadaan isteri, anak sulung berusia dua tahun, Muhammad Hairil Hafsya kini dijaga ibu mentuanya yang tinggal di Kampung Kok Keli, Tumpat.
“Bagi memudahkan urusan menjaga anak bongsu yang baru dilahirkan pula, ibu saya, Hazimah Harun, 50, kini tinggal bersama-sama untuk menguruskan keperluannya.
“Pada masa sama, saya buntu memikirkan keadaan kewangan kami sekeluarga kerana sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya hilang punca pendapatan dan kini hanya mengharapkan simpati adik-beradik serta saudara-mara lain.
Kisah Noor Athirah turut dikongsikan oleh sepupunya menerusi laman facebooknya .
Semoga ALLAH S.W.T terus merahmati dan memberkati seluruh hamba2nya di Dunia juga di Akhirat. In Shaa Allah. Aamiin
Sumber : Hazira Ahmad Zaidi (BH Online) , Facebook