Sebak! Duit Jual Tisu, Bantu Beli Ubat Anak. Kisah Doktor Ini Jadi Iktibar.

Share

Setiap ada manusia mempunyai kepayahan dalam hidupnya. Bagi yang diberikan kesenangan, masalah kewangan tidak menjadi masalah utama. Bagi yang sukar hidupnya, tentu masalah kewangan cabaran untuk kehidupan.

Begitulah yang dialami oleh Doktor ini, secara tak sengaja beliau melalui pengalaman apabila wang ringgit walaupun sedikit begitu bermakna untuk seseorang itu meneruskan kehidupannya walaupun hanya RM20!

Sebak kisah ini. Ikuti perkongsian ini.

Gambar hiasan

Beberapa hari lepas, saya makan mi goreng di sebuah restoran berhampiran klinik saya. Entah kenapa hari tu tukang masak tu buat pedas sangat. Meleleh air mata, hidung pun jadi berair.

Saya toleh kiri kanan, cari tisu. Tak ada pula tisu atas meja. Nasib baik ada penjual tisu sedang berlegar sekitar meja di luar restoran. Saya terus panggil.

“Seringgit,” kata dia sambil letak sepeket tisu atas meja.

Saya keluarkan dompet dan lihat hanya ada duit RM20 dan RM50. Periksa duit syilling, ada 20sen sahaja. Jadi, saya hulur RM20.

“Ada duit kecil tak? Saya ada 3 ringgit je ni” ujar si penjual.

Alamak! Macam mana ni? Nak beli ke tak nak?

Oleh kerana dan panggil penjual tisu tu, saya rasa bersalah pula nak cakap tak jadi beli, lagi pun dah tak selesa sangat dah hidung saya ni. Hingus dah meleleh.

Dengan berat hati, saya hulur RM20 pada dia dan kata “tak payah pulang baki.”

Dia nak beri saya semua tisu yang dia ada. Ada dalam 10 peket yang dia bawa. Saya kata saya perlu 1 sahaja. Kemudian dia beredar.

Saya sambung makan. Masa makan tu, rasa macam rugi pula. Sepatutnya saya bayar mi goreng, bakinya nanti bayarlah tisu tu. Entah kenapa kalut sangat tadi.

Tak pasal-pasal penjual tu dapat RM19 gitu sahaja.

Hati jadi tak tenang fikirkan benda tu. Makan pun jadi tak best. Sempatlah terfikir ni semua salah tukang masak tu sebab buat mi pedas sangat.

DUIT DERMA TADI BUAT BELI UBAT ANAK

Selepas habis makan saya balik ke klinik. Jalan kaki sahaja. Dekat sangat. Sampai klinik, saya lihat penjual tisu tu sedang beli ubat di klinik saya.

Saya tegur dia “Siapa sakit?”

“Anak saya. Dah 3 hari demam dan batuk. Terima kasihlah beri saya duit tadi.

Dapatlah saya beli ubat untuk anak saya. Allah je dapat balas,” jawab dia.

Zas! Masa tu rasa macam hati saya kena cili. Pedih! Tak sepatutnya saya tadi menyesal halalkan duit saya, kerana ia hal yang baik.

Hanya kerana RM20, saya telah buruk sangka pada penjual tisu dan marah pada tukang masak. Tuhan tunjuk betapa mudah hati dihitamkan oleh duit.

Perbuatan baik yang kita buat, tapi kalau dengan hati yang hitam, hasilnya mungkin sia-sia. Saya dapat balik duit saya, tapi mungkin tiada pahala saya bersedekah.

Itulah dia, nak sangat duit, maka dapatlah duit. Hanya ada nilai di dunia. Jika saya ikhlas tadi, pasti dah dapat sesuatu yang ada nilai di ‘sana’.

Rugi.

Jangan jadi macam saya.

Kredit:Kamarul Ariffin Nor Sadan
Tak Tahan Pedas