Hadirnya insan bernama anak di sisi suami isteri pastinya momen yang cukup indah untuk dikenang. Tidak kiralah anak sulung, kedua mahupun seterusnya, setiap kelahiran mereka adalah cukup bermakna.
Bagi pelakon Lana Nodin, momen paling bahagia pastinya bila sang suami mendukung dan melafazkan iqamat kepada bayi mereka. Naluri seorang ibu yang tersentuh hati membuatkan pelakon ini merasa sebak dan terharu lantas mengalirkan air mata melihat situasi tersebut.
Dia yang selamat melahirkan anak kedua dalam perkongsian di laman instagram mengakui sebak sebaik sahaja mendengar suaminya David McKienzi melafazkan Iqamat kepada anak mereka.
Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin berkongsi video momen indah tersebut di akaun Instagramnya semalam (Rabu).
“Terharu dan sayu bila mendengar suami tercinta Iqamatkan seorang lagi insan yang akan menjadi penyeri dalam keluarga kami.
“Alhamdulillah dan terima kasih pada @rampaiputeri dan dr zanariah yg memberi layanan yang sangat baik sepanjang sy berada di hospital…. Terima kasih Allah SWT,” tulis Lana lagi.
Lana memuat naik satu video ketika suaminya memangku anak mereka sambil melafazkan Iqamat di telinga permata hatinya. Pun begitu, Lana belum berkongsi jantina anaknya ketika ini.
Lana bernikah dengan David McKienzie atau nama Islamnya, Mohd Daud Mckinzie pada 15 Mei 2015. Mereka sebelum ini dikurniakan cahaya mata perempuan Gia Quinn McKienzie yang kini berusia 2 tahun.
Di ruangan komen Lana dihujani dengan ucapan tahniah dan peminat juga turut menyatakan rasa tidak sabar untuk melihat wajah comel bayi aktres tersebut.