Saya pernah dapat pesakit muda, baru 18 tahun yang datang ke hospital tiba-tiba dada ketat tak boleh bernafas. Tak lama lepas tu dia pengsan jantung berhenti.
Rupa-rupanya dia ada spontaneous pneumothorax yang terlalu kembang sehingga menjadi tension pneumothorax. Selepas CPR dan ditebuk dada untuk masuk tiub (chest tube) barulah jantungnya boleh mengepam darah semula.
Ingatkan baru balik menyelam ke apa. Rupanya baru mencuba rokok elektronik (e-cigarette) jenis vape sejak 7-8 bulan lepas.
Dia bukan satu-satunya pesakit yang paru-paru bocor. Ada beberapa lagi. Semua muda belaka.
Rokok elektronik ni walau tanpa nikotin, vapor atau wapnya boleh mengikis lapisan perlindungan paru-paru. Jadi sel paru-paru tak mampu melawan kuman, mudah rosak dan menipis. Akhirnya lapisan paru-paru boleh bocor. Itu baru tanpa nikotin. Kalau campur nikotin atau ganja lebih teruk lagi.
Pesakit sebegini perlukan pembedahan besar untuk membuang lapisan paru-paru yang rosak. Jika tiada pakar bedah thorasik, maka dia perlu menggunakan tiub paru-paru (chest tube) selama hampir seminggu.
Rokok elektronik hanya kurang sedikit bahayanya berbanding rokok. Namun tak bermakna ia selamat. Jika pesakit saya nak berhenti merokok, saya takkan nasihatkan dia mencuba rokok elektronik. Ia ibarat keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.
Lagipun kalau guna vape bernikotin, sama saja dengan rokok. Pi mai pi mai tang tu jugak.
Nak berhenti rokok, berhenti je. Toksah konar sana konar sini guna rokok elektronik. Hasilnya tak boleh berhenti vape atau kembali ke rokok semula. Mudharatnya sama, penyakitnya sama, dosa pun sama. Ada cara lain lebih sihat dan berkesan untuk berhenti.
Hana Hadzrami
Bersedia nak terima pesakit kanak-kanak pula dengan paru-paru rosak akibat vape.