Baru-baru melalui perkongsian di akaun facebook Lembaga Zakat Selangor mengenai sepucuk surat tulisan tangan yang bertarikh 12 Ogos, telah diterima daripada salah seorang penerima zakat cukup menarik perhatian umum.
Pelbagai pujian diberikan daripada kalangan netizen atas tindakan seorang ketua keluarga yang bertindak jujur dan amanah untuk menghantar surat bagi memohon ditamatkan bantuan bulanan.
Difahamkan lelaki terbabit membuat permohonan dihentikan bayaran zakat kerana merasakan pendapatan hariannya dijangka mulai stabil untuk beberapa bulan akan datang.
Menurut agensi itu, penerima terbabit sebelum ini mengajukan permohonan itu kepada LZS di cawangan agensi itu di Bandar Baru Bangi dan memaklumkan pendapatan bulanannya dijangka stabil pada September 2022.
“Ustaz, saya nak keluar asnaf. InshaAllah, pendapatan saya dah semakin baik dan cukuplah zakat bantu saya sebelum ni, tentu ramai lagi yang memerlukan bantuan dari zakat. Terima kasih pembayar zakat”…
Mohon Tamatkan Bantuan
Memetik berita yang dikongsikan akhbar tempatan, difahamkan bapa empat anak ini terdorong untuk memohon agar bayaran bantuan zakat ke atas dirinya dihentikan kerana dia tidak mahu rasa bersalah apabila sudah mampu menanggung keluarganya.
Nik Muhammad Halizu Awang, 46, yang mula menerima zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak 2018 bertindak sedemikian kerana mahu asnaf yang lebih layak menerima bantuan zakat tersebut.
Menurut Nik Muhammad, dia memohon bantuan zakat ketika itu kerana pendapatan diperoleh sebagai peniaga produk kesihatan tidak menentu, malah tidak mampu membayar yuran tuisyen anaknya di sekolah.
Namun katanya, selepas empat tahun menerima zakat LZS, kini pendapatan keluarga itu termasuk pendapatan isteri sebagai penyedia makanan di sebuah kilang semakin baik berbanding sebelumnya.
“Saya tidak mahu dan akan rasa bersalah jika masih menerima bantuan zakat LZS ketika pendapatan saya kini semakin baik dan dijangka bertambah dalam RM200 hingga RM300 pada September.
“Saya kena bertindak cepat sebelum September agar bantuan zakat yang saya terima dihentikan kerana ramai lagi asnaf yang susah di luar sana ketika ini.”
Berazam Jadi Pembayar Zakat
Ketika ditanya jumlah pendapatan kasar keluarganya, beliau berkata, walaupun tidak banyak dan hanya berjumlah sekitar RM1,400 sehingga RM1,700 sebulan namun ia sudah cukup untuk mereka.
“Perniagaan saya dan isteri bergantung kepada rezeki, namun saya yakin dengan usaha yang dilakukan secara berterusan, moga pendapatan kami akan menjadi semakin baik di masa depan.
“Saya juga berazam untuk menjadi pembayar zakat kerana saya amat memahami situasi sekarang yang telah menyebabkan ramai keluarga memerlukan bantuan bagi meneruskan kehidupan mereka,” katanya.
Sumber : Sinar Harian & Lembaga Zakat Selangor
ARTIKEL MENARIK : Selepas Balik Haji, Rico Rinaldi Tolak Tempahan Baju Seksi. Ramai Puji & Doakan Istiqomah!
Baca Ini Juga :“Bagus Didikan Suaminya..”- Minah Salleh Lebih Melayu, Tabah Diuji Suami Stroke!
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club