“Saya Tidak Akan Tergesa-Gesa Dalam Soal Hujung Minggu” – Sultan Johor
Menerusi hantaran Instagram rasmi officialsultanibrahim DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa Baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tentang cadangan Kerajaan Negeri untuk menukar semula cuti hari minggu negeri ini kepada Sabtu dan Ahad.
“Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan. Cadangan kerajaan itu akan saya teliti setiap sudut baik buruknya, dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi. Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan.”
Dapatkan My Qalam Elite Digital Perjuzuk Set dengan diskaun RM5 apabila anda menggunakan kod KELGST5 di sini
“Buat masa ini saya mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negeri Johor serta kepentingan rakyat. Kerajaan Negeri boleh berikan apa jua cadangan kepada saya, dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan apa-apa keputusan,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) hari ini (23 Ogos).
Justeru, Tuanku Sultan Ibrahim bertitah agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau membuat gesaan supaya satu keputusan diumumkan secepat mungkin.
“Saya akan buat pengumuman apabila saya berpuas hati dan cukup yakin keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik untuk negeri Johor,” titah Baginda.
Bermula 1 Januari 2014, DYMM Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama Negeri Johor.
Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan dalam Negeri Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Negeri Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.
Sumber: officialsultanibrahim
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club