Luahan pengalaman dari seorang suami ini ketika berdepan situasi di mana isterinya sedang di dalam keadaan stress mengurus anak-anak dan rumah tangga, nyata boleh dijadikan panduan untuk suami-suami yang lainnya.
Nak tahu apa yang dilakukan, jom baca perkongsian penuh daripada Azlan Noor ini.
Cara orang perempuan lepaskan tekanan perasaan mereka tak sama dengan lelaki. Itu yang suami nak kena faham.
Seperti yang saya lalui sendiri satu malam tu.
Saya sampai di rumah pukul 8 lebih. Mujur dah solat Maghrib sesiap kat surau hentian tol. Saya perasan Surihati tak ada kat bawah.
Terus tanya Abbey, mana mama. Kat atas katanya. Saya naik bilik, betul dia tengah baring. Rasa macam ada benda tak kena.
“Mama ok ke?”
Dia diam saja. Saya picit-picit kaki dia.
Tak lama dia buka cerita. Satu persatu diluahkan. saya nampak ada air mata mengalir di pipinya. Saya tak mencelah dan tak cakap apa-apa langsung. Saya biarkan dia lepaskan. Saya fikir satu je,”Walaupun aku tak faham yang dia tengah cerita, takpe. Aku dengar je dulu.”
Memang betul. Saya tak cakap apa-apa. Saya dengar je. Sambil gosok belakang badan dia sampai dia habis cakap.
Rupa-rupanya dia penat. Penat melayan karenah anak-anak di rumah. Balik kerja lewat, anak-anak pulak meragam. Fikir nak masak. Esok nak kerja lagi.
Lepas semua dah reda, saya ajak dia turun bawah untuk makan malam.
The best part is, selepas sesi ‘mendengar’ tu, ada satu perubahan pada Surihati.
Saya tengok dia seratus peratus berubah. Uturn habis lah cakap kau. Elok je berborak. Gelak ketawa gurau dengan anak. Lepas makan, kemas dapur. Macam tak ada apa-apa yang jadi tadi.
Rupanya itulah impak apabila suami sudi jadi pendengar kepada luahan isteri.
Bila fikir balik, betul lah satu poin dalam buku bestseller ‘Man are from Mars, Woman are from Venus’. Penulis tu tulis,
“Orang lelaki cenderung selesaikan masalah. Tapi orang perempuan lebih suka untuk kongsikan masalah.”
Macam tu lah saya dulu. Bayangkan masa surihati tengah merungut tentang masalah, saya bagi solusi sedangkan bukan itu yang dia nak. Sifat lelaki, bila dengar masalah, mereka cenderung untuk bagi penyelesaian.
Bila lain yang dia nak lain yang dia dapat, mula la berlaku perang mulut. Pastu gaduh.
Lama kelamaan, isteri tak lagi bercerita. Dah bertukar jadi membebel.
Jadi isteri ni tak mudah tugas. Jaga anak, kemaskan rumah, layan makan pakai suami dan anak-anak. Semua tu memenatkan.
Bila pendam lama-lama, mula jadi stress.
Sebab itulah ubat untuk hilangkan penat dan stress mereka tadi adalah dengan bercerita.
Berbeza dengan lelaki kalau stress, boleh gi keluar jumpa kawan, mengeteh, main futsal. Isteri nak keluar gi ngeteh? Nak gi main futsal?
So, suami kalau nak isteri gembira, senang saja. Bila isteri buka mulut, tak kiralah nak bercerita ataupun membebel, buat saja 5 langkah ni,
1. Dengar.
Tumpukan perhatian. Dengar sungguh-sungguh dengan penuh berminat. Tatap wajah isteri. Beri sentuhan tanda sokongan.
2. Tak perlu komen apa-apa
Masa ni, sebarang pendapat, nasihat atau kata-kata tak diperlukan. Dengar, diam dan iyakan sahaja.
3. Berikan masa.
Beri mereka masa, sebanyak mana yang mereka perlukan. Mungkin ceritanya tu kita tak faham. Tapi percayalah, isteri sangat hargai masa yang kita luangkan kepada mereka tu.
4. Beri pendapat jika diminta.
Jika mereka tanya apa nak buat, baru kita keluarkan pendapat. Sebab kebiasaannya, mereka dah ada solusi. Luahan mereka tadi tu sekadar melepaskan apa yang terbuku. Suami just ready when needed.
5. Ulang langkah 1 hingga 4.
Jangan jemu. Buat dengan sungguh-sungguh. Kalau kita tak layan isteri kita, siapa lagi?
Komunikasi adalah pintu bahagia.
Dan anak kuncinya adalah MENDENGAR.
Jika suami pendengar yang baik, maka senanglah terbuka pintu untuk ke ruang bahagia.
Ketahuilah, isteri tak minta lebih pun.
Cukup hanya ada suami yang memiliki sepasang telinga yang mendengar.
Sumber : Azlan Noor