“Saya Tak Boleh Duduk Kat Sini Doktor. Tolonglah Faham.” Pesakit Disyaki Covid-19, Rayu Tidak Di Wadkan!

Share

Tanggangjawab sebagai ketua keluarga tentunya bukan tugas yang mudah. Apatah lagi saat melalui waktu getir PKP ini,  semahunya ingin diusahakan untuk pastikan seisi keluarga ada makanan untuk diisi ketika perut berasa lapar.

Namun apakan daya, bila tahap kesihatan tidak mengizinkan dan disyaki pula mempunyai covid-19. apa yang dilalui pesakit tersebut turut mengundang rasa sedih di hati doktor ini dan dikongsikan di akaun fbnya.

Ini perkongsiannya.


 

“Doktor, tolonglah. Saya merayu sangat sangat ni. Benarkan saya balik dulu. Kalau susah nafas lagi saya janji saya datang balik.”

Pesakit depan aku ni datang ke bahagian kecemasan sebab sukar bernafas.

Awal tadi dia maklumkan dadanya terasa sempit, seolah olah dia sedang berada di kawasan aras tinggi yang mana kandungan oksigen dalam udaranya makin menipis.

Selepas dipakaikan ‘face mask oxygen’ menutupi hidung dan mulutnya, barulah pernafasannya terasa lancar.

Detail sejarah pesakit diambil, physical examination, blood investigation dan juga pemeriksaan xray dada dilakukan.

Hasilnya setelah perbincangan dengan pakar perubatan, kami memutuskan lelaki awal 40 an ini kemungkinan besar antara yang dijangkiti penyakit Covid19.

Dia perlu ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan mesti dimasukkan ke wad isolasi khas bagi penyakit berjangkit untuk proses rawatan.

Sebaik saja keputusan tu dimaklumkan kepadanya, terus dia merayu-rayu mohon supaya tak dimasukkan ke wad.

“Saya ada isteri dan anak anak di rumah. Paling kecil baru je umur 6 bulan. Dah 2 minggu saya tak kerja doktor. Saya kena usaha lagi carikan makanan untuk family saya.

Saya tak boleh duduk kat sini doktor. Tolonglah faham.”

Matanya dah berkaca. Aku tahu dia sedang berusaha menahan tangisan.

Serius aku pun jadi sebak sama. Mujur pakai face shield. Bolehlah cover sikit.

Aku faham sangat apa yang dia nak sampaikan.

Dia ketua keluarga sama macam aku.

Benda paling utama yang berlegar di fikiran kami ialah bagaimana nak pastikan ahli keluarga terus survive pada saat saat sukar begini.

Bagaimana nak pastikan ada sedikit makanan dapat diletak atas meja makan di rumah sana.

Bagaimana nak pastikan semua ahli keluarga terus kekal selamat di dalam rumah.

Malangnya permintaan tu tak dapat aku tunaikan. Pesakit ni wajib ditahan terlebih dulu demi kebaikan masyarakat yang lebih besar di luar.

Pahit untuk ditelan tapi itulah realiti yang sedang berlaku ketika ini.

Hampir semua pesakit yang datang ke hospital waktu kritikal ni bukan atas kemahuan. Mereka terdesak kerana benar benar perlukan bantuan.

Namun kerapkali ia berakhir dengan sebuah perpisahan.

Antara ketua keluarga dengan ahli keluarga yang lain.

Antara ibu dengan anak.

Antara suami dengan isteri.

Dan jika penyiasatan lanjut menunjukkan keputusan positif, maka perpisahan itu hanya akan berakhir melalui 2 cara sahaja.

Pesakit sembuh sepenuhnya lalu berpeluang untuk kembali memeluk semua kesayangannya.

Atau ianya berakhir dengan sebuah kematian yang menatijahkan perpisahan yang kekal buat selamanya.

Sebab itu suka atau tak, kita sebenarnya kena terima hakikat bahawa dah tak ada jalan lain yang terbentang di depan melainkan kita semua wajib menangi peperangan ini.

Kawan-kawan,

Kalian mesti terus kuat.

Usahalah untuk terus kekal bertahan di balik dinding rumah dan kami akan cuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik di baris depan.

InsyaAllah.

sumber : Dr Ahmad Luqman Bukhari,
Kita wajib menang!