Video kemalangan melibatkan sebuah lori dan dua kereta tular di media sosial sejak pagi Isnin meraih perhatian netizen.
Dalam rakaman bertarikh 29 Oktober lalu itu, sebuah lori dilihat memecut laju ketika menghampiri selekoh, menyebabkan muatan yang dibawa terhumban ke atas sebuah kereta.
Dalam sekelip mata, kereta tersebut dilihat terbalik ke dalam parit sebelum sebuah lagi kereta di belakang turut mengalami nasib serupa.
Dakwa salah seorang mangsa dikenali sebagai Ding Sheng Koh yang memandu kereta, kemalangan menyebabkan isterinya cedera parah sehingga bayi dalam kandungan meninggal dunia.
Menerusi posting di pada Ahad, pemandu tersebut berkata dia tidak akan memaafkan pemandu dan syarikat lori tersebut, malah dia belum menerima sebarang permohonan maaf sehingga ke hari ini.
“Saya dan isteri akan menyambut kelahiran bayi kami ke dunia dan kamu rampas bayi kami dalam kemalangan ini. Ia boleh dielak, tetapi kerana tindakan melulu pemandu lori serta kecuaian syarikat, ia menjadi punca kejadian itu.
Mesti Baca :
“Saya tak akan maafkan kamu. Tiada wakil syarikat kamu dan syarikat penghantaran yang menghubungi kami untuk minta maaf atau ucap takziah selepas kejadian berlaku. Kamu lukai keluarga kami dengan kemalangan ini,” ujarnya penuh kecewa.
Menurut pemandu itu lagi, dia sedih melihat keadaan isterinya yang menangis saban hari mengenangkan kematian bayi mereka.
“Saya tengok isteri saya menangis setiap hari melihat gambar bayi kami. Saya rasa seperti nak bunuh pemandu itu. Saya harap kru kargo dan syarikat penghantaran boleh jelaskan kenapa mereka guna trak ini untuk hantar barang. Ia kelihatan seperti melebihi had ketinggian.
“Kerana kemalangan ini, rahim isteri saya pecah, tulang belakangnya retak, tiga tulang rusuk patah, otak dan hatinya cedera. Ini anak pertama kami, kenapa kamu semua begitu kejam sangat nak rampas dia daripada kami?” katanya lagi.
Dalam posting panjang lebar di Facebook, lelaki itu turut mempersoalkan tindakan pemandu lori yang membahayakan orang awam.
Artikel Berkaitan
Lebih teruk, pemandu lori itu didakwa melarikan diri dari tempat kejadian sebelum dia akhirnya ditahan polis di Jeli, Kelantan.
“Kejadian berlaku di Grik, sebelum sampai ke Titiwangsa. Kenapa pihak syarikat kamu mengupah seorang pemandu yang memandu lori secara merbahaya? Mengapa barang muatan bertindih begitu tinggi, barangan tersebut telah melebihi pintu pagar lori.
“Walaupun tidak melebihi had berat tetapi ia telah melebihi had tinggi yang ditetapkan, harap pihak syarikat kamu memberi penjelasan sewajarnya.
“Pemandu lori tersebut akhirnya ditahan oleh anggota polis ketika sekatan jalan raya di Jeli,” dakwanya.
Tambah mangsa, dia seakan-akan dapat menghidu kecelakaan itu, namun tidak sempat untuk berbuat apa-apa kerana semuanya berlaku sekelip mata.
“Ketika kejadian berlaku, saya lihat lori datang dengan laju sehingga keseluruhan badan lori sudah condong. Mujur pengalaman saya memandu agak lama, sebelum kejadian berlaku saya sudah kurangkan kelajuan kereta saya, jika tidak mungkin saya juga sudah meninggal dunia.
“Daripada anggaran saya kelajuan lori tersebut melebihi 90km/j. Semasa saya nampak kedatangan lori tersebut, saya sudah mengurangkan kelajuan saya dari 80km/j hingga ke 60km/j, tetapi masih tidak dapat mengelak daripada kejadian ini berlaku,” ujarnya.
Dalam posting sama, dia turut menitipkan pesan kepada syarikat serta pemandu terlibat agar lebih bertanggungjawab bagi mengelakkan risiko ke atas pengguna jalan raya yang lain.
“Saya rasa bersalah terhadap bayi dalam kandungan ibu sebab ayah tidak mampu melindung awak dengan baik. Saya harap pemandu lori tersebut dapat balasan setimpal.
“Saya harap selepas kejadian ini, pihak syarikat kamu gunakan trak yang betul untuk menghantar barang. Untuk syarikat penghantaran, saya harap kamu mengupah pemandu yang bertanggungjawab.
Trak adalah sejenis alat untuk kamu semua mencari rezeki, tetapi kamu tidak boleh pentingkan diri sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya lagi.
Sumber : Mstar
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club